KWSP buka hari Sabtu

KWSP Buka Cawangan Terpilih Pada Sabtu Pertama Dan Ketiga
Cawangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Petaling Jaya, Shah Alam dan Kepong akan dibuka pada hari Sabtu pertama dan ketiga setiap bulan mulai 19 Jun 2010 sebagai memenuhi keperluan ahli yang memerlukan perkhidmatan KWSP pada hari berkenaan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Kewangan dan Khidmat Pelanggan KWSP, Encik Hizwani Hassan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, “Fokus perkhidmatan ini adalah untuk memenuhi keperluan ahli yang tinggal atau bekerja di kawasan bandar yang sibuk. Dengan beroperasi pada hari Sabtu pertama dan ketiga setiap bulan, ahli KWSP berpeluang untuk berurusan dengan KWSP pada hujung minggu tanpa perlu mengambil cuti.”
“Ini merupakan langkah awal dan KWSP belum melaksanakannya di semua Cawangan kerana mengambil kira faktor kos untuk faedah simpanan persaraan ahli,” kata Encik Hizwani.
Ketiga-tiga Cawangan KWSP di Lembah Kelang itu akan beroperasi pada Sabtu pertama dan ketiga setiap bulan bermula jam 8:30 pagi hingga 12:30 tengah hari, kecuali pada hari cuti umum.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan semasa beroperasi pada hari Sabtu adalah menerima permohonan pengeluaran, membekalkan dan menerima borang KWSP daripada pekerja dan majikan, membekalkan penyata kira-kira ahli, mengendalikan pertanyaan dan memberikan khidmat nasihat mengenai perkhidmatan KWSP.
Bagaimanapun, bayaran caruman tidak boleh dibuat pada hari tersebut.
Untuk maklumat lanjut berhubung lokasi cawangan berkenaan, sila klik di sini atau hubungi Pusat Panggilan KWSP di 03 – 8922 6000.
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana pencen terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.
Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.
KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.
Tarikh: 16 Jun 2010

Comments

Popular Posts