Doa Rasulullah
ADA
sebuah doa yang biasa dibaca oleh Nabi SAW dan jika direnung dan
dihayati secara mendalam, ternyata sangat mencakupi pelbagai permohonan.
Daripada Abu Musa al-Asyaari ra, Rasulullah berdoa:
Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kebodohanku, dan perbuatanku yang
berlebihan dalam urusanku, serta ampunilah kesalahanku yang Engkau lebih
mengetahui daripadaku. Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kemalasanku,
kesengajaanku, kebodohanku, gelak tawaku yang semua itu ada pada diriku.
Ya Allah, ampunilah aku atas dosa yang telah berlalu, dosa yang
mendatang, dosa yang aku samarkan dan dosa yang aku perbuat dengan
terang-terangan, Engkaulah yang mendahulukan dan Engkaulah yang
mengakhirkan, serta Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu. (riwayat
Bukhari)
Tema di dalam doa itu adalah seorang hamba Allah SWT
memohon keampunan-Nya. Sekurang-kurangnya terdapat 13 petunjuk yang
diajukan hamba tersebut kepada Allah SWT. Semuanya dengan harapan dan
permohonan keampunan-Nya.
PERTAMA:
Ya Allah, ampunilah kesalahanku. Kesalahan dapat mencakup perintah Allah yang dilalaikan atau larangan Allah yang dilanggar.
KEDUA:
Ya Allah, ampunilah kebodohanku. Manusia tidak luput daripada
kebodohan. Tidak ada manusia yang memiliki pengetahuan sempurna.
Kebodohan seseorang sering kali menyebabkan tingkah lakunya yang tidak
terpuji, sehingga ia perlu memohon ampunan Allah SWT atas kebodohan
dirinya itu.
KETIGA:
Ya Allah, ampunilah perbuatanku yang
berlebihan dalam urusanku. Kadang-kala kita mengerjakan suatu perbuatan
secara tidak adil atau tidak profesional. Perbuatan berlebihan tersebut
mungkin menyakiti hati, bahkan menzalimi orang lain. Maka kita berharap
ampunan Allah atas perbuatan berlebihan di dalam berbagai urusan.
KEEMPAT:
Ya Allah, ampunilah kesalahanku yang Engkau lebih mengetahui
daripadaku. Manusia sering mengerjakan kesalahan tanpa ia menyedarinya.
Boleh jadi ia lebih mudah dilihat oleh oang lain, tetapi tidak bagi
diri sendiri. Maka untuk urusan seperti itu seorang mukmin memohon
ampunan Allah Yang Maha Mengetahui segala sesuatunya.
Seorang
mukmin mengakui bahawa Allah SWT merupakan Zat Yang Maha Mengetahui
perkara yang ghaib mahupun nyata, maka ia pun mengembalikan semua dosa
yang ia sendiri tidak ketahui kepada Allah SWT.
KELIMA:
Ya
Allah, ampunilah kesalahanku. Manusia boleh terlibat di dalam banyak
kesalahan. Maka ia memohon kembali ampunan Allah atas kesalahannya pada
hal sebelumnya dia telah melakukannya kepada Allah SWT.
KEENAM:
Ya Allah, ampunilah kemalasanku. Kemalasan dapat menjadi musuh utama
yang menyebabkan seseorang menunda, bahkan melalaikan suatu kewajipan
yang mesti dikerjakan.
Pengakuannya di hadapan Allah SWT bahawa
dirinya kadang-kadang dilanda kemalasan yang mesti disertai dengan
permohonan ampunan Allah atasnya.
KETUJUH:
Ya Allah, ampunilah kesengajaanku. Harus diakui bahawa kadang-kadang kita secara sengaja melakukan suatu kesalahan.
Entah kerana emosi atau terpengaruh lingkungan atau pelbagai alasan
lain. Yang jelas, semua kesengajaan itu mestilah disusuli dengan
istighfar dan permohonan keampunan-Nya.
KELAPAN:
Ya Allah,
ampunilah kebodohanku. Maha Suci Allah, ternyata Rasulullah SAW sangat
mengerti akan kelemahan kita yang satu ini. Manusia memang selalu
kekurangan ilmu sehingga mustahil terluput daripada kebodohan. Oleh itu
permohonan ampunan Allah atas kebodohan diri perlu diajukan berulang
kali.
KESEMBILAN:
Ya Allah, ampunilah gelak tawaku yang
semua itu ada pada diriku. Apakah ketawa itu berdosa? Tentunya tidak.
Tetapi bila dilakukan secara tidak profesional atau melampaui, ia akan
mendatangkan masalah. Firman Allah: Maka hendaklah mereka tertawa
sedikit dan menangis banyak, sebagai pembalasan daripada apa yang selalu
mereka kerjakan. (at-Taubah: 82)
Selain sabda Rasulullah SAW:
Demi Allah, andai kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu
jarang tertawa dan sering menangis. (riwayat Tirmizi)
KESEPULUH:
Ya Allah, ampunilah aku atas dosa yang telah berlalu. Setiap orang
perlu berhati-hati terhadap dosa lampau yang pernah dilakukan dahulu.
Berkemungkinan dosa-dosa itu belum sempat kita menyesalinya. Maka tiba
masanya untuk kita mengakui dan menginsafi di hadapan Allah SWT
seterusnya memohon keampunan-Nya.
KESEBELAS:
Ya Allah,
ampunilah aku atas dosa yang mendatang. Seorang mukmin pasti menyedari
bahawa kehidupan ini bukan sekadar masa lalu dan masa kini. Ia juga
meliputi perkara mendatang.
Begitu juga dengan perlakuan dosa
yang dikerjakan. Ia tidak hanya terjadi di masa lalu dan masa kini
semata-mata. Tetapi boleh terjadi di masa akan datang.
Oleh
kerana itu, dengan penuh kejujuran kita mengharapkan keampunan Allah
atas dosa yang akan datang dan cuba mengelakkannya daripada terjebak
kepadanya.
KEDUA BELAS:
Ya Allah, ampunilah aku atas dosa
yang aku samarkan. Seorang mukmin sangat khuatir dengan dosa yang
dilakukan secara sembunyi atau berselindung. Sabda Rasulullah SAW:
Sungguh aku mengetahui bahawa ada suatu kaum daripada umatku yang datang
pada hari kiamat dengan membawa kebaikan sebesar gunung Tihamah yang
putih, lalu Allah menjadikan kebaikan itu debu yang berterbangan.
Thauban berkata: Wahai Rasulullah, sebutkanlah ciri-ciri mereka kepada
kami dan jelaskanlah tentang mereka kepada kami, supaya kami tidak
menjadi seperti mereka sedangkan kami tidak mengetahuinya.
Baginda
bersabda: Sesungguhnya mereka adalah saudara-saudara kamu dan daripada
golongan kamu, mereka solat malam sebagaimana kamu mengerjakannya tetapi
mereka adalah kaum yang melakukan perbuatan yang diharamkan Allah
sedang mereka berkhalwat (menyendiri). (riwayat Ibnu Majah)
KETIGA BELAS:
Ya Allah, ampunilah aku atas dosa yang aku perbuat dengan
terang-terangan. Sedangkan dosa yang dikerjakan secara senyap atau
tersembunyi itu kita khuatir, apa lagi dosa yang dilakukan secara
terbuka. Oleh itu, keampunan daripada Allah SWT amat diharapkan.
Sungguh amat luar biasa, kesemua doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah
itu adalah merupakan dosa dan kesalahan yang sering dilakukan oleh
setiap daripada kita lelaki atau perempuan, sama ada secara disedari
mahupun sebaliknya. Maka itu, betapa bertuah umat Islam sekiranya mereka
juga berdoa sebagaimana yang didoakan oleh Baginda SAW ini.
Copy from page Tanyalah Ustaz
- Get link
- X
- Other Apps
Comments
Post a Comment