Sanggupkah anda menjadi DUDA???

Pagi ini terbaca dari pada post laman seri mengenai duda....patut la kalau perempuan boleh bertahan tidak berkahwin semula tetapi lelaki?  so cik abang diluar sana jgn la buat hal yang boleh menyebabkan terada status Pak Dud tu.

"PERCERAIAN dan menjadi duda adalah dugaan Allah yang paling perit," kata penyanyi Nash atau Nashrudin Elyas, 50, yang sudah dua kali hidup menduda. Kali pertama dia menduda ialah selama 11 tahun sebelum menemui jodoh kali kedua. Kini dia menduda lagi apabila jodoh keduanya hanya bertahan selama hampir tiga tahun.

"Kalau tidak dapat ditangani dengan baik boleh membawa kepada kehidupan yang lebih jahanam. Kekuatan iman membolehkan diri menaksir dengan baik. Tanpanya, seorang duda itu terdedah mencari wanita bukan muhrim dan menjurus kepada perzinaan," katanya.

Pernah merasai nikmat perkahwinan dan belaian isteri, kehidupan sebagai duda begitu mencabar. Tidak hairanlah jika ada yang tersasar apabila nafsu bergelora.

Akhbar baru-baru ini melaporkan, seorang duda dibunuh kejam manakala seorang wanita yang bersamanya parah akibat ditetak dengan parang di sebuah bilik hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan. Duda yang merupakan ahli perniagaan itu mati di tempat kejadian akibat kehilangan banyak darah.

Sehari sebelum itu, seorang duda beranak tujuh ditangkap berkhalwat dengan seorang wanita Indonesia di Alor Gajah, Melaka. Pasukan penguatkuasa yang memeriksa pasangan tersebut kemudian mendapati, lelaki berusia 49 tahun itu turut meninggalkan dua anaknya yang berusia 6 dan 8 tahun tidur di dalam sebuah bilik di rumahnya yang berkunci.

Selain itu, ada juga kisah lain tentang duda yang mungkin kini menjadi 'jejaka-jejaka terhangat di pasaran' apabila menjadi buruan gadis. Cerita perkahwinan aktres Umie Aida, supermodel Amber Chia dan aktor Imuda bagai memperkuatkan trend itu.

Berdepan godaan yang besar, lagi-lagi bergelar artis, Nash mengakui dirinya kerap diganggu oleh wanita-wanita yang menelefonnya setiap hari. Namun, dia tidak mahu bercerita lebih tentangnya kerana menganggap biarlah ia menjadi rahsia peribadinya dan tidak menceritakan keburukan orang lain.

Keinginan

"Memang sebagai seorang yang pernah bergelar suami, kadang-kadang terlintas keinginan untuk melakukan hubungan seks. Itulah sebabnya saya menyibukkan diri dengan pelbagai perkara. Saya sertai banyak aktiviti NGO dan kini merupakan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) di sekolah anak saya," katanya yang nampak sibuk ketika ditemui di majlis taklimat Konvoi Nasional Buat Gaza di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Nash berkata, awal perceraian kali pertama memang saat-saat yang sukar dan dia lazimnya akan tidur bersama anak-anaknya yang masih kecil untuk membuang rasa kesepian.

Seorang duda beranak tiga, Hazman Mohamad Halid, 38, mengakui pernah merasai seperti hidup tidak lagi bermakna apabila bercerai dan mengambil masa yang agak lama untuk kembali membina hidup selepas 'penolakan' itu.

"Banyak perkara yang memusnahkan semangat saya untuk hidup pada waktu itu. Saya rasakan, kalau saya mati pun tidak mengapa. Saya telah bercerai sejak kira-kira empat tahun lepas dan saya hanya benar-benar rasa kembali pulih sejak enam bulan lalu," katanya yang merupakan jurutera perisian komputer.

HAZMAN sesekali terfikir tentang seks.

"Selama sembilan tahun saya pulang dan ada isteri di rumah, tiba-tiba terpaksa melalui semuanya sendirian. Memang sukar bagi saya," katanya. Hazman memberitahu, sebagai seorang bekas suami, dia sering mengisi jadual dirinya dengan kesibukan agar tidak memikirkan keinginan seks.

Hipokrit

Rutin lazimnya ialah pergi ke pejabat pukul 9 pagi, sibuk di pejabat sehingga pukul 6 petang. Sampai di rumah, tidur sekejap atau dari pejabat terus ke gimnasium untuk bersenam sehingga gimnasium tutup pukul 12 malam. Hari minggu juga dia kerap ke gimnasium atau bersiar-siar. Kata Hazman, hanya selepas bercerai baru dia berkenalan dengan gimnasium.

"Kalau asyik lepak di rumah sahaja itu yang boleh datangkan perasaan yang bukan-bukan. Semasa senaman dan work out, kita mengeluarkan tenaga yang banyak dengan cara yang positif," katanya.

Enggan bersifat hipokrit, Hazman berkata, sebagai seorang lelaki yang normal tidak kira bujang, suami orang atau duda, pasti ada sifat miangnya.

"Orang lelaki nakal-nakal sikit itu biasalah. Tapi jangan sampai melakukan zina," ujarnya enggan bercerita lanjut tentang itu.

Saat ditanya adakah godaan nafsu ketika duda lebih besar daripada ketika bujang, Hazman berkata, ia sukar ditentukan kerana situasinya berbeza mengikut usia. Tambahan pula apabila diri semakin tua, komitmen dan tanggungjawab semakin banyak.

Seorang lagi duda, Dr. Zulkornain Ahmad menyifatkan dia tidak mempunyai banyak masalah setelah bercerai kerana dirinya memang seorang yang berdikari. Lagipun, kerjayanya sebagai doktor memang sibuk.

"Kerja saya sangat sibuk. Nak layan dan rawat pesakit di Senawang, Kajang dan Puchong. Memang tak sempat hendak fikir perkara lain. Balik rumah sudah letih, tengah tidur pun kadang-kadang dikejutkan dengan panggilan bertugas," katanya yang dikurniakan seorang anak.

Mengakui memang ramai perempuan yang mengirim SMS mahu berkenalan dengannya, namun hatinya belum mahu berkahwin lagi.

KEBELAKANGAN ini, beberapa insiden jenayah menyaksikan duda menjadi mangsa.

Seorang duda berusia 41 tahun yang tidak mahu dikenali berkata, menjadi duda amat mencabar daripada pelbagai segi dan memerlukan iman yang kuat. Dia yang merupakan bapa kepada lima orang anak yang telah bercerai sejak tujuh tahun lalu berkata, dia tidak terfikir untuk mengahwini wanita lain melainkan bekas isterinya.

Resah

Namun katanya ada juga sisi keseronokannya menjadi duda.

"Apabila jadi duda, sudah tidak ada orang yang ambil tahu mahu pergi ke mana dan tidak ada lagi 'perintah berkurung' pada sesetengah masa," ujarnya yang memperuntukkan 15% daripada gajinya setiap bulan untuk anak-anaknya.

Profesor Jabatan Psikologi, Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Suradi Salim memberitahu lebih 80% duda yang berusia 50 tahun ke atas akan berkahwin lagi. Katanya, perkara ini berdasarkan pengalamannya berjumpa dan berbincang sendiri dengan pesakitnya daripada kalangan duda. Ini kerana duda berusia sedemikian sudah terbiasa dengan kehidupan berkeluarga.

"Mereka sudah terbiasa ada isteri yang akan menjaga mereka dari sudut keperluan seks, makan, minum, kesihatan dan sebagainya. Lagipun orang tua ini banyak pengalamannya selain lebih romantik dan sentimental menyebabkan wanita mudah terpikat," katanya ketawa.

Jelasnya lagi, bagi duda yang berusia 20 hingga 40 pula, keinginan mereka untuk berkahwin lagi sekitar 50% ke bawah.

"Namun ini hanya berdasarkan pendapat saya. Mungkin mereka ada pengalaman pahit semasa kehidupan berkeluarga menyebabkan mereka enggan berkahwin lagi," katanya.

UMIE AIDA antara selebriti yang memilih duda sebagai pasangan hidup.

Menyentuh mengenai duda yang terlibat dengan jenayah seperti rogol dan sebagainya, Suradi berpendapat jiwa duda yang bergelora dan segelintir yang mempunyai keinginan seks tinggi menyebabkan mereka mengambil tindakan sedemikian.

"Realitinya semua orang mempunyai keinginan seks lebih-lebih lagi mereka yang pernah berkahwin pasti merasai pengalaman seks. Apabila dalam jangka masa yang lama tidak melakukannya, mereka resah.

"Hasilnya apabila tidak disandarkan dengan iman yang kuat menyebabkan segelintir membuat kesilapan seperti bersekedudukan, berkhalwat malah lebih teruk mencari pelacur dan merogol," ujarnya. sumber : Laman Seri

Comments

Popular Posts