21 August 2009

marhaban ya ramadhan

"marhaban ya ramadhan ......", ucap teman Iranian. "Marhaban...congratulation...", sahutku. Begitulah sepanjang minggu ini apabila bertemu dengan teman-teman timur tengah. Benar-benar terasa akan kehadiran ramadhan. Semalam menerima kurma sempena ramadhan. Jazakallah semoga ramadhan kali ini lebih baik dari yang lepas. Ada kelainan mungkin kehendakNya untukku menikmati suasana yang berlainan di ramadhan 1430 ini. Terima Kasih Ya Allah....Alhamdulillah.

Humairaa antara yang teruja dengan puasa kali ini. Apa tidaknya tahun lepas dia masih dalam keadaan "blur". Selalu bertanya kenapa mesti makan malam walaupun sudah diterangkan beberapa kali. Tahun ini dialah yang beriya-iya mahu berpuasa penuh 30 hari. Kakak dan Abangnya hanya tersenyum mendengar azam adik.

Ramadhan mengenangkan semula aku di laman abah di pida sanglang. Merindui alunan suara mak & abah membaca ayat-ayat Al Quran bergilir-gilir. Keluarga kami bukannya alim namun abah dan mak mempraktikkan membaca Al Quran di masa senggang. Dek kerana itulah kami adik beradik sedikit terikut dengan gaya bawaan mak & abah.

Ramadhan jua sering membalikkan ingatanku saat menjalani kehidupan di asrama bumi Jitra. Beratur bersama teman-teman di dewan makan. Keluar beramai-ramai di bazar ramadhan Pekan Jitra untuk membeli juadah berbuka. Paling meriah ialah saat berterawih disurau. Bersama teman berlumba membaca Alquran....Indah benar zaman itu.

Marhaban ya Ramadhan moga kali ini lebih baik dari yang lepas....

Cita-cita, harapan dan impian?

Semalam secara tidak sengaja semasa mencari beberapa dokumen aku terjumpa nota kecil yang menjadi temanku takala usia belasan. Tersengih-sengih aku membaca semula apa yang kutulis dulu. Kelakar. Terutama berkenaan orang yang kini menjadi suamiku. Orang tua-tua telah berpesan jangan terlalu membenci seseorang kerana mungkin suatu hari kita akan menyukainya.

Aku dan impian serta nota-nota kecil yang masih utuh bersamaku. Ketika bersekolah rendah rutin harian persekolahanku dihantar oleh abah. Cemburu ketika itu melihat teman-teman berbasikal ke sekolah. Mungkin kasihankan adik bongsunya yang asyik meminta lantaran itu aku dibeli basikal oleh Kak Da. Biarpun beberapa kali terjatuh dalam sawah padi aku tidak pernah merasa bosan berbasikal. Pergerakkan mulai luas dengan lebih kilometer. Teman berbasikalku saat itu ialah anak buahku yang comel, Normah. Bersama-sama kami meneroka jalan-jalan pida dan ianya makin meriah jika hari raya.

Memasuki tahun 6, aku sering mengikut abang bermotor. Bukan merempit. Sekadar bergerak ke Pekan Kodiang atau Kangar. Aku mulai teruja dan abah memberi tunjuk ajar cara-cara menunggang motor. Kilometer bertambah. Bergerak tanpa lesen selama hampir 6 tahun. Pernah beberapa kali dimarah abah dan kakak-kakak. Mereka mulai resah jika cuti sekolah bermakna aku akan berada di rumah dan bermulalah aktiviti motorku.

Selepas menduduki peperiksaan SPM, abah mendaftarkan aku di sebuah sekolah memandu Kodiang. Sesuatu yang membuatkan aku teruja. Namun ketika itu untuk memandu di jalan pida yang kiri kanan mempunyai taliair membuatkan aku sedikit gusar dan satu kemalangan kecil ketika bersama kawan-kawan membuatkan aku mulai phobia memandu dan ada keinsafan tersemat dihati.

"Anak Bongsu selalu buat mess dalam family", terkenangkan kata-kata seorang pemilik firma audit semasa aku ditemuduga olehnya. Temuduga pertama itu banyak memberi kesan dalam jiwa.Diceritakannya juga perihal adik bongsunya dan aku merasai seolah yang bercerita itu adalah abangku sendiri. Sentiasa saja ada insan yang memberi bimbingan dan nasihat. Tuan Syed, En Hassan, Mr Goh, Kak G, dan Kak Cik Sawiyah antara insan mulia yang memberi tunjuk ajar tanpa timbal balas.

Kini, "Ayang rasa susah tak nak bawak heli or plane", tanyaku pada suami semalam takala memandang sebuah helikopter tinjau polis berdekatan kejiranan kami. "Kena masuk kelas la", jawab suami seolah dapat membaca akalku. Aku tersenyum, mungkin siapa tahu....tentu indah dapat melihat sawah padi terhampar luas dihiasi jaringan taliair.

20 August 2009

Senarai Chef Di hatiku

Sudah menjelang bulan ramadhan, masa inilah aku terkenangkan Pida Sanglang. Aku kurang mengemari makan diluar mungkin faktor kesihatan yang membuatkan aku mengelak daripada mendekati makanan yang dicampur pelbagai perasa terutamanta MSG diluar sana. Deriaku mudah terasa jika ada MSG dicampur ke dalam makanan itulah kelemahanku dalam menikmati makanan.

Senarai pertama dalam senarai chef kesukaan adalah Puan Mah iaitu mak. Tiada siapa boleh menandingi kehebatan memasak mak terutama kuah kacang dan ketupat palas. Bila mak memasak kari (gulai orang utara) bagai secukup rasa. Begitu jua dgn sambal belacan amat beraroma sekali apabila menikmatinya. Apa jua masakan mak memang ada kelas tersendiri. Mak...makkk....sayang mak

Tempat kedua adalah abah. Aku suka kalau abah masak mee hoon hailam, mee kuah dan tom yam. Abah jarang menggunakan sayuran biasa selalunya jika memasak mee atau mee hoon yang berkuah abah akan menggunakan pucuk kacang panjang rasanya lemak dan amat enak dimakan.

Tempat ke tiga pula chef dihatiku ialah Abang dul dan isteri. Abang Dul seorang yang suka mencuba setiap resepi baru dan setiap percubaannya sentiasa berjaya dan aku pula merupakan orang yang paling gemar mencuba masakannya. Masakkannya yang tidak aku lupakan ialah terubuk stim berempah, pehh memang sedap. Kak Ros, isteri abang dul merupakan kelahiran Melaka. Aku amat sukakan asam pedas dan rendang yang beliau masak memang terangkat. Dan beliau juga yang mengajarku cara-cara membuat rendang nogori.

Chef ke empatku ialah Mak Jang, Petaling Jaya. Laksa, mee kuah dan acaq buahnya memang membuatkan aku selalu sahaja mahu bertandang ke Jalan Templer.

Chef ke lima ialah kakak anie, beliau memang terkenal di kalangan ahli keluarga kehebatan masakannya, aku merindui kueh kacang sepat buatannya.

Tempat ke enam pula ialah Kak Minah iaitu kakak iparku mungkin pernah berada lama di rumahnya dan masakannya hampir menyamai masakan mak membuatkan aku sentiasa teruja apabila menikmati masakannya. Kak Minah umpama kakak kandungku dan sayangku padanya sepertimana pada kakak-kakak kandung yang lain. Hatinya tulus dan ikhlas. Semoga Allah SWT sentiasa merahmatinya.

Tempat ke tujuh jatuh kepada Mak Teh, Kuala Kedah. Mak teh memang pakar dalam soal masakan dan pernah membuka kedai makan di Sintok suatu masa dahulu dan aku tidak pernah menolak jika dipelawa menjamu selera di rumahnya.

Seorang lagi Mak Teh memasuki senarai ke lapan iaitu Mak Teh Paridah Sg Pasir, laksa yang dimasak mak teh memang sedap.

Seterusnya senarai ke 10 ialah kak Da. Kak Da merupakan anak 7 dalam keluargaku. Berbanding dengan kakak yang lain aku lebih rapat dengannya memandangkan beliau lebih terbuka dan memandangkanku sebagaimana aku. Kak Da ada kekuatan tersendiri dan kekuatan itulah yang membuatkan aku amat kagum dengannya. Wajahku persis beliau berbanding kakak lain. Jika pulang ke Kedah aku akan meminta Kak Da memasak Asam pedas rebus keladi. Memang sedap.

Jika ingin menikmati cucuq udang yang enak silalah bertandang ke rumah mertuaku, Puan Manis. Tidak dapat dinafikan cucuq udang dan kuah kacang dari tangannya memang menakjubkan. Selalu bulan puasa atau beliau berkunjung ke KL aku pasti memintanya memasak cucuq udang speacial SP. Tempat ke sebelas. Mertua dikategorikan mertua moden. Menerima menantu seadanya mungkin disebabkan tiada anak perempuan membuatkannya teruja menerima menantu yang dianggapnya umpana anaknya sendiri. Membuatkan aku merasa bagai berada di rumah ibu sendiri apabila berada di rumahnya. Kami banyak berkongsi cerita dan rasa.

Kesebelas ialah Kak Ma & Abang Lim jua anaknya Mastura& Intan. Anak beranak ini ada sentuhan tersendiri bila memasak dan memang menyelerakan. Kebetulan Mastura berkahwin dengan pakar bidang memasak membuatkan sentuhan-sentuhan masakan mereka meninggalkan kesan kepada orang yang memakannya.

08 August 2009

Bulan

Bulan sering digambarkan indah sebagai mana lagu yang dinyanyikan oleh seniman P.Ramli "Engkau laksana bulan, tinggi di atas kayangan.....", dan bulan jua sering dirindui pungguk.

Hari ini 17 Syaaban, semalam bulan mengambang penuh. Pemandangan ini sering kulihat takala berada di pida sanglang. Memandangkan rumah abah di tengah sawah hanya dikelilingi pokok-pokok kelapa, mangga dan beberapa pokok lain membuatkan cahaya bulan 15 ke atas acapkali tembus keberanda rumah abah. Kusingkap langsir balkoni dan bilik tidur utama, cahaya bulan tembus ke dalam rumah ku. Indah sekali nikmat yang Allah SWT kurniakan ini, Subhanallah.

"Kakak bulan la....", Al Khattab memanggil kakaknya. Mereka adik-beradik bersamaku menikmati cahaya rembulan sambil menunggu kepulangan ayahanda.

Anak-anakku telah arif dengan mamanya, sukakan fajar subuh, merenung mentari mendaki siang dan menatap terbenamnya sang suria serta membelek pokok-pokok renek. Indahnya alam dan sempurna mengikut rentak penciptaNya. Dan bila kita menghayati keindahan ciptaan Allah SWT sekaligus kita merasai kecintaan terhadapNYA.....Subhanallah, walhamdulillah,walailahaillah, Wallahuakbar.....

Alfatihah..kepada semua umat mukmin, guru-guru yang menabur ilmu kepada anak bangsa

07 August 2009

Di sebalik Tanya dan bertanya....

Kata mak, mulut manusia bukan seperti mulut tempayan/paip boleh ditutup bila kita inginkan dan membukanya semula bila kita perlukan. Mulut manusia tidak dapat kita duga dengan firasat kita dek kerana itulah timbul peribahasa "kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa". Bertanya adalah perkara lumrah bagi manusia semenjak kecil lagi. Naluri ingin tahu manusia amat tinggi. Ini menyebabkan ada yang amat suka bertanya walaupun ada perkara yang tidak perlu ditanya.

Seorang teman rimas dan letih sekitaran yang sentiasa bertanya mengenai jodoh. Jodoh, ajal dan pertemuan adalah ketentuan Allah SWT. Mungkin orang yang bertanya ingin mencari calon sebab itulah dia beriya-iya bertanya.

Teman yang lain pula selalu terasa hati bila diajukan mengenai cahaya mata tambah menghiris perasaan bila ada saudara atau teman terdekat yang mengandung maka timbulah soalan-soalan cepumas, "kau bila lagi". Usah bersedih dan usah bergundah Allah SWT maha mengetahui bila masanya akan datang cahayamata tersebut. Mungkin saat sebegini Allah SWT ingin kita memenuhi masa yang ada bersama suami/isteri, saudara, teman-teman dan ibadah.

Bagi yang sentiasa mempunyai anak bersusun ada juga soalan terhadap golongan ini, "haaa..mengandung lagi, tak letih ke", "kau ni asyik buat anak saja", rezeki yang Allah SWT turunkan dalam pelbagai bentuk ada yang menerima sebagai harta benda, masa, kesihatan dan anak jua adalah rezeki daripada Allah SWT.

Sebenarnya tidak salah bertanya namun harus dinilai dari segi sensitiviti soalan yang bakal diajukan.

Pida...tetiba teringat mak cik radio kat pidasanglang

Amanah Kita

Keguguran kali ini mungkin bukan rezeki namun aku masih yakin akan kekuasaanNya. Badan agak lesu dek tekanan darah rendah. Kepala bagai jarum menikam-nikam. Kesihatan dan pemakanan harus dijaga kerana diri ini perlu menjaga amanah-amanah yang dikurniakan Dia. Apabila salah satu nikmat ditarik maka ia merupakan "hint" bagi mengingatkan kita akan kewujudan kita di bumi nan fana ini. Hanya sementara. Bila dan di mana itu adalah hakNya. Saat usia ku 20an aku menjangka tak mungkin aku dapat bertahan ke 30 an. Kun fa ya kun bukan milik kita dan ada amanah Allah swt perlu kujagai, perlu kubajai dan perlu diasuhi. Agar mereka bisa bila menghidupkan Addin. Agar mereka bisa meranapkan kejahilan dan senangtiasa di lurusi jalan mereka.
Kutatapi satu persatu wajah putra putri dan moga Allah beri kekuatan.