13 July 2007

50 tahun merdeka - part 4 (Umpan tradisional)

Semenjak tiga minggu lepas aku mulai perasan. Kereta yang kupandu tidak lagi bergegar-gegar kiranya melalui jalan utama ke apartment. Begitu jua laluan ke pejabat melalui Sek Men Sea Park berhadapan dengan stesen LRT Taman Bahagia. Paling menakjubkan laluan ke pasar atau jalan alternatif mengelak tol turut sama dimake-upkan. Kebanyakkan jalan-jalan yang pada awal tahun lalu berlopak sana-sini sehingga menggegarkan pemanduanku berubah sama sekali. Tampak kemas dan membuatkan aku bisa meluncur dengan tenang. Selasa, aku dan suami dikejutkan, "mama, papa esok kakak dan abang kena cuti semua cikgu-cikgu bermesyuarat", cerita puteri sulung sambil diiya oleh sang putera. "Cuti apa pulak, ada surat ka," tanya suami kepada kedua-duanya. "Ada...ada", terus keduanya mengeluarkan surat yang diberikan oleh guru mereka. Rupa-rupanya sang guru-guru terlibat dengan mesyuarat pilihanraya, mungkin sekolah bakal digunakan sebagai pusat membuang undi. "Tak lamalah tuh", luah suami. Inilah udangnya. Umpan tradisional sedari aku kecil lagi membuatkan aku tersenyum. Mahukah lagikah rakyat alaf baru ini memakan umpan seumpama itu?. Mengeletek jiwa dan sanubari seketika. Apa tidaknya saat aku disekolah rendah jika sudah hampir dengan tarikh-tarikh sebegini pelbagai jenis umpan dihidangkan kepada penduduk kampungku. Jalan ditarkan. Rumah mulai dikunjungi oleh wakil-wakil pihak tertentu dengan pelbagai umpan-umpan. Malaysia merupakan negara yang mengamalkan konsep pemerintahan demokrasi berpelembagaan. Pastilah pilihanraya menjadi intipati utama dalam memilih pemerintah.

Pilihanraya pertama berlaku pada tahun 1952 iaitu pilihanraya bandaran yang mana diadakan di Kuala Lumpur. UMNO dan Persatuan Cina Tanah Melayu (MCA) bergabung dalam pilihanraya ini. Pilihanraya bagi Semenanjung Tanah Melayu pula berlaku kali pertama pada tahun 1952 dimana Parti Perikatan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman ketika itu menerima kemenangan yang besar.

Pida : Terkenangkan umpan belalang yang emak gunakan untuk memancing ikan puyu di sawah padi. Apa yang pasti kaki ini masih berpijak nyata dirumput hijau biarpun kerlipan kejora kekadang menarik perhatian.

11 July 2007

50 tahun merdeka - Part 3 (Warisan yg makin hilang)

Pertanian dan penternakan amat sinonim dengan orang melayu. Maka disebabkan inilah kebanyakkan kaum melayu memilih kawasan perkampungan sebagai tempat tinggal dan melihatkan keadaan ini diklafikasikan pula takala sebelum dan saat kemerdekaan, kaum cina di tempatkan dibandar bersesuaian dengan aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh mereka dan kaum India di estet memandangkan tujuan asal kedatangan golongan ini ke Tanah Melayu sebagai buruh estet oleh penjajah Britis.Menanam dan memunggar tanah adalah aktiviti melayu dahulu. Tanah yang dipugari di tanam dengan pelbagai jenis tanaman seperti durian, rambutan, manggis, langsat dan pelbagai untuk dinikmati untuk generasi kemudian. Abah pernah bercerita, Tok wan (bapa abah) ada memugar tanah selain di kawasan persawahan pida. Tanah bukit untuk dibuat dusun. Abah diantara anak lelaki tertua pernah mengikuti Tok Wan bagi tujuan tersebut. Namun tanah tersebut telah dijual kepada pihak lain akibat perebutan diantara saudara takala abah di Selangor. Nampaknya hasrat Tok Wan tidak kesampaian. Sifat rakus, pentingkan diri sendiri dan tamak haloba golongan tertentu menyebabkan generasi hadapan tidak dapat nikmati perjuangan dan pengorbanan nenek moyang mereka. Budaya lupa daratan mudah melekap di jiwa dikalangan sekelompok kecil sang melayu itu sendiri. Disebabkan itulah apabila golongan seperti berada di tempat yang tinggi mereka lupa akan perjuangan terhadap agama dan bangsa tidak pernah padam biar apa gelaran yang mereka pakai.Semasa pulang ke kampung terpandang sepanjang Jalan Putra (Mergong ke Kuala Sungai) tanah sawah mulai diganti dengan taman perumahan. Ahh...susah-susah tok nenek munggar tanah paya untuk dijadikan sawah senang-senang mereka jual kepada pihak lain untuk dijadikan taman perumahan, getus hatiku. Orang melayu...bangsaku.

Nenek moyang kaya raya,
tergadai seluruh harta benda,
akibat sengketa sesama kita...

Pida..bila sudah terkejar kerlipan kejora rumput hijau sudah tidak kelihatan, yang pedih menanggung segala keperitan generasi masa depan yang juga anak-cucu kita

10 July 2007

50 tahun merdeka - part 2 (dari mata seorang AKU)

Pida..PM paparkan cuma pida9_sanglang@yahoo.co.uk, Jazakallah...
Barangkali aku anak bekas tentera, patriotik amat ramah dengan diriku ini. Aku amat senang dengan bahan bacaan ilmiah yang berunsur sejarah dan patriotik. Pengaruh abah jelas amat kuat dalam diri. Dibesarkan kawasan persawahan membuatkan rahmat kemerdekaan ini amat besar bagi diri jika dibandingkan dengan saudara-saudaraku di sebelah sempadan sana (Pattani). Menimbulkan semangat kemerdekaan bukan sekadar dengan kibaran jalur gemilang apatah lagi dengan gah semburan bunga api tidak juga dengan konsert-konsert yang bakal mencalarkan lagi maruah anak bangsa. Peranan ibu bapa merupakan titik tolak kesedaran seseorang betapa pentingnya kemerdekaan itu. Mereka tokoh-tokoh terdahulu bertegang urat berjuang demi kemerdekaan 50 tahun ini. Perjuangan mereka dahulu tanpa menagih material. Mereka jujur berjuang atas nama kemerdekaan. Mungkin generasi kini kurang atau langsung tidak mengenali nama-nama seperti Ahmad Boestaman, Dr Burhanudin Helmi, Pak Sako, dan puluhan nama lagi merintis laluan kemerdekaan yang ke 50 ini.Aku hanya semut kecil yang melihat kemerdekaan ini bergerak tahun ketahun dengan pelbagai kemajuan meresapinya. Aku hanya melihat jurus kemerdekaan dari sudut mata sepet ini dan keresahan hati dengan pelbagai gejala tidak bermoral bernanah dalam diri generasi kini. Mungkin orang lain merasakan kemerdekaan hari ini belum cukup ampuh untuk diri mereka membicarakan sesuatu dan memang wajarlah itu. Terkenangkan aku zaman saudara Anwar menjadi menteri pelajaran takala itu aku seorang pelajar dan yang paling aku geruni perkataan "jumud". Takut benar aku menjadi orang merdeka yang JUMUD.
Pida: kerlipan kejora memang mengasyikan namun rumput dibumi indah dipandang dan menyejukan mata dan jangan biarkan ia kekeringan tidak terjaga........

06 July 2007

50 tahun merdeka- part 1

Bayangkan jika manusia yang berusia 50 tahun pastinya pelbagai pengalaman yang telah ditimba begitu jua dengan Malaysia. Tanah air tercinta. Selepas lebih 400 tahun dijajah akhirnya merasa jua kita angin kemerdekaan. Malah jika ditanya golongan yang lahir sebelum kemerdekaan pastinya mereka menadah tangan tanda kesyukuran akan kemerdekaan ini. Bagaimana susahnya mereka untuk menimba ilmu dan jerihnya kehidupan takala sebelum kemerdekaan. Cerita abah, "susah sangat dulu buat padi setahun sekali, tak dak tali ayaq kalau musim kemarau lagi susah tak boleh nak buat apa", . Itu cerita anak pesawah zaman sebelum kemerdekaan. Bidang pertanian tidak menjanjikan kemewahan ketika itu lantaran itu membawa abah ke Selangor dimana abah berkhidmat sebagai tentera. Rawang, Selangor antara tempat abah bertugas ketika tahun-tahun awal kemerdekaan. Selain itu jua abah pernah bertempur di sekitar hutan Pahang, Gua Musang, Negeri Sembilan dan beberapa kawasan hitam semasa darurat. Jika dahulu abah dan emak ke Kuala Lumpur menaiki keretapi Tanah Melayu (KTM) yang mana turut diceritakan oleh jika kita memakai baju putih akan gelaplah warna baju disebabkan pembakaran arang batu yang digunakan oleh (KTM) ketika itu. Masa perjalanan kadang kala sehari setengah. Namun kini, jika bertolak dari Kepala Batas, Kedah waktu pagi mereka masih lagi boleh bersarapan bersama kami di Kuala Lumpur. Itulah satu nikmat kemerdekaan. Nikmat yang belum lagi dirasai oleh saudara kita di Palestine sana.
Beberapa minggu lepas sekali lagi kita digemparkan dengan pencarian 64 tahun nenek Mariam yang ditangkap oleh tentera Jepun kemudiannya terperap dibumi Korea. Menitis air mataku takala membaca berita ini. Kun fa ya kun itu milik Allah SWT. Bukan nenek Mariam seorang sahaja yang menjadi mangsa tentera jepun malah ramai lagi. Kekejaman tentera Jepun kerap digambarkan oleh Tok Yah yang agak sebaya dengan nenek Mariam. Cerita Tok Yah, "kalau tentera jepun mai kami anak-anak dara sembunyi dalam tempayan atau tempat-tempat lain yang jauh dari mata tentera matahri terbit itu." Kemerdekaan ini membuka ruang yang teramat luas untuk kita semua nikmati. Betapa deritanya mereka yang hidup sebelum kemerdekaan yang mana maruah bangsa, agama dan diri di telapak kaki orang lain dan seharusnya menjadi tanggungjawab kita semua memeliharanya.

05 July 2007

History name of Sanglang

Kuala Sanglang is situated in the southern part of Perlis and most of its residents are fishermen. The first settlers were a Chinese family who were fishermen. As their catch was very good, more Chinese families came to settled in Kuala Sanglang.


The origin of the word Sanglang is related to a Chinese durian trader who came from Yan, Kedah. Every year, he would go by boat to Kuala Sanglang to sell his durians. On his journey to Kuala Sanglang, he had to pass by a place that was full with eagle nests. As a result he called the place sarang helang which literally meant eagle nests.

However, the Chinese people found it difficult to pronounce sarang helang and subsequently called the place Sanglang.

02 July 2007

Kami sudah merdeka

Hai Orang Asing,
Apa yang kau masih cari di rimbunan ini
menerpa ke sana sini
bertenggek dilaluan kami
sambil menjaja budaya jingga
berpeleser bak anak raja
berdamparan di pasir putih bercelana tarzan

Ahhhh...
Sudah banyak daun hijau kau petik
Sudah banyak bunga mekar kau hidu
Sudah banyak buah ranum kau rasai
masih belum puas!!!
berhujan emas di negeri orang

Maka...
Setelah 446 tahun di tapak kakimu
ribuan anak bangsa bermandi darah
Kau masih mengidami rimbunan ini
atau masih belum puas menyedut akar dan umbinya
mahu membinasa malaya
biar melayu hilang didunia

Nyahlah kau sang asing durjana
pulanglah kau ke asalmu
bawa bersama kitab liberalisasi dajalmu itu
bungkus bersama celana tarzan itu


2.30 pm - 30 jun 2007 (Jln Ampang)

Alfatihah buat semua pejuang kemerdekaan dan darurat..semoga roh mereka dicucuriNYA...Amin.