KUANTAN - Seorang suri rumah kini berada dalam keadaan tertekan apabila anak gadisnya Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, hilang sejak tengah hari semalam dipercayai diculik tiga individu dalam kejadian di Taman Tas dekat sini.     

Nor Mala Mohd Lazin, 34, berkata kejadian berlaku ketika anak sulungnya itu ke kedai telefon berhampiran rumah mereka bersama dua adiknya Siti Nurul Aishah dan Mohd Shahmi Aiman yang masing-masing berusia 11 tahun.  

"Saya terkejut apabila kedua-dua anak saya pulang tergesa-gesa ke rumah sambil menangis tanpa kakaknya dan apabila ditanya mengapa menangis, mereka memberitahu kakak Fatihah dilarikan orang," katanya kepada pemberita, di rumahnya di sini hari ini.  

Katanya beliau diberitahu Nurul Aishah bahawa kakaknya dilarikan dengan sebuah kereta bercermin gelap dipandu seorang wanita yang turut dinaiki dua lelaki.  

"Kereta tersebut tiba-tiba berhenti berhampiran mereka sebelum seorang lelaki yang duduk di belakang membuka pintu dan menarik Fatihah. Kedua-dua adiknya itu sempat menarik kakak mereka namun terlepas," katanya.

Beliau berkata Fatihah yang merupakan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan di sini, adalah anak yang baik dan tidak akan ke mana-mana tanpa keluarga.  

"Saya betul-betul risaukan Fatihah," katanya lagi.   

Sementara itu Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, DSP Kamaruzzaman Jaafar mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berkenaan kes tersebut kira-kira pukul 4 petang semalam.  

Polis sedang menyiasat kes itu termasuk sama ada mangsa mengenali suspek, katanya.  

"Kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan di atas kesalahan menculik daripada penjaga yang sah," katanya. - Bernama
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambaran pandangan dan pendirian kami.