24 April 2007

Audit Diri

Sekarang kebanyakkan pekerja bahagian kewangan dan akaun sibuk membuat persediaan bagi audit tahunan atau pertengahan tahun. Pelbagai perkara perlu diselesaikan sebelum kehadiran para audit dari luar. Inbois, lejer am, akaun belum bayar, akaun belum terima, jualan, pengumuran akaun dan pelaporan perlu dikemas-kini. Ini merupakan satu rutin kemestian bagi syarikat berstatus sendirian berhad. Jika syarikat berhad banyak lagi perkara yang tidak boleh di lepas pandang. Pada masa inilah, merupakan ruang pendapatan bagi syarikat-syarikat audit serta juru auditnya.
Berbicara soal audit syarikat, berapa kalikah kita mengaudit diri sendiri, keluarga, perhubungan suami isteri, handai taulan dan masyarakat sekeliling. Dalam hal ini, bolehlah dinamakan audit sosial.
Audit terhadap diri sendiri, sejauh mana pencapaian ISO 9001 kita sendiri. Adakah pencapaian kita menepati sasaran sebelum ini ataupun telah melepasi sasaran. Apakah kayu ukur sasaran kita?. Adakah ianya berbentuk material seperti pendapatan ataupun kepuasan yang lain seperti pencapaian dari segi masa beriadah, bersosial dan menambah ilmu. Ada seorang teman baik menjadikan bahan bacaan ilmiah sebagai kayu ukur audit dirinya. Dia pernah bersedih kerana tidak dapat membaca sebarang bahan ilmiah dalam masa seminggu. Baginya bahan ilmiah itu merupakan makanan jiwanya. Puteriku yang sulung pula menjadikan setiap buku bacaannya sebagai kayu ukur kemahirannya menggunakan bahasa dengan lebih taakul lagi. Manakala ada teman lain pula menjadikan masa senggangnya dengan menghafal ayat-ayat suci serta mendalami hadis sebagai kayu ukur pencarian ilmu akhiratnya.
Apakah jangkamasa ukuran audit diri kita sendiri. Audit diri kita sebagai hamba diduniawi ini. Audit ucapan kalimah syahadat, solat wajib, sunat, puasa, zakat dan haji bagi yang berkemampuan.
Banyak perlu diaudit dan dikemas kini sebelum kita ke alam barzah.

Alhamdulillah.....

Ahhh sudah menghampiri usia 20 tahun aku mengenalinya (Matt), tersenyum sendiri bila mengenangkan bulan puasa di bumi Jitra semasa bersekolah di asrama dahulu. Kalau berkahwin di saat selepas alam persekolahan mahu usia anak 16 tahun kini. Kun fa ya kun adalah milikNYA. Saat manis zaman persekolahan adalah terlalu indah. Bersama teman-teman menganyam seribu impian yang bakal dijelmakan di masa hadapan. Cita-cita dan semangat menjadi ulam harapan. Namun perhubungan dahulu bukan semudah kini. Bertentang mata, berbicara dan lenggok jelingan memberi makna yang mendalam. Perasaan takut kepada keluarga membataskan perhubungan dua jantina. Lantaran itu hanya doa pada yang Esa agar dipanjangkan perhubungan ini. "Masa belajar bukan untuk bercinta", itu kata-kata mak bila kuceritakan berkenaan sidia. Sentiasa selepas solat lima waktu kutadahkan doa' "andai si dia jodohku maka dekatkanlah namun jika tidak maka jauhkanlah dia dr diri ini".
Nasihat ibu bapa takala belajar berbeza apabila anak-anak melepasi satu usia yang mana dinamakan usia yang patut disatukan teruna dan dara. Apabila cita-cita telah dinyalakan dan maraklah api silatulrahim dua insan. Emak menyukainya kerana sikapnya yang luhur begitu jua keluarganya. Kata abah, "macam adik-beradik kita jugak", takala serombongan keluarganya termasuk Tok Ya, Pak Cik, Mak Long, Pak Ngah, anak-anak mak Long bertandang ke rumah.
Kini di hadapan mata, dua puteri dan seorang putera yang cerdik dan nakal. Dua puteri bersifat ramah melebihi aku dan suami. Manakala, si putera mirip seperti kami berdua yang agak kurang dalam berbicara dan mengolah kakata. Isyaallah akan datang lagi namun hanya Allah SWT sahaja yang tahu samada As Siddiq atau Az Zahra. Mungkin si puteri mewarisi sifat Tok Wan Pida dan Tok Manis yang pandai berbicara dan mengolah kata. Manakala sang putera bersifat sederhana sebagaimana ayah bonda. Namun sentiasa prestasinya melebihi sifat diri yang agak pemalu itu.
Aku dan suami hampir sama dari segi komunikasi. Cerita-cerita jua sama begitu jua dengan teman-teman. Impian kami seiringan iaitu ingin pulang berbakti kepada orang tua di utara sana. Ahhhh tak sabar rasanya......berada tetap di bumi Kedah. AMIN.

23 April 2007

"Ayah dan ibu...ayah dan ibu itulah permulaan kami... dapt melihat bulan dan matahari......"

"Ayah dan ibu...ayah dan ibu
itulah permulaan kami...
dapt melihat bulan dan matahari......"

Semalam berkesempatan bersama jiran di apartment, lama benar tidak bersama-sama sampaikan aku tidak tahu bahawa bapa salah seorang jiran terlantar dihospital. Kagum aku dengan teman seorang ini, dia memang anak yang bertanggungjawab, jiran yang baik dan berhemah. Lubuk hatiku telah lama menghormati peribadinya. Kemahiran berkomunikasi aku agak lemah dan disebabkan rasa terkedu aku hanya mendengar sahaja perihal berita tersebut. Rasa bersalah menyerang lubuk hati dan dalam masa yang sama terkenangkan abah, mak serta mertua di utara sana. Bila terkenangkan semua, rasa ingin terbang disaat ini ke sana. Beginilah agaknya yang abah rasainya ketika beliau menetap di Rawang. Abah membuat keputusan pulang di Kedah demi untuk kedua ibu-bapanya (Tok Taib dan Tok Cah). Walaupun kebanyakkan adik-adiknya berada di sana, abah masih nekad untuk pulang. Sikap prihatin abah terhadap kedua ibu bapanya diwarisi oleh anak-anak pula.
Bersyukur pada Allah SWT kerana suami dan abang-kakak ipar amat prihatin dengan abah dan mak. Sebagai mana nasihat mak kepada kami supaya menganggap dan melayan pihak mertua seperti ibu bapa sendiri maka timbal balasnya menantu-menantu mak dan abah melayan abah dan mak sebagai mana ibu bapa mereka sendiri.
Biarpun ada kakak-kakak di utara sana yang mampu mengurusi abah dan mak ketika sakita demam mereka namun sebagai anak perasaanku tidak menentu apabila tidak dapat berbuat sesuatu kepada mereka disaat mereka terlantar sakit.
Nekad untuk pulang ke utara itu sesuatu yang pasti, Isyaallah dalam masa dua tahun lagi itulah janjiku pada suami. Aku sentiasa berdoa diberi kelapangan oleh Allah SWT menjaga kedua ibu bapa dan mertua disaat mereka diusia emas ini.
Disebabkan kekerapan aku dan suami bercerita berkenaan orang tua di kampung terkesan perkara ini di minda anak-anak. "Ma, nanti besar kakak nak jaga mama dgn papa tau", beritahu puteri sulung padaku pada suatu hari. "Jazakallah huqoira", balasku pada sang puteri yang sedang memahirkan komunikasi arabiknya.

19 April 2007

Aurat dan bertudung berbeza ke?

"Mama..kakak pakai tudung pergi sekolah boleh", minta puteri sulung yang bakal menyambut hari lahir ke 9 awal bulan jun nanti. "Kenapa kakak nak pakai tudung", tanyaku ringkas. "Ala mama ni, kawan-kawan kakak ramai yang pakai tau, ustaz pun tanya apasal kakak tak pakai", jelasnya panjang lebar. Sambil memegang bahunya, "Bukan mama tak kasi, mama nak kakak betul-betul faham tuntutan aurat kepada org Islam lebih tinggi daripada pakai tudung, mama tak nak kat sekolah kakak pakai tapi diluar tak, kita pakai tudung sebab di sini ( telapak tanganku menekap didadanya) bukan sebab nak ikut kawan-kawan atau fesyen.". Dahulu aku pun sepertinya pakai tudung macam kapal selam sekejap timbul lama sangat tenggelam.
Namun ada kesedaran ketika belajar di asrama, hari itu jumaat saat pelajar putra ke masjid kesempatan digunakan oleh beberapa senior putri membuat jemaah Zohor di surau. Seorang kakak senior, Kak Liza menerangkan akan kewajipan menutup aurat bagi yang telah baligh. "Adik-adik mahu ke, membina mahligai untuk mak dan ayah di neraka", selama ini mak dan ayah berbuat amal ibadah dan kerja kebajikan namun dek kerana sikap pentingkan diri adik-adik telah menyebabkan mereka dihumban ke api neraka, kerana merekalah dipertanggungjawab akan perbuatan adik-adik sehingga adik-adik bersuami", dadaku mulai sesak dan rasa sebak menebal bila terbayang abah dan mak di jilat api neraka kerana perbuatanku. Kesedaran mulai tertanam di lubuk jiwa namun aku masih membogelkan kepala dek amarah remaja. Selepas peristiwa itu beberapa tahun kemudian di perhentian bas Butterworth, seorang pemuda cina menegurku dalam dialek mereka namun selepas beberapa ketika dia bertanya samada aku berbangsa cina atau melayu. Peristiwa tersebut kuceritakan pada abah, "sbb tuh org islam kena pakai tudung sbb nak bezakan hang sapa cina ka, siam ka, nasib la dia kata kata nih anak siam mana", kata-kata abah agak melekat disanubari.
Menutup aurat adalah kemestian bagi setiap muslimah sekiranya memilih ADDIN (Islam is the of life). Aku lebih suka menggunakan istilah menutup aurat berbanding bertudung. Sesiapa sahaja boleh bertudung namun tidak ramai yang menutup aurat. Dan juga sesiapa sahaja boleh menutup aurat namun adakah ramai yang jadikan Islam sebagai satu cara hidup.
Buat yang putriku, kuingin dia fahami dan dalami kenapa muslimah diwajibkan menutup aurat bukan sekadar ikut-ikutan dan fesyen. Peliharailah orang yang anda tersayang dari api neraka itulah semulia kasih sayang.

Pida...Mohonlah kesejahteraan dan keberkatan terhadap zuriat dan rezeki yang kita peolehi.

18 April 2007

Ufuk Minda: Berdakwah zaman mencabar harus bijaksana

Oleh Dr Prof Sidek Baba
ALLAH SWT menurunkan wahyu kepada Rasulullah SAW untuk disampaikan kepada manusia. Rasulullah SAW menghazamkan makna al-Quran dalam peribadinya sehingga isterinya, Saiditina Aishah menghubungkan akhlak Rasulullah sebagai akhlak al-Quran.

Dari situ lahirlah qudwah atau contoh untuk dijadikan sumber ikutan manusia. Di samping sifat siddiq dan amanah Rasulullah SAW, Baginda membuktikan menyampaikan (tabligh) kebenaran itu menjadi kewajipan paling utama.Al-Quran tidak diturunkan dalam kekosongan. Al-Quran turun berdepan dengan hakikat kehidupan manusia. Ayat Makkiyyah atau Madaniyyah turun dalam konteks sosiobudaya, realiti sistem kepercayaan dan gaya hidup yang memerlukan metodologi amat serasi. Di Makkah ayat yang menyentuh aspek akidah menjadi keutamaan dan di Madinah ayat mengenai syariah dan cara hidup menjadi landasan.Al-Quran adalah mukjizat Allah yang membawa kebenaran untuk difahami dan diterima manusia. Ia adalah amanah untuk disampaikan kepada seluruh manusia.Al-Quran dalam Surah al-Imran, ayat 104, memberikan asas perlu ada sekumpulan manusia menyeru, mengajak, memanggil, melakukan tabligh atau dakwah iaitu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar.Rasulullah SAW juga memberikan pedoman mengenai metodologi dakwah iaitu bijaksana memahami realiti yang ada, berikan hujah terbaik dan jika berlaku perbezaan pendapat, lakukan dengan baik. Surah al-Asr juga memberikan asas supaya dalam menyampaikan kebenaran, kesabaran menjadi pedoman terbaik.Islam adalah agama dakwah. Rasulullah SAW, sahabat, tabie dan ulama adalah pendakwah serta pendidik. Wujudnya usaha dakwah dengan kegigihan, kebijaksanaan dan pengorbanan di kalangan mereka, menyebabkan Islam sampai ke alam Melayu dan berkembang sehingga ke hari ini.Kerja dakwah adalah tugas mulia. Realiti masyarakat sifatnya dinamik berubah. Faktor persekitaran dan perkembangan semasa, sama ada dalam ilmu, maklumat, teknologi dan hiburan banyak memberi kesan terhadap gaya serta cara hidup manusia. Oleh itu, persiapan pendakwah dari segi ilmu, maklumat dan metodologi juga perlu canggih supaya wujud keseimbangan antara faktor menarik dan menolak dengan faktor mengajak mereka kembali ke jalan benar.Sebagai dai’ dan murabbi, kita tidak boleh lari atau berkecuali daripada keadaan yang ada. Kebijaksanaan harus dicari, metodologi dakwah harus diteroka, kreativiti harus digarap supaya antara faktor yang dinamik berubah mampu diimbangi asas kefahaman Islam yang mampu membimbing manusia ke jalan ilmu dan syarak.Rasulullah SAW mendekati bapa saudaranya, Abu Talib dengan penuh hemah dan kebijaksanaan. Baginda menyampaikan maklumat terbaik kepadanya. Usaha melakukan yang terbaik adalah tugas dai’ dan murabbi tetapi harus diinsafi bahawa yang memberikan hidayah adalah Allah SWT. Hakikatnya, cabaran terhadap manusia adalah sama. Pada zaman jahiliyah, jenis manusia adalah ingkar terhadap wahyu Allah. Sifat jahiliyah adalah sifat sepanjang zaman.Keingkaran manusia juga berlaku pada masa kini, malah boleh berlaku pada masa depan. Tanpa dakwah dan tarbiyah, manusia akan bertambah jauh daripada kebenaran. Yang membezakan zaman lalu dengan zaman kini ialah asas mekanistik yang berbentuk teknologi. Pada hari ini, kekuatan teknologi media cetak, elektronik, sistem komunikasi dan telekomunikasi memberi kesan hebat kepada penonton dan pengguna.Usaha menyampaikan amanah Allah juga memerlukan kecanggihan. Jika tidak, dakyah atau usaha pihak yang sedang melakukan tipu daya dan penyesatan dalam pelbagai cara akan bertambah subur dan memberi kesan terutamanya kepada generasi muda.Generasi muda Islam masa kini tidak sama dengan generasi Islam masa lalu. Mereka terdedah dengan perkara baru yang mencabar sehingga setengahnya cair dan hanyut dengan budaya popular Barat yang menyebabkan kerosakan kepada minda, akhlak dan gaya hidup. Jika kerosakan terus berlaku, bayangkan jenis generasi yang bakal lahir bagi menawarkan kepimpinan Islam pada masa depan.Keadaan itu menuntut ketrampilan pendakwah melakukan tabligh atau dakwah dan tarbiyyah dai di gelanggang. Ada setengah umat Islam semacam putus asa dengan apa yang sedang berlaku dan menyerahkannya kepada takdir. Tetapi, perlu ada di kalangan umat melihat situasi sebegini sebagai cabaran melakukan dakwah.Sekitar 70-an dan 80-an, dakwah lebih banyak menumpu kepada perubahan pemikiran dan hati. Tetapi, hari ini pendekatan dakwah harus menyesuaikan diri dengan kecanggihan teknologi yang sangat memberi kesan terhadap cara hidup manusia.Sedikit dakwah yang berlaku kadang-kadang cair dengan dakyah yang berjalan. Ia menyebabkan sebahagian generasi muda menjadi celaru dan keliru kerana dakwah dan dakyah membawa dua sistem nilai berbeza. Yang satu mengajak manusia melakukan kemakrufan dan satu lagi menyediakan jalan kemungkaran.Dekad terdahulu, kita berdepan dengan masyarakat daif ilmu dan maklumat. Hari ini, kita berhadapan dengan masyarakat berpelajaran, kelas menengah yang semakin meningkat, arus kemewahan dan keselesaan yang ketara. Ia mencabar pendakwah mencari jalan terbaik bagaimana dakwah boleh berjalan. Jika usaha dakwah diolah dengan bijaksana, sama ada melalui laman web, internet, lama sembang, blog, penghasilan buku dan karya kreatif mahupun melakukan komunikasi menerusi perbincangan, pertukaran pendapat, seminar dan bengkel dan ziarah, ia boleh meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap Islam.

17 April 2007

Kita makin tua.....

Tahun ini kesihatan abah, mak serta Tok Yah (Nenek suami) tidak memberansangkan. Bila usia mulai mencengkam pelbagai masalah kesihatan akan mendatang. Usia abah mendekati pertengahan 70 tahun begitu jua mak. Manakala Tok Yah mendekati usia 90 tahun. Sudah bertahun selepas kematian Tok Cah (ibu abah) pada tahun 1985, kali ini bila abah mula sakit-sakit dan dimasukkan kehospital akui mulai perasaan 20 tahun dahulu. Mata mak pula makin teruk rabun, penghujung bulan julai ini mak akan melalui pembedahan membuang selaput mata. Mak pernah menyuarakan rasa bimbangnya dengan operasi yang bakal dilaluinya nanti. Manakala sakit tua Tok Yah makin menebal, sampai ada suatu ketika semua anak-anaknya berkumpul membaca yassin memandangkan keuzuranan beliau yang menjadi-jadi.
"Macam mana yea ...kita bila dah tua", luah suara suami pada petang hari minggu lalu. Aku tersenyum. "Awat lani tak rasa tua ka", sengaja aku mengusik. "Tak la macam tuh....tua macam Tok, Abah", jelas suami. "Semua orang akan lalui kitaran tu jika dikehendakiNya", jawabku ringkas. "Kan seronok kalau tua-tua kita duduk di Kedah, adik-beradik pun ramai", pintas suami. Memang benar saat usia menerjah 30 an ini gemersik rindu pada bumi hijau kuning bertalu-talu. Rindukan kampung laman, abah, mak serta saudara taulan bagai menjadi-jadi di tika ini. Pada sang putri dan putraku sering kami khabarkan akan kerinduan tersebut. Dek itu jua kerap kulihat lukisan puteriku yang sulung tergambar sawah padi serta sebuah rumah dipinggiran sawah.
Keakraban hubungan kekeluargaan menyemarakkan lagi perasaan ingin pulang. Mungkin setahun dua lagi kami bermaustautin di sini.........

16 April 2007

Siapa di hatimu?

"Siapa di hatimu?
Siapa yang kau rindu?
Siapa yang ada di dalam hatimu?
Si dia di hati ku...
Si dia yang ku rindu
Si dia yang ada di dalam hatiku"

Sekadar mengambil dua rangkap lagu ciptaan Yassin yang dinyanyikan oleh Akhbar, siapa di hati kita sekarang?. Hanya diri kita yang mampu memberi jawapannya. Ada yang mengatakan suami, anak-anak, ibu-bapa, saudara dan materialis jugak. Siapa di hati kita itu yang akan menentukan perjalanan hidup kita. Jika di hati kita merupakan ibu bapa wajarnya kita menjadi anak yang bertanggungjawab perihal mereka terutama di hari tua mereka. Tidak kurang pulang menyatakan suami atau isteri di hatinya dan pastinya menjadi suami atau isteri yang budiman.

Bagaimana pula sesetengah pihak yang lain yang merupakan suami atau tapi siapa di dihati mereka yang mana jawapan yang tersembul itu yang membuka pintu kecurangan rumahtangga serta kemaksiatan dan pasti yang menjadi mangsa adalah anak-anak yang tidak berdosa.

Siapa di hatimu? Allah SWT dan Addin (Islam is the way of life), merindui Pencipta membuatkan kita takut padanya lantas menyusupi lunas-lunas yng dikehendakkiNYa dalam sesuatu perhubungan berdasarkan Hablullminnan nas (Cinta sesama manusia). Kecintaan pada Allah SWT meletakkan seorang suami atau Isteri dilandasan yang benar. Takut mereka akan apa neraka kerana kecurangan dan tidak bertanggungjawab. Kecintaan pada Allah SWT jugak meletakkan seorang anak sentiasa merasai perit jerih kedua ibubapanya membesarkannya.

Sebagai suami atau isteri jadilah insan yang bertanggungjawab terutama kepada persekitaran kita (pasangan, anak-anak, ibu-bapa, mertua, jiran dan saudara taulan). Jangan sesekali mendekati zina.

Pesan mak, "terimalah pasangan kita seadanya dan sentiasa berdoa kebahagian hidup dunia dan akhirat serta jangan lupa ibunya jua ibu kita layani mereka seperti ibu kandung kita".

Pida.....sedih dengan kemelut kecurangan ynag melibatkan rumahtangga umat Islam kini

Resepi dan belajar masak

Tidak semena-mena selepas menikmati makan tengah hari semalam si puteri sulung bertanya, "bila mama mula belajar masak", "dah kahwin baru mama belajar", jawabku ringkas. "Ohhh masak duduk dengan mak tok dulu mama tak belajar?, tanyanya lagi. "Tak sempat la kakak mama stay kat hostel", pertanyaan terhenti disitu agaknya sudah puas hati dengan jawapan yang diberikan.
Memang benar, aku kurang arif perihal masakan, boleh memasak namun sekadar untuk diri sendiri dan keluarga. Sebagai anak bongsu yang mempunyai 5 kakak dan 3 abang yang mewarisi kepandaian memasakan abah dan emak membuatkan diri ini kebelakang ditambah dengan sikap malas ke dapur sendiri. Namun, Alhamdulillah suami bukan jenis yang cerewet soal masakan. Apa sahaja, si isteri masak semua dimakannya.
Jika kepingin sesuatu masakan pastinya telefon di Pida Sanglang akan berdering. Abah sudah dapat meneka keperluan sibongsunya jika yang dicari adalah emak. "Mak nak buat tepung bungkuih macam mana", tanyaku suatu ketika bulan lepas. Terdengar ketawa abah dibelakang emak, apa tidaknya jika diminta ke dapur suatu ketika dahulu pasti pelbagai alasan aku berikan dan aku lebih rela berada di atas mesin padi atai traktor di sawah bersama abah berbanding berpanas di dapur.
Sebenarnya rindu aku dengan resepi-resepi mak seperti otak-otak ikan haruan, tepung bungkus, lepat liat, peria sumbat, sotong sumbat ....
Lambat lagi penghujung april .....rindukan hembusan angin sawah.

12 April 2007

Sakit Gigi......

Semalam dan beberapa malam sebelumnya, dinari aku mula diserang denyutan bermula daripada geraham bongsu menular ke saraf kepala... ahhhh sakitnya bila sakit gigi. Apa yang dibuat serba tidak kena...denyutan tersebut membuatkan tidur malamku tidak seperti hari-hari sebelumnya. Itulah padanya apabila makanan yang berunsur kalsium dikeluarkan dr senarai makanan harian. Apabila badan sarat sebegini masalah gigi mula melanda.
Pagi tadi, selepas menurunkan si taurus aku mula memecut melalui Sea Park terus ke Hospital Universiti, Falkulti Pergigian. Niat asal hanya menampal namun apabila di periksa lubang dibahagian gigi yang sakit itu aku dinasihatkan untuk mencabut si geraham.
Sekarang tiada geraham namun kesan potongan kecil bahagian isi gusi membuatkan kesakitan lain pula melanda. .......Waaaaaaa

Kita yang bernama?

Seribu cerita terungkap disebalik nama. Bak kata pepatah “harimau mati meninggalkan belang manakala manusia mati meninggalkan nama”. Nama yang baik, patriotisme, ekonomik, sainstis, dan ulama memberi kesan berabad lamanya kepada manusia. Nama menonjolkan seseorang individu. Cerita yang tersirat disebalik nama, amat menarik sekali terutamanya apabila diceritakan oleh orang yang kita sayangi contohnya seperti kedua ibu bapa kita. Namaku seolah tiada makna jika dialih kebahasa arab dan dahulu kerap namaku di ketawakan oleh teman sekelas dek kerana namaku menyamai istilah geografi bagi tasik garam di pergurunan.

Tersenyum sendiri bila mengenangkan cerita mak bagaimana namaku yang tertera dalam kad pengenalan (I/C) di berikan. Terima kasih abang Dul (Abdul – Hamba) dengan nama yang ringkas ini. Senang disebut dan mudah diingat. Semestinya setiap ibu bapa mempunyai sebab musabab dalam memberi nama kepada seseorang anak. Dahulu, boleh dikatakan kebanyakkan ibu-bapa melayu gemar menamai anak dengan permulaan Muhammad bagi anak lelaki dan Nur pula bagi anak perempuan. Cemburu juga aku semasa dibangku sekolah bila ada teman bernama Nur, terasa indah benar nama Nur itu. Semasa memasuki dunia pekerjaan sebuah konglomerat besar ketika itu di Jalan Klang Lama, ada seorang kakak menamai setiap anak-anak lelakinya dengan permulaan nama “Ali”. Bila di ulang sebutan “Ali” dengan sebutan arab, ahhh amat indah dan merdu bunyinya. Namun aku dan suami telah bersepakat mencari kelainan bagi zuriat kami. Sesuatu yang jarang-jarang di ditemui dan membawa sinar di masa hadapan. Setiap puteri dan putera kami namai permulaannya dengan Nadhira/Nadhir (perkara yg jarang-jarang berlaku atau jika sebutan arabnya berubah makna akan menjadi yang bersinar-sinar). Nadhir/Nadhira umpama nama keluarga dan di sepadu dengan gelaran para sahabat nabi atau isteri serta anak-anak Nabi Muhammad (SAW) yang aku dan suami kagumi.

Puteri yang pertama (Malisha) yang selalu bersoal jawab perihal nama, “apasal nama kakak tak de makna cam adik & abang”, “sapa kata tak ada setiap huruf nama kata ada nama papa dan mama dan kakak anugerah Allah SWT yang pertama buat mama dan papa”, jelasku padanya. Dia ditatang oleh setiap orang tidak kira siapa disaat kehamilan dan melahirkannya. Penerangan tersebut membuatkan dia amat bangga dengan namanya itu. Keyakinan dirinya amat tinggi dan amat mudah dalam interaksi sosial.

Umar Al Khattab (RA) seorang sahabat nabi dan khalifah kedua di zaman pemerintahan Ar Rashidin menjadi pilihan buat putera pertama kami. Sifat keras dan kuat terpancar dalam dirinya dalam menegakkan pendiriannya. Satu lagi, dirinya mudah mengingati ayat-ayat Allat SWT berbanding perkara lain. Tangisannya yang kuat menggegarkan apartment kami bagai sebilah pedang yang mampu menghunus ke perut lawan.

Humairaa (yang kemerah-merahan) merupakan gelaran yang diberikan oleh Rasulullah SAW buat isterinya Saiditina Aishah RA. Secara fizikal dari sejarah Saiditina Aishah RA digambarkan kecil. Namun daya ingatan isteri nabi ini amat tinggi. Nama ini dijadikan pilihan buat puteri kedua yang mana merupakan zuriat ketiga kami. Cerdas dan licik dan petah berkata-kata merupakan ciri anak ini. Pantas dalam mengaut ilmu membuatkan kami seringkali terpana dengan anak 4 tahun 7 bulan ini.

Pelbagai nama indah dalam Islam dan ianya bergantung kepada diri kita dalam menamai zuriat kita. Nama umpama doa buat mereka. Namun ianya wajar disusuli dengan contoh teladan sifat-sifat mulia Rasulullah SAW dan para anbia serta doa-doa anak beriman, moga lebih terkesan di dalam diri mereka dalam menjalani kehidupan di mandani ini.


Pida....
Berdoalahlah sentiasa buat ayah bonda dan juga zuriat kita.....(Surah Ibrahim ayat 40-41). Moga anak soleh milik anda dan kita adalah seorang darinya.....Aminnnnn