18 September 2009

Merajuk pada yang sayang

Kata orang lama, merajuk biarlah pada yang salang barulah ada timbal balasnya. Rajuk dikatakan salah satu senjata wanita selain airmata. Namun aku jarang menggunakannya, sedari kecil mak selalu berpesan jangan suka merajuk nanti rugi terutama apabila berdepan dengan rezeki. Pesan mak lagi jangan merajuk apabila disakat abang atau kakak nanti kita menjadi pendendam kerana sakat adik beradik merupakan asam garam dalam sesebuah keluarga. Mak juga pernah berkata orang yang suka merajuk jarang disukai orang kerana sifat itu. Oleh itu aku memang jarang merajuk dan jika merajukpun aku akan pujuk diri sendiri supaya lebih positif. Kata teman sifatku ini menyebabkan ada pihak lain mengambil kesempatan....
mungkin benar dakwaan temanku.
Mungkin perubahan hormon di ramadhan ini tetiba mood bertukar. Merajuk. Puteri sulung perasan rajuk mamanya.
Benar sungguh rajuk itu senjata wanita..........

15 September 2009

Raya @ Balik Kampung

"Hang tak pernah balik kg ka, beriya sangat", tanya teman bila melihat aku beriya pulang ke kampung setiap kali menyambut aidil fitri. Bukan aku jarang pulang ke kampung tetapi balik menyambut hari raya berlainan. Hari raya bukan sahaja kita merayakan kemenangan kita menahan nafsu ketika ramadhan tetapi ia adalah bulan kita bermaaf-maafan. Ketika ini juga kita dapat bertemu dengan saudara yang jarang-jarang bertemu. Ianya umpama pertemuan setahun sekali. Meriah.
Tidak kiralah beraya di mana sekalipun ianya penuh dengan senyuman, warna-warni dan kegembiraan.
Mempunyai keluarga besar membuatkan perayaan ini lebih meriah dan saat inilah dapat mengenalkan saudara mara kepada anak-anak. Biar mereka kena akar mereka.
Jika beraya di pida sanglang selalunya rumah abah menjadi tumpuan saudara mara memandangkan mak anak sulung keluarga dan abah pula abang tertua yang masih ada di dunia ini. Jadi rumah di tengah sawah itu menjadi tumpuan anak, cucu, adik, anak saudara, sepupu dan saudara yang lain. Riuh rendah dengan gelak tawa apa tidaknya setahun sekali bertemu sepupu sudah tentu ada yang bertambah ahli keluarga. Melihat wajah-wajah anak saudara mengenangkan semula zaman kanak-kanak lalu. Ceria tanpa duka. "Comel, anak sapa ni", tanyaku pada anak kecil yang datang beraya rumah abah. "Anak Mie, Cucu Harison", petah anak kecil itu menjawab. Ohh cucu mak su rupanya. Makin membesar keluarga Tok Cah & Tok Taib sehingga aku tidak mengenali anak-anak sepupuku sendiri malah ada sepupu yang telah bercucu pasti aku sendiri tidak mengenali jika tidak dikenalkan. Tahun ini lebih bererti memandangkan ada anak buah yang bertemu jodoh tahun ini sudah pasti mereka tidak berseorangan menyambut hari yang mulia ini.
Tahun ini hari raya akan disambut di Sungai Petani iaitu kampung suami. Kebiasaan hari raya bagi keluarga suami, kami secara berkumpulan akan beraya ke rumah Tok Yah dan saudara Mak Manis dan Ayah. Saat inilah aku dapat mengenali lebih dekat keluarga besar Tok Yah Dan Tok Nab. Memandangkan Tok Yah telah kerahmatullah seminggu sebelum ramadhan mungkin ada perancangan yang berbeza tahun ini. Namun jika diberi pilihan aku akan memilih beraya di kampung ayah, Kuala Ketil. Tempatnya nyaman dan sejuk dan terasa suasana kampung yang sebenarnya. Anak-anak jugak amat selesa jika berada di Kuala Ketil dan Sanglang.
Saudara mara adalah aset yang amat besar dalam kehidupan kita persengketaan merupakan liabiliti yang mengurangkan ketenangan dalam jiwa.....Selamat Menyambut Aidil Fitri

03 September 2009

7.9.97

Perkongsian hidup dengan seseorang yang amat istimewa dan memenuhi syarat mak, "seseorang itu mesti berasal dari Kedah dan mempunyai sekufu kuat dengan keluarga kami". Bukan bermaksud kenegerian cuma sifat seorang ibu yang tidak mahu kehilangan anaknya ditambah lagi dengan pelbagai cerita negative yang sering didengarinya.

Sekufu yang kuat mengeratkan lagi hubungan aku dengan sidia ditambah lagi kami daripada sekolah yang sama.

Perkahwinan adalah penyatuan dua keluarga dan membesarkan lagi keluarga sedia ada. Dek kerana itulah jika orang kedah datang merisik seseorang mereka akan memulakan dengan mukadimah, "kami mai nak cari adik beradik". Dalam merisik mereka mula berkenalan antara satu sama lain dan barulah mereka pergi ke pokok perbincangan iaitu penyatuan dua insan.

Cinta pada yang Esa adalah segalanya. Dengan zatNya itulah manusia membesar berpuak-puak dan berbangsa-bangsa. Tanpa kun fa ya kunNya kita tidak akan disatukan walau bertahun lama kita menganyam cinta.

Terima Kasih Ya Allah dengan sebutir nikmatMu ini.
Terima Kasih Abah, Mak, Ayah, Mak Manis dan Kakak serta Abang atas restu dan doa anda semua.
Terima Kasih papa kerna menerima seadanya....