• Kahwin di Thailand 'jenayah keluarga'
KOTA BHARU- Pasangan Malaysia yang berkahwin di selatan Thailand dianggap satu ‘jenayah keluarga’ apabila ia dirahsiakan dan boleh mendatangkan banyak masalah selepas pasangan berkenaan kembali ke tanah air.
Pendakwah bebas, Dr Abdul Basit Abdul Rahman berkata, pasangan yang berkahwin di Thailand secara sembunyi dianggap penakut dan tidak bertanggung jawab kepada keluarga kerana enggan berhadapan dengan permasalahan.

“Terdapat beberapa sebab perkahwinan secara sembunyi di selatan Thailand melibatkan pasangan muda dan mereka yang berpoligami.

“Kedua-dua golongan ini bersalah dan ia boleh dianggap sebagai jenayah dalam keluarga kerana tidak ikut undang-undang meminta izin terlebih dahulu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sambil memberikan contoh berdasarkan kisah benar yang diceritakan kepadanya, katanya, kebanyakan pasangan muda yang kahwin lari ke negara itu adalah disebabkan rasa bimbang untuk memaklumkan perkara berkenaan kepada ibu bapa dan keluarga.

Kata beliau, akibat berlaku penentangan daripada ibu dan bapa, mereka tidak mengikut peraturan dan tidak meminta izin daripada ibu bapa.

“Ada ibu bapa yang memberikan jawapan tunggu dahulu memandangkan anak mereka masih bersekolah tetapi mahu berkahwin. Pasangan muda seperti ini mengambil keputusan berkahwin di selatan Thailand,” katanya.

Beliau yang juga Pengetua Pondok Sungai Durian, Kuala Krai menyatakan, permasalahan itu juga timbul disebabkan kesilapan wali meletakkan syarat tinggi apabila menyukarkan usaha perkahwinan itu.

Abdul Basit berkata, bagi isu poligami, ia dilihat sebagai satu kesilapan suami yang dirasakan tidak ‘gentleman’ kerana mahu berkahwin satu lagi, namun tidak berani berhadapan dengan isteri pertama.

“Risiko bagi perkahwinan sebegini amat besar kerana dia menyembunyikannya dan jika lahir anak, orang tidak tahu itu anaknya. Jadi sukar mengagihkan harta pusaka kerana ia hanya diberikan kepada anak isteri pertama atas sebab perkahwinan yang dirahsiakan dan tidak berdaftar.

“Sepatutnya perkahwinan kedua itu didaftarkan kerana anak hasil perkahwinan dengan isteri kedua layak menerima harta pusakanya, namun disebabkan perkahwinan itu adalah rahsia, ia tidak mempunyai bukti bagi tuntutan nafkah serta harta,” katanya.

 Beliau berkata, masalah isu tuntutan nafkah dan harta sepencarian juga boleh timbul.