26 February 2007

Ahhhh ....sangkut dlm Traffic Jam


Jumaat 16.02.2007, jam 4.00 bergerak keluar drp Intan menuju Anggerik daripada situ berama adik ipar Syerrie (UDA) bergerak ke Yap Kwan Seng, KL untuk mendapatkan suami. Jam 5.00 pm perjalanan menuju Plaza Tol Jalan Duta. Kesesakan mula terasa memandangkan ketika itu warga kota mulai pulang daripada pejabat. Pergerakan mobil berkapasiti 1.6 ini terasa perlahan teramat untuk sampai ke Rawang. Terlihat beberapa kereta yang mengambil laluan kecemasan kerana tidak sabar dengan kesesakan ini. Namun akhirnya pemandu-pemandu ini disaman oleh penguatkuasa (JPJ). Anak-anak yang belum habih lelah pulang sekolah terkulai melayan mimpi enak di kampung nanti.
Penanda minyak memberi amaran merah, akhirnya kami berhenti di stesen minyak petronas R&R Rawang. Disamping mengisi tangki kami sekeluarga turut menikmati minuman nescafe percuma daripada Petronas. Rupanya, ada lagi saudara suami berhenti di sana, apalagi bermulalah sembang keluarga sebelum meneruskan perjalanan.
Perjalanan masih lagi sesak. Senja kian berlabuh. Nampaknya laluan kecemasan dijadikan laluan alternatif kepada pemandu yang tidak berhemah. Kesesakan R&R membuatkan aku dan suami mengambil keputusan menjamakkan Maghrib ke Ihsya.
Alhamdullah, melepasi tol Ipoh selatan kesesakan mulai reda. Lapang dada melihat lebuhraya. Tepat 11.20 pm kami tiba dilaman rumah mertua di Sg Petani.
Ehem..esok perjalan diteruskan lagi ke utara Kedah.

Dimana Pida Sanglang


Suatu ketika dahulu kota inilah yang memegang erat telapak kakiku sehingga aku merasakan ia adalah pemaustautinanku. Namun setelah menempuh pelbagai simptom kota, aku dan keluarga ingin menikmati ketenangan dan kedamaian serta ingin berbakti kepada bonda di tengah sawah menghijau di Pida, Sanglang sana.

Pida, Sanglang tidaklah segah Bukit Bintang, tidak menjadi tumpuan seperti KLCC namun Pida, Sanglang adalah pertempatan pertanian berasaskan padi. Saujana mata memanjang kehijauan sawah padi yang memukau lantaran itulah jelapang padi Malaysia. Pertempatan yang diselarati dengan puluhan taliair Pengairan Muda yang disalurkan daripada Empangan Pedu.
Petempatan-petempatan inilah yang memenuhi periuk-periuk se Malaysia. Sudah pasti umum telah mengetahui produk-produk beras seperti Jasmin, Bernas, Fajar dan beberapa lagi merupakan hasil titik peluh petani-petani Kubang Pasu.

Sanglang adalah sebahagian Kubang Pasu, berada dipersempadanan Kedah dan Perlis. Satu daerah yang menyumbang pelbagai tokoh utama negara. Jitra ialah pekan utamanya tidaklah sesibuk pekan lain di Kedah namun daerah ini telah dinobatkan sebagai daerah pendidikan negeri. Terdapat beberapa pusat pendidikan berada di daerah ini seperi Universiti Utara Malaysia, Institut Perguruan Sultan Abdul Halim, Politeknik Sultan Abdul Halim dan beberapa institusi berasaskan teknikal di Tanah Merah, Kedah.

Dilihat dari segi penduduknya Kubang Pasu dilihat antara daerah di Kedah yang mempunyai paras pendapatan perkapita yang agak stabil. Paras kemiskinan di daerah ini adalah rendah berbanding daeah lain di negeri Kedah. Ini mungkin disebabkan kesedaran terhadap pendidikan oleh generasi terdahulu menyebabkan pelbagai perubahan telah dinikmati oleh generasi sekarang. Arus kemodenan yang melanda sedikit sebanyak telah mengubah peradapan yang di amalkan oleh masyarakat lama. Mungkin amalan gotong-royong menyediakan kenduri kahwin sudah kurang di amalkan kerana generasi kini lebih tertumpu kepada sektor penggajian yang telah menghadkan masa mereka bermasyarakat.

Tidaklah susah jika ingin menembusi pertempatan Sanglang memandangkan ia berada ditengah-tengah laluan utama ke Kuala Perlis. Daripada Kota Setar samada melalui jalan persekutuan iaitu Jalan Syed Putra melalui beberapa pekan kecil seperti Mergong, Kuala Sungai, Alor Janggus, Air Hitam, Kerpan seterusnya Sanglang. Pertempatan selari daripada pekan Sanglang ke Kodiang jua boleh di tembusi dengan menaiki keretapi tanah Melayu (KTM) di perhentian Arau ataupun Kodiang. Selain itu ia boleh ditembusi melalui Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), melalui PLUS perjalanan perlu diteruskan sehingga melepasi pekan Changloon kemudian diikuti dengan Kuala Perlis Expressway dengan memasuki persimpangan Arau. Perjalanan perlu diambil kearah Kodiang kemudian ke Sanglang. Jika berada di Jitra boleh juga melalui Jalan Kodiang-Kangar dengan melalui pekan Tunjang, Padang Sera seterusnya Kodiang dan Sanglang.

Pelbagai hidangan yang enak boleh dinikmati sepanjang perjalanan ke Sanglang, misalnya boleh singgah di Telok Kechai, Kuala Kedah menikmati Laksa Kedah yang tiada tolok banding kesedapannya. Begitu jua di Kuala Perlis tersaji juga hidangan Laksa ala Perlis tersendiri. Bersantai seketika di Kodiang menikmati pasembor yang memang menyelerakan. Begitu jua dengan Mee bandungnya. Jika ingin membeli belah dengan harga bart, Thailand bolehlah menyusur PLUS terus ke Bukit Kayu Hitam atau Danok. Ada penduduk setempat memberitahu Wang Klian dan Padang Besar tidak kurang jua hebatnya jika ingin memberi produk Thailand. Namun kini sudah ada alternatif baru, pergi saja ke Alor Setar, Sakan, Borong Man dan beberapa rangkaian perniagaan lain juga telah siap sedia dengan produk Thailand dengan harga yang berpatutan.

Tentu ada yang pernah menikmati mangga sala, harum manis, mangga panjang. Kalau kena musimnya sudah pasti daerah ini kebanjiran dengan mangga.....

15 February 2007

Warisan Pida Sanglang suatu kebangaan


Menurut abah melalui cerita-cerita yang aku dengari daripada mulutnya, Pida 9 dan pida-pida yang sewaktu di Sanglang di buka oleh generasi datukku (tok wan panggilan datuk bagi orang-orang Kedah) iaitu bapa abah. Kebanyakkan peneroka kawasan paya di Sanglang merupakan orang luar samada daripada Perak, Pulau Pinang, Perlis, Pattani, Yala, Setul dan Kelantan. Perbezaan loghat atau telo percakapan sedikit berbeza berbanding pertempatan lain di Kedah. Mungkin ianya dipengaruhi oleh bawaan nenek moyang daripada pertempatan asal. Loghat masih bertiun Kedah namun idqamnya lebih lembut dan beralun berbanding idqam percakapan Kedah Selatan dan Pulau Pinang.

Semasa proses membuka atau meneroka tanah-tanah pida pelbagai kesukaran yang terpaksa ditempuhi oleh generasi dahulu. Mereka terpaksa menembusi, menebang dan menerang hutan bertam, nipah, menerong dan pelbagai yang tumbuh meliar sebagai hutan paya. Apa yang pasti generasi ini mengetahui akan tanah subur yang bakal dinikmati oleh generasi dihadapan mereka.


Siapa menyangka dataran yang terhampar dengan sawah padi menghijau sekarang rupanya hutan paya suatu ketika dahulu. Terima kasih Tok Wan dan Tok kerana kegigihan yang memberi imbuhan kepada anak-cucu kini. Tahun 1960an dan 70an bermula projek membuat saliran di beberapa kawasan sekitar Kubang Pasu dan Kota Setar. Cerita mak, "masa tu susah nak seberang pi rumah Tok Wa pasai kerajaan dah mula korek sungai nak bagi senang orang tanam padi dapat ayaq". Kini Sanglang, Lana Bulu, Tunjang dan beberapa tempat yang sewaktu dengannya berselirat dengan taliair. Malah pada tahun 1990an bermula satu lagi projek taliair yang merentangi sawah yang mana membolehkan petani-petani kawasan tersebut menanam padi 5 kali selama 2 tahun. Pastinya lebih lumayan berbanding tahun-tahun terdahulu, iaitu semasa padi setahun sekali.

Tidak sempat Tok Wan menikmati benafaat saliran dan empangan pedu. Walaupun dahulu Tok Wan menanam padi setahun sekali namun jelapang besar penjuru laman rumahnya tidak pernah susut dengan padi. Sesekali anak-cucu balik Tok Wan akan mengarahkan bapa saudara mengambil padi di dalam jelapang untuk diproses. Tok Wan memilih padi sebagai mata pencariannya kerana padi merupakan makanan ruji orang melayu selain itu ia juga ingin meneruskan warisan keluarga yang dibawa daripada Pattani. Nampaknya pemilihan Tok Wan ada benarnya. Ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu, diberitakan ramai yang kebulur dan ada tidak mendapat makanan yang berkhasiat. Namun bagi penduduk Sanglang yang bermata pencarian penanam padi kurang mengalami masalah ini.

Aku, abang dan kakak merupakan generasi ke tiga. Nampaknya hingga kini belum ada seorangpun yang tampil mewarisi mata pencarian Tok Wan. Jika soal nasi tidak mahu makan beras campur yang bersepah di pasaran sanggup meredah tol PLUS setiap bulan mencari stok beras sawah Abah yang berkualiti. Namun jika disuruh masuk sawah (petak panggilan orang utara) semua menolak. Itulah warisan Tok Wan. Tersenyum sendiri kerna tidak mampu memijak rumput dan masih beranggan dengan kejora.

Nak Balik Kampung


Hanya beberapa jam lagi aku dan keluarga akan memulakan perjalanan ke utara. Teruja rasanya dengan hembusan bayu timur laut yang mendatang dari sawah yang terhampar luas. Semalam abah telefon, "kata nak balik, bila harinya", tanya abah. "Bertolak jumaat petang kut kalau tak dak apa-apa", beritahu aku pada abah. Perbualan kemudiannya disambung dengan puteri dan puteraku bersilih ganti. Rindu benar mereka dengan tok dan tok wan mereka. Untung benar, mereka sempat merasai kasih dan sayang datuk dan nenek.
Filem-filem Thailand membuatkan aku terkenangkan Tok Cah ibu kepada abah. Aku mengingatinya disaat dia telah nazak. Dia berkomunikasi menggunakan bahasa siam itu terbenam di ingatanku. Pohonan nipah yang meredupkan tanah serta niranya membuatkan rinduku kepada pida_sanglang membuak-buak.
Dalam kehidupan ada perkara yang noleh dibeli dan dicari dan perkara lain hanya boleh disimpan sebagai kenangan indah yang tidak kedapan di mana-mana.

14 February 2007

Opppss Rindu kampung


Ahhh...semenjak aidil fitri 1427 yg lalu hingga kini belum lagi aku menjejakkan kaki ke laman abah. Rindu teramat. Rindu dengan usikan abah dan mak serta gelak tawa kakak serta abang. Takala angin monson timur laut beralnino ini menerjah wajah sekaligus ingatanku diusung ke bumi Sanglang. Saat ini, pasti padi sudah dituai dan para petani giat membakar jerami bagi. Pedih mata dengan asap jerami tersebut. Panorama yang mungkin tidak akan aku temui di mana-mana.
Kepada kakak, puteri sulung sering kali kugambarkan padanya bagaimana indahnya Pida sanglang yang berselirat dengan tali air itu. "Kakak tau masa macam ni selalu mama dan pak cik Don masuk ke parit untuk menimba air dan menangkap ikan, best", ceritaku pada kakak. "Selalu mama dapat ikan apa, ikan keli ada tak", tanya sikakak. "Ehem..selalu ikan ruan (haruan), pernah mama terpegang ular terus mama balik pada pak cik", terangku sambil tertawa diikuti dgn si kakak.
Keharuman jerami padi menyemarakkan lagi monson ini. Panas membakar rona kulit. Tiupan angin kencang berselang dengan renggekkan dedaun pohon mempelam sala mengegarkan ingatanku. Ahhh...rindu dengan buah setoiii......