Raya @ Balik Kampung

"Hang tak pernah balik kg ka, beriya sangat", tanya teman bila melihat aku beriya pulang ke kampung setiap kali menyambut aidil fitri. Bukan aku jarang pulang ke kampung tetapi balik menyambut hari raya berlainan. Hari raya bukan sahaja kita merayakan kemenangan kita menahan nafsu ketika ramadhan tetapi ia adalah bulan kita bermaaf-maafan. Ketika ini juga kita dapat bertemu dengan saudara yang jarang-jarang bertemu. Ianya umpama pertemuan setahun sekali. Meriah.
Tidak kiralah beraya di mana sekalipun ianya penuh dengan senyuman, warna-warni dan kegembiraan.
Mempunyai keluarga besar membuatkan perayaan ini lebih meriah dan saat inilah dapat mengenalkan saudara mara kepada anak-anak. Biar mereka kena akar mereka.
Jika beraya di pida sanglang selalunya rumah abah menjadi tumpuan saudara mara memandangkan mak anak sulung keluarga dan abah pula abang tertua yang masih ada di dunia ini. Jadi rumah di tengah sawah itu menjadi tumpuan anak, cucu, adik, anak saudara, sepupu dan saudara yang lain. Riuh rendah dengan gelak tawa apa tidaknya setahun sekali bertemu sepupu sudah tentu ada yang bertambah ahli keluarga. Melihat wajah-wajah anak saudara mengenangkan semula zaman kanak-kanak lalu. Ceria tanpa duka. "Comel, anak sapa ni", tanyaku pada anak kecil yang datang beraya rumah abah. "Anak Mie, Cucu Harison", petah anak kecil itu menjawab. Ohh cucu mak su rupanya. Makin membesar keluarga Tok Cah & Tok Taib sehingga aku tidak mengenali anak-anak sepupuku sendiri malah ada sepupu yang telah bercucu pasti aku sendiri tidak mengenali jika tidak dikenalkan. Tahun ini lebih bererti memandangkan ada anak buah yang bertemu jodoh tahun ini sudah pasti mereka tidak berseorangan menyambut hari yang mulia ini.
Tahun ini hari raya akan disambut di Sungai Petani iaitu kampung suami. Kebiasaan hari raya bagi keluarga suami, kami secara berkumpulan akan beraya ke rumah Tok Yah dan saudara Mak Manis dan Ayah. Saat inilah aku dapat mengenali lebih dekat keluarga besar Tok Yah Dan Tok Nab. Memandangkan Tok Yah telah kerahmatullah seminggu sebelum ramadhan mungkin ada perancangan yang berbeza tahun ini. Namun jika diberi pilihan aku akan memilih beraya di kampung ayah, Kuala Ketil. Tempatnya nyaman dan sejuk dan terasa suasana kampung yang sebenarnya. Anak-anak jugak amat selesa jika berada di Kuala Ketil dan Sanglang.
Saudara mara adalah aset yang amat besar dalam kehidupan kita persengketaan merupakan liabiliti yang mengurangkan ketenangan dalam jiwa.....Selamat Menyambut Aidil Fitri

Comments

Popular Posts