28 June 2007

Malisha.... dunia buku dan hobi


Puteri pertama ternyata mewarisi hampir 90% sifatku. Cintanya pada dunia buku dan bacaan amat ketara sekali sehingga dianugerahkan sebagai pelajar yang paling banyak membaca pada tahun lepas di sekolahnya. Rutin hariannya samada dengan buku ataupun keratan akhbar. Hinggakan hadiah harijadinya pun yang diminta hanya buku.
Sedari usia meniarap aku dan suami perkenalkan buku padanya dan beliau boleh membaca seawal usia 3 tahun. Bermula dari saat itu kami banyak membeli bahan bacaan padanya.
Walaupun adik-adiknya (al khattab dan Humairaa) tidak sepertinya namun aura kakak sulung sedikit sebanyak mempengaruhi mereka. Bila melihat kakak memegang buku mereka turut serta walau hanya beberapa minit dan kemudian mereka kembali dengan rutin melukis yang menjadi kegemaran.
Disaat ini aku hanya membiarkan sahaja bacaan yang dipilih samada yang kami beli dari kedai buku atau yang dipinjamnya diperpustakaan. Namun dalam pada itu sekali sekala kutegaskan seharusnya bacaan yang dipilih hendaklah ilmiah yang mana dapat membantu menajamkan pengetahuan diri sendiri.
Selain itu minatnya kepada bahasa arab amat ketara membuatkannya sering membaca al quran. Ini dapat dilihat dari segi pencapaian bahasa arab yang sentiasa di atas 90.
Sukan dan aktiviti riadah jua antara kegemarannya. Hari rabu merupakan hari yang paling disukainya memandangkan aktiviti sukan dan ko kurikulum di adakan pada hari ini. Suatu yang menjadi kebanggaan suamiku, Malisha dan al khattab tidak pernah pulang dengan tangan kosong sekiranya diadakan aktiviti sukan tahunan. Ada perkara yang diwarisi dari papanya..sukan. Tahun ini merupakan kali pertama Malisha terpilih dalam acara padang iaitu lari jarak dekat. Mendapat tempat ketiga membuatkannya sedikit kecewa namun aku memujuknya yang kami amat bangga dengan pencapaian tersebut.
Sensitifnya pada alam sekitar dan unsur-unsur seni serta puisi membuatkan aku sebak. Cermin diriku dan acuan suami. Nadhira Malisha.

27 June 2007

Bersalin lagi...anak ke berapa?

Suatu perkara yang menjadi phobia dikalangan kaum wanita bila bercerita perihal pengalaman mengandung dan bersalin. Namun perkara tersebut perlu dilalui di atas nama seorang ibu yang mana di letakkan Allah SWT "syurga itu ditelapak kaki itu". Perasaan sensitif seorang ibu berbeza daripada bapa di mana seorang ibu itu memahami akan keperluan anak-anak tanpa perlu disuarakan kepadanya. Rajuk, tangis, manja dan amukan seorang anak mampu dilayan dengan sabar oleh ibu. Itulah wanita yang dikelaskan sebagai ibu.
Kali ini merupakan kali keempat aku membawa kandungan, berbeza daripada kandungan sebelumnya maklumlah dahulu umur dalam 20-an di saat tenaga memuncak namun kini kerap kali aku termengah-tengah biarpun usia janin baru menjangkau 32 minggu. Anak pertama hingga ketiga aku memilih pusat rawatan swasta memandangkan aku masih ngeri dengan khabaran mengenai perilaku petugas hospital kerajaan (awam). Bagaimanapun anak yang ketiga di lahirkan di Hospital Besar Kangar Perlis yang kebetulan ketika itu kami sekelurga pulang menghadiri kenduri kahwin adik suami di Sg Petani. Pengalaman pertama di Hospital Kangar di mana layanan petugas amat berbeza daripada khabaran-khabaran sebelumnya dan bila terkenangkan mereka semua ingin sekali aku ke sana . Terima kasih buat semua petugas Wad Bersalin Hospital Besar Kangar terutama jururawat bidan yang bertugas dikala itu.
Hampir 5 tahun kenangan itu berlalu......

15 June 2007

Kerjaya Pilihan

Jika diberi pilihan apa yang ingin anda lakukan. Sebagai anak bongsu yang berjarak umur dengan kakak serta abang lain aku mempunyai imaginasi tersendiri sedari dahulu. Duniaku di tengah sawah bersama beberapa ekor kucing belaan, ikan keli di telaga belakang rumah serta bahan bacaan yang dibekalkan oleh mak, abah dan kak tie membuatkan aku amat sensitif dengan alam. Pergerakan alam sedari fajar menyingsing hingga mentari terbenam dan saat rembulan berterapungan diangkasa serta tiadanyanya dia. Cerita abah berkenaan pasang surut air laut dan perkaitannya dengan pergerakkan bulan yang menjadi panduan para nelayan di tepian laut. Kerap jua aku mengikuti abah membajak di atas traktor pembajak dan kadang kala menjinjing bakul membontoti abah menjala ikan di sungai pida.
Saat pendidikan awal aku mula kepingin menuntut ilmu di Sek Sri Putri atau Tun Fatimah yang mana dari pembacaan kuketahui sekolah-sekolah tersebut banyak melahirkan cendekiawan negara. Ehem...mungkin tiada rezekiku di sana namun kuikuti perjalanan Dr Seri Anwar Ibrahim yang berkarisma itu begitu jua temannya Rais Hishamudin tidak lupa juga Tun Dr Mahatdir. Kekaguman Abah pada Tunku Abd Rahman menjangkiti anaknya. Teringatku salah satu kata-kata Tunku, "bila kita dok ataih kita nampak kesemuanya dan keputusan kita berdasarkan apa yang kita nampak namun bila kita dok di bawah hanya diri kita sahaja lalu perjuangan kita berdasarkan diri kita", itu antara ringkasan kata-katanya. Kata-kata itu membengkam di atma jelas meletakkan diri supaya tidak pentingkan diri sendiri.
Apa yang aku ingin jadikan sebagai kerjaya masa depan?
Diperingkat sekolah menengah setelah memasuki aliran sains tulen cita-cita menjurus kepada fizik dan kaji bintang. Itulah yg di kata kun fa yakun itu milik Allah SWT dan akhirnya bidang perakaunan menjadi kerjaya buat sementara ini dan jika ada pilihan lagi aku ingin meneroka alam dan insan serta bercerita tentangnya......

14 June 2007

Aku di balkoni itu!!!

Terasa amat lama aku tidak menghabiskan masa di balkoni rumah, kesibukan dengan majlis walimatulurus membuatkan kami sekeluarga terkejar-kejar ke Pahang dan Kedah sepanjang cuti persekolahan lepas. Ahh masih dengan lelah kepenatan walimatulurus.
Berada di balkoni seperti jua berada ditengah sawah di Sanglang sana. Menikmati panorama sebahagian Puchong dilatari neon-neon sepanjang LDP serta sebutir bintang berkelipan di angkasa raya ditambah lagi sekali sekala cahaya kapal terbang menanti isyarat mendarat KLIA membuatkan segala kepenatan hilang seketika. Jika cuaca cerah lakaran pencakar lambang kemodenan kota KL akan dapat dilihat drp balkoni ini. Begitu jua dengan kota judi yang disimbolkan sebagai kota keriangan Malaysia. Lambang keteguhan ringgit Malaysia di paparkan dengan mercu hypermarket serta deretan pejabat sepanjang LDP memeriahkan bumi Puchong yang dahulunya cuma terkenal dengan lombong-lombong dedah, estet-estet kelapa sawit serta getah dan buayanya. LDP tidak pernah sunyi dengan mobil biarpun dihujung minggu. Sesekali mataku menerawang ke deretan perumahan mewah yang dibangunkan oleh IOI di atas penghung bukit Bandar Puteri Puchong.
Dahulu tika di laman abah aku kerap memerhatikan langit di malam hari. Amat aku kagumi limpahan butiran bintang yang diburujkan. Saat malam dilimpahi cahaya sang rembulan penuh amat kurindui. Dek kerana itu hingga kini jika menjelang purnama penuh akan kulapangkan langsir dijendela biar cahayanya menerus masuk ke kamar.

langkah pertama al khattab

Sebelum bermula cuti sekolah al khattab telah menyerahkan 3 jawapan peperiksaan pertengahan, Alhamdulillah memberangsangkan. Semalam dia berikan lagi baki matapelajaran yang diambilnya. Tidak seperti kakaknya, Malisha yang sentiasa menonjol dalam apa jua perkara. Al Khattab ini sentiasa tidak dapat dijangka. Nampak lemah diluar namun ada kekuatan yang tersembunyi yang kadang kala aku dan suami tidak mengetahuinya. Semua matapelajaran boleh dikatakan mendapat A. Masalah dialesianya makin kurang.
Apapun pengaruh Kakak amat kuat pada dirinya. Perhubungan sosialnya banyak bergantung pada kakaknya. Bersyukur pada Allah SWT kerana dikurniakan anak sulung seperti Malisha. Kekuatan yang ada pada dirinya memantapkan sosialiti adik-adik di bawahnya.
Satu ciuman buat al khattab atas kejayaan pertamanya di tahun satu SKPBP(2), dan pasti mama akan tunaikan janji mama. semoga Allah SWT sentiasa merahmati zuriat kami dan jadikan mereka dikalangan insan yang sentiasa tinggikan ilmu pengetahuan serta bertakwa. AMIN