Warisan Pida Sanglang suatu kebangaan
Menurut abah melalui cerita-cerita yang aku dengari daripada mulutnya, Pida 9 dan pida-pida yang sewaktu di Sanglang di buka oleh generasi datukku (tok wan panggilan datuk bagi orang-orang Kedah) iaitu bapa abah. Kebanyakkan peneroka kawasan paya di Sanglang merupakan orang luar samada daripada Perak, Pulau Pinang, Perlis, Pattani, Yala, Setul dan Kelantan. Perbezaan loghat atau telo percakapan sedikit berbeza berbanding pertempatan lain di Kedah. Mungkin ianya dipengaruhi oleh bawaan nenek moyang daripada pertempatan asal. Loghat masih bertiun Kedah namun idqamnya lebih lembut dan beralun berbanding idqam percakapan Kedah Selatan dan Pulau Pinang.
Semasa proses membuka atau meneroka tanah-tanah pida pelbagai kesukaran yang terpaksa ditempuhi oleh generasi dahulu. Mereka terpaksa menembusi, menebang dan menerang hutan bertam, nipah, menerong dan pelbagai yang tumbuh meliar sebagai hutan paya. Apa yang pasti generasi ini mengetahui akan tanah subur yang bakal dinikmati oleh generasi dihadapan mereka.
Siapa menyangka dataran yang terhampar dengan sawah padi menghijau sekarang rupanya hutan paya suatu ketika dahulu. Terima kasih Tok Wan dan Tok kerana kegigihan yang memberi imbuhan kepada anak-cucu kini. Tahun 1960an dan 70an bermula projek membuat saliran di beberapa kawasan sekitar Kubang Pasu dan Kota Setar. Cerita mak, "masa tu susah nak seberang pi rumah Tok Wa pasai kerajaan dah mula korek sungai nak bagi senang orang tanam padi dapat ayaq". Kini Sanglang, Lana Bulu, Tunjang dan beberapa tempat yang sewaktu dengannya berselirat dengan taliair. Malah pada tahun 1990an bermula satu lagi projek taliair yang merentangi sawah yang mana membolehkan petani-petani kawasan tersebut menanam padi 5 kali selama 2 tahun. Pastinya lebih lumayan berbanding tahun-tahun terdahulu, iaitu semasa padi setahun sekali.
Tidak sempat Tok Wan menikmati benafaat saliran dan empangan pedu. Walaupun dahulu Tok Wan menanam padi setahun sekali namun jelapang besar penjuru laman rumahnya tidak pernah susut dengan padi. Sesekali anak-cucu balik Tok Wan akan mengarahkan bapa saudara mengambil padi di dalam jelapang untuk diproses. Tok Wan memilih padi sebagai mata pencariannya kerana padi merupakan makanan ruji orang melayu selain itu ia juga ingin meneruskan warisan keluarga yang dibawa daripada Pattani. Nampaknya pemilihan Tok Wan ada benarnya. Ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu, diberitakan ramai yang kebulur dan ada tidak mendapat makanan yang berkhasiat. Namun bagi penduduk Sanglang yang bermata pencarian penanam padi kurang mengalami masalah ini.
Aku, abang dan kakak merupakan generasi ke tiga. Nampaknya hingga kini belum ada seorangpun yang tampil mewarisi mata pencarian Tok Wan. Jika soal nasi tidak mahu makan beras campur yang bersepah di pasaran sanggup meredah tol PLUS setiap bulan mencari stok beras sawah Abah yang berkualiti. Namun jika disuruh masuk sawah (petak panggilan orang utara) semua menolak. Itulah warisan Tok Wan. Tersenyum sendiri kerna tidak mampu memijak rumput dan masih beranggan dengan kejora.
Comments
Post a Comment