Resepi dan belajar masak

Tidak semena-mena selepas menikmati makan tengah hari semalam si puteri sulung bertanya, "bila mama mula belajar masak", "dah kahwin baru mama belajar", jawabku ringkas. "Ohhh masak duduk dengan mak tok dulu mama tak belajar?, tanyanya lagi. "Tak sempat la kakak mama stay kat hostel", pertanyaan terhenti disitu agaknya sudah puas hati dengan jawapan yang diberikan.
Memang benar, aku kurang arif perihal masakan, boleh memasak namun sekadar untuk diri sendiri dan keluarga. Sebagai anak bongsu yang mempunyai 5 kakak dan 3 abang yang mewarisi kepandaian memasakan abah dan emak membuatkan diri ini kebelakang ditambah dengan sikap malas ke dapur sendiri. Namun, Alhamdulillah suami bukan jenis yang cerewet soal masakan. Apa sahaja, si isteri masak semua dimakannya.
Jika kepingin sesuatu masakan pastinya telefon di Pida Sanglang akan berdering. Abah sudah dapat meneka keperluan sibongsunya jika yang dicari adalah emak. "Mak nak buat tepung bungkuih macam mana", tanyaku suatu ketika bulan lepas. Terdengar ketawa abah dibelakang emak, apa tidaknya jika diminta ke dapur suatu ketika dahulu pasti pelbagai alasan aku berikan dan aku lebih rela berada di atas mesin padi atai traktor di sawah bersama abah berbanding berpanas di dapur.
Sebenarnya rindu aku dengan resepi-resepi mak seperti otak-otak ikan haruan, tepung bungkus, lepat liat, peria sumbat, sotong sumbat ....
Lambat lagi penghujung april .....rindukan hembusan angin sawah.

Comments

Popular Posts