Hijrah membentuk kejayaan sebenar mukmin cemerlang


Salam Maal Hijrah. Sekali lagi kita meninggalkan tahun hijrah ke tahun hijrah baru. Apa significant hijrah Rasulullah SWT dalam hidup kita sebagai mukmin.

Peristiwa hijrah Rasulullah iktibar bentuk kejayaan di dunia, akhirat. HIDUP ini menuntut pengorbanan. Ada yang terpaksa bermandi keringat bertungkus lumus membina kehidupan. Tidak kurang yang menitiskan air mata demi mendapatkan kebahagiaan.

Manusia hanya boleh berusaha, namun Allah yang menentukannya. Permasalahannya adalah jika kita kurang berusaha, cepat menyerah, berkeluh kesah dan akhirnya menyalahkan orang lain di atas kegagalan. Alangkah ruginya jika kebanyakan kita masih memiliki mentaliti sedemikian.

Pada awal tahun hijriah ini, sepatutnya Muslimin menilai kembali pencapaian mereka. Kita perlu bijak menemukan kekurangan dan kelemahan yang menjejaskan kegemilangan diri, umat, bangsa dan negara.

Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman. Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhati apa yang ia telah sediakan untuk hari esok. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan." (Surah Al-Hasyr, ayat 18)

Sejarah hijrah sentiasa menyuntik semangat pada diri setiap orang beriman.

Kejayaan Rasulullah SAW merancang perjalanan hijrah dari Makkah ke Madinah dengan tuntutan wahyu Allah jelas menunjukkan kepakaran berfikir dan bertindak dengan kebijaksanaan amat penting untuk menjayakan sesuatu perancangan.

Pernahkah kita menulis pencapaian yang mesti diperoleh dan langkah untuk mewujudkannya? Bagaimana dengan kerja dan usaha yang dilakukan? Sudahkah dibuat dengan bersungguh-sungguh?

Ingatlah perjalanan hijrah Rasulullah SAW yang penuh dengan penderitaan. Adakah kita melalui jalan yang sama? Jalan untuk mencapai kejayaan dunia akhirat.

Prof McClelland (1958), pakar psikologi yang banyak mempelopori kajian ke atas psikologi kejayaan individu, dalam kajiannya mendapati ciri personaliti yang berjaya adalah:

•Mereka yang melaksanakan tugas yang mencabar dengan penuh tanggungjawab dan ikhlas.
•Mereka memiliki dorongan yang kuat untuk memajukan diri sendiri.
•Mereka amat mementingkan penilaian atas kerja yang dibuat untuk kemajuan yang lebih baik lagi.

Tiga ciri seperti di atas sangat elok untuk diterapkan dalam kehidupan peribadi Muslim.

Ciri seperti inilah yang ada pada diri Rasulullah SAW serta sahabat dan dalam peristiwa hijrah ternyata amat terserlah personaliti berkenaan.

Untuk mencapai cita-cita, kita perlukan orang lain yang sudi membantu. Jika kelemahan kita dalam soal ibadat, maka kenapa tidak berbaik-baik dengan kawan yang alim lagi salih?

Jika kemalasan dan sikap tidak bertanggungjawab ada pada diri, lebih elok jika berkawan dengan orang yang berjaya dalam hidupnya.

Itulah kebaikan bergaul dalam kehidupan sehari-hari. Jangan berasa hanya kawan baik yang boleh membantu kejayaan. Malah, lawan pun sebenarnya memberi kesan positif dalam menjana kejayaan itu.

Beruntung jika mempunyai lawan, ia adalah cabaran bagi anda. Anda dapat khidmat daripadanya dengan ikhlas yang boleh dijadikan perunding dan penasihat tanpa bayaran.

Jangan bersedih jika mempunyai lawan dalam kehidupan anda. Manfaatkan ia demi pencapaian yang lebih menguntungkan. Demikianlah teladan daripada hikmah hijrah yang mana Rasulullah SAW sentiasa berfikir positif di tengah-tengah lawan yang ganas dan tanpa berputus asa sedikit pun dalam perjuangannya.

Bersyukur kepada Allah atas kejayaan dan cepat bangkit daripada kejatuhan.

Umat Islam yang hidup dihimpit oleh kuasa besar dunia terpaksa bersaing untuk tidak tenggelam dalam arus kemajuan moden.

Jika pada diri umat Nabi Muhammad SAW bersemadi kekuatan, semangat keberanian dan kebijaksanaan yang diambil daripada sari pati buah hijrah yang ranum dan manis, ia boleh menjadi ubat mujarab bagi penyakit umat ini.

Semangat itu seperti obor yang membakar diri Salahuddin Al-Ayyubi dan pengganti beliau di bumi Palestin.

Bagaimana dengan kita? Adakah kita menghargai hidup yang aman damai di bumi Malaysia ini dengan penuh kesyukuran?

Apakah kerja yang sudah dibuat demi umat, bangsa dan negara untuk memastikan kejayaannya berkekalan? Kita amat lantang menyuarakan keamanan sejagat dan menolak peperangan. Namun, kita hanya bisa berteriak dan menangis melihat anak kecil di Iraq terkena radiasi senjata nuklear dan kaum wanita amat takut melahirkan anak yang cacat.

Sementara bumi Palestin masih lagi ditawan Yahudi. Kita belum mampu menunjukkan taring kepada kuasa besar dunia. Keupayaan kita terlalu sedikit dan masih banyak yang perlu diusahakan dengan bermujahadah.

Sahutlah cabaran hijrah dengan peranan masing-masing untuk kejayaan umat. Pada awal Muharam ini sekali lagi kita ketuk pintu hati, perjuangan hijrah Nabi SAW harus diteruskan.

Kitalah yang akan menjadi pejuang, aktor dan aktivisnya serta seharusnya umat Islam di Malaysia sedar bahawa kebangkitan Islam mesti dimulakan daripada peribadi anda, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.

INTIPATI
Peribadi insan berjaya

•Sentiasa bersedia untuk melaksanakan tugas mencabar yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab dan ikhlas.

•Sentiasa memiliki keazaman dan kegigihan yang kuat untuk memajukan diri sendiri.

•Sentiasa mementingkan penilaian atas kerja yang dibuat untuk kemajuan yang lebih baik lagi.

sumber..http://www.activeboard.com

Comments

Popular Posts