Perbezaan Antara Cara Rasulullah dan Cara Kita Menegakkan Islam
Jika kita lihat sejarah Rasulullah di dalam membangunkan Islam, kita akan nampak apa yang berlaku di Afghanistan atau di lain-lain tempat yang cuba membangunkan Islam, adalah menyongsang dengan apa yang telah Rasulullah lakukan.
Rasulullah Berdakwah Secara Bijaksana
Rasulullah berdakwah secara berhemah, bijaksana, tidak mencaci orang dan sabar apabila dicaci, Rasulullah juga menunjukkan sifat-sifat yang terpuji, amanah dan seorang yang gigih dan berjaya dalam perniagaan. Rasulullah juga tidak pernah mencari musuh. Berbanding dengan Taliban yang merotan orang supaya pergi sembahyang dan yang tidak menyimpan janggut. Dan kita di sini, di Negara Malaysia boleh, mengkafirkan orang, mengkufurkan orang, menghalalkan darah orang. Rasulullah dan para sahabat tidak pernah menghina atau mencerca individu walaupun mereka sendiri menerima penghinaan dan cercaan.
Bercakap dengan jelas dan tegas akan penyelewengan dan kezaliman yang dibuat oleh seseorang adalah perlu tetapi bukan sehingga mencaci dan menyumpah apatah lagi mencarut individu tersebut. Allah ada melarang kita dari mencerca sembahan orang bukan Islam, kelak mereka akan mencerca Allah dan Islam belebih-lebihan. Ada Hadis yang bermaksud lebih kurang - seseorang anak itu dianggap derhaka kepada ibu-bapanya jika ia mencerca ibu-bapa orang lain yang menyebabkan orang tersebut mencerca kembali kedua ibu-bapanya.Bebeza pula dengan cara kita berdakwah yang banyak disulami dengan cercaan dan hinaan seperti menyamakan keluarga seorang Islam sebagai gembala babi, ulamak-ulamak yang menyokong kerajaan sebagai syaitan bisu, ulamak sapu ketiak pemimpin, ular dalam semak, malah mencarut dengan carutan yang paling berat ( p***mak) dan supaya carutan ini nampak tidak bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah maka dikatakan Tuhan juga mencarut.
Malangnya ulamak dan pengikut di dalam jemaah yang sama membisu. Apakah dengan cara ini kita boleh menarik saudara se Islam kita ke jalan yang benar? Apabila mereka pula membalas cercaan kita, mereka dilihat sebagai sekular, kafir, kufur, fasik, munafik dan anti-Islam. Kesannya kita menjauhkan lagi mereka dan merenggangkan tali silaturrahim? Di tambah pula, timbul puak-puak yang mengaggap sembelihan mereka ini tidak sah, jika dimakan umpama bangkai, tidak sah solat berimankan mereka. Di pihak Taliban pula masa yang mereka ada selama 6 tahun untuk memerintah tidak digunakan untuk berdakwah kepada rakyatnya, akan keburukkan sifat Assobiyah yang kuat dikalangan puak-puak yang ada. Mereka juga tidak mendidik rakyat mereka mengenai kemungkaran melihat filem-filem yang mendedahkan aurat dan menghairahkan yang boleh membawa kepada keruntuhan moral dan masalah sosial. Begitu juga dengan perbuatan yang tidak berfaedah dan kejam seperti laga ayam. Apabila Taliban jatuh, apa yang kita lihat masyarakatnya kembali kepada kemungkaran-kemungkaran seperti yang disebut, seolah olah ia suatu budaya atau menjadi keperluan di dalam hidup mereka. Yang mana yang lebih baik untuk menjadikan sesuatu masyarakat mengikut ajaran Islam, kita menambah dan mengetatkan lagi undang-undang atau kita berdakwah secara bijaksana kepada mereka supaya amal mereka ikhlas bukan terpaksa?
Tugas utama Nabi-nabi ialah untuk menyampaikan atau berdakwah kepada kaumnya. Ulamak Pewaris Nabi - ialah ulamak yang meneruskan tugas-tugas Nabi. Kalau Nabi Muhammad telah menyatukan kaumnya, membangun hingga ke puncak dan dimana sahaja Islam sampai, ia membawa rahmat dan cahaya kepada umat manusia. Apakah kita lihat Umat Islam yang ada pada hari ini berada di tempatnya sebagai umat pilihan?
Rasulullah Berhijrah
Apabila Islam mula berkembang dan mula mendapat ancaman dari kaum musyrikin, Rasulullah berhijrah ke Madinah, sedangkan Rasulullah boleh mengistiharkan Jihad kerana Allah bersama-samanya, malah di dalam perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah terima walaupun ia berat sebelah. Dalam waktu ini Rasulullah hanya berperang untuk mempertahankan diri. Hanya setelah Umat Islam menjadi kuat dan bersedia dengan segala kekuatan dan kelengkapan barulah Rasulullah sendiri memimpin tentera Islam memasuki kota Mekah tanpa menghadapi banyak tentangan. Berbanding dengan kita, tanpa ilmu, kekuatan dan kelengkapan yang cukup, hanya dengan semangat kita mengistiharkan Jihad. Contohnya Osama, walaupun dia memberi alasan yang kuat untuk melancarkan Jihad tetapi apakah kesannya apabila dia tidak mampu melawan balik apabila diserang? (Dalam hal ini saya tidak merujuk secara khusus apa yang berlaku di Afghanistan tetapi sebelum itu ia telah secara terbuka menggesa Umat Islam menyerang kepentingan dan rakyat Amerika walaupun melibatkan nyawa orang awam lelaki, wanita dan kanak-kanak.
Ikrar ini sekali lagi dibuatnya setelah Amerika menyerang Afghanistan tetapi mengecualikan wanita dan kanak-kanak. Ini juga menyalahi cara Rasulullah supaya orang awam tidak diapa-apakan). Kesannya ramai orang Islam yang menderita. Begitu juga apa yang berlaku di Mindanao, apabila kerajaan Filipina menyerang secara besar-besaran kedudukkan Abu Sayyaf (apakah Islam membenarkan kita menjadikan orang tidak bersalah sebagai tebusan dan kemudian membunuh mereka, bukankah ini satu penyelewengan di dalam Islam?), hampir 40,000 orang Islam terpaksa melarikan diri. Di Chechnya, puluhan ribu orang Islam terkorban, ramai yang dizalimi, dirogol dan menjadi pelarian. Dan Umat Islam lain tidak mampu untuk menolong malah dalam keadaan tertentu orang bukan Islam yang lebih banyak membantu. Apakah ini bentuk Jihad yang dianjurkan oleh Islam.
Doa Rasulullah
Rasulullah sayang akan umatnya, di dalam menyampaikan kebenaran dan mengajak manusia ke jalan yang benar, baginda cukup sabar. Peristiwa di Taif di mana Rasulullah disambut dengan cercaan dan kata-kata kesat malah dilontar dengan batu sehingga berdarah kakinya. Apakah tindakbalas Rasullullah? Baginda berdoa semoga Allah mengampuni mereka dan memberi petunjuk kepada mereka. Tetapi kita di sini terutama yang terlibat dalam politik, berdoa supaya saudara se Islam kita yang berada di pihak lain dibinasakan. Mengapa? Kerana perasaan marah dan benci yang bersarang di dalam hati kita. Marah dan benci adalah sifat Iblis.
Muhasabah Songsang
Rasulullah menyarankan supaya kita Muhasabah diri kita, kaji kesilapan kita, kelemahan kita dan perbetulkannya, disamping saling nasihat menasihati sesama saudara se Islam kita. Tetapi sifat yang ada pada kebanyakkan kita ialah lebih kepada Muhasabah diri orang lain, bukan diri kita atau Muhasabah jemaah orang lain, bukan jemaah kita. Ini menyebabkan kita hanya nampak kesalahan atau penyelewengan orang. Keadaan menjadi lebih buruk apabila kita mula saling mencerca dan apabila perasaan marah dan benci mula bersarang di hati, kita tidak sanggup untuk mengaku keburukkan kita walaupun ia memang buruk dan kita cuba menutupnya atau menganggap ianya kecil. Dan kebaikkan orang pula kita tidak mahu akui walaupun ianya memang baik dan cuba menutupnya dengan membesarkan keburukkan yang ada pada mereka. Ini akan menambahkan lagi jurang yang ada di antara puak-puak.
Kalau di Malaysia pemerintahnya juga hanya mengambil sebahagian dari Al-Quran dengan hanya mementingkan ilmu ekonomi sains dan teknologi dan meninggalkan hukum Hudud dianggap sekular dan kufur. Mengikut Amanat Hadi mereka yang mengambil suku dari Al-Quran adalah kafir dan terkeluar dari Islam (ia merujuk kepada pemerintah M'sia), bagaimana pula dengan Taliban yang juga mengambil sebahagian sahaja dari Al-Quran? Apakah ada sebab lain mengapa Umat Islam telah dijajah sekian lama, kalau merdekapun masih mundur dan miskin, terpaksa bergantung kepada orang bukan Islam, jika hendak mengamalkan ajaran Islam akan ditekan dan bila berJihad, dizalimi, diaibkan dan sukar untuk menang. Dalam Surah An-Nur, Ayat 55, Allah telah menjanjikan untuk mengangkat orang yang beriman sebagai khalifah di muka bumi ini. Apakah Allah tidak menunaikan janjinya atau tiada orang Islam yang betul-betul beiman di muka bumi ini?
Mungkinkah apa yang berlaku kepada Taliban merupakan satu alamat dari Allah supaya kita mengambil pengajaran? Dengan izinnya ia memberi Taliban untuk berkuasa, selepas dua tahun, kemarau yang berpanjangan melanda Afghanistan. Munkinkah ini bala dari Allah, (seperti mana ulamak-ulamak kita di Malaysia menganggap jerebu yang sekali-sekala melanda merupakan bala kerana pemimpin yang menolak Al- Quran dan ulamak), selepas empat tahun kemarau, dengan izin Allah, datang pula kafir Amerika menjatuhkan Taliban dari kekuasaannya. Wallalhualam.
Selain dari tidak menguasai ilmu pengetahuan dan hanya mengamalkan sebahagian dari ajaran yang terdapat di dalam Al-Quran dan Sunnah dan meninggalkan yang lain, Umat Islam juga dalam banyak keadaan mengamalkan pekara-pekara yang dilarang. Seperti sifat yang dikeji oleh Allah dan Rasulnya iaitu mencerca, menghina, mengumpat, menfitnah, berdendam dan bantah membantah sehingga memutuskan tali silaturrahim. Di dalam berJihad samada untuk menegakkan Negara Islam atau ditindas, kita berlaku zalim dan melampaui batas dengan menculik, membunuh orang yang tidak berdosa yang memang jelas dilarang oleh Allah dan Rasulnya. Apakah dalam keadaan ini kita nak harap Allah bersama kita dan membantu kita dan doa kita dimakbulkan?
Comments
Post a Comment