Ketawa terapi untuk kesihatan


ADA waktunya kita menempuh hari yang penuh dengan tekanan sedangkan tanpa kita sendiri ia sebenarnya boleh diredakan dengan sedikit jenaka dan ketawa.
Sebab itu terdapat ungkapan yang menyebut 'ketawa itu penawar duka terutama ketika memujuk mereka yang dilanda kemurungan atau kesedihan.
Kebenaran bahawa ketawa itu penawar duka yang mujarab juga sukar ditolak, kerana secara logik pada saat seseorang sedang ketawa tidak mungkin pada masa sama mereka memikirkan perkara yang menyedihkan.
Bahkan, sudah banyak dibuktikan bahawa seseorang yang sentiasa hidup gembira dianugerahkan kesihatan yang berpanjangan.
Golongan perubatan juga percaya bahawa ketawa bukan sekadar terapi yang mampu mengubat ketegangan atau tekanan, bahkan ia mampu menghindari pelbagai penyakit berbahaya termasuk kanser, kencing manis, sakit jantung dan darah tinggi.
Para doktor turut mengakui bahawa ketawa boleh meningkatkan kesihatan dari segi fizikal mahupun mental.
Seorang profesor perubatan dari University Of California Irnive, Amerika Syarikat, Lee Berk dan kumpulan penyelidiknya sejak bertahun-tahun berusaha merungkai bagaimana mood seseorang itu boleh memberi kesan kepada sistem imun dan mempunyai kaitan dengan penyakit.
Mereka mendapati bahawa ketawa turut mempunyai peranan dalam melawan virus, bakteria, kanser dan penyakit jantung.
Dalam laporan awalnya, Berk mendapati bahawa menonton video berbentuk humor selama sejam dapat mengurangkan penghasilan hormon stres dan membantu sistem imun tubuh menentang virus dan bakteria.
Bagaimanapun sebenarnya banyak lagi kesan yang dibawa oleh ketawa. Beliau membuat kajian terhadap 10 orang lelaki dengan mengukur tanda-tanda tekanan atau stres masing-masing dan memberitahu mereka bawah dalam tempoh tiga hari lagi mereka akan menyaksikan video humor.
Semangat atau perasaan setiap lelaki tersebut ternyata meningkat sebelum menyaksikan video itu lagi. Dua hari sebelum tayangan video tersebut tahap kemurungan (dipresi) menurun 51 peratus, kekeliruan 36 peratus, kemarahan 19 peratus, keletihan 15 peratus dan tekanan 9 peratus.
Sejurus selepas menyaksikan video humor tersebut, kemurungan dan kemarahan menurun 89 peratus, keletihan 87 peratus, kekeliruan 75 peratus dan tekanan 61 peratus.
Berk berkata, biarpun sekadar menunggu untuk melihat cerita-cerita humor sudah boleh menceriakan hidup dan mempunyai kesan pada kesihatan. Beliau menggelar pengaruh ini sebagai 'harapan biologi'.
"Kami percaya ini boleh membantu pesakit pulih daripada pelbagai masalah berkaitan mental," katanya.
Jadi secara kesimpulannya, merancang untuk menonton filem berbentuk humor atau menghabiskan masa dengan rakan-rakan yang sememangnya kelakar boleh memberi faedah kepada kesihatan anda.
Justeru beritahu bos, pensyarah atau pengerusi kelab yang anda sertai agar menyampaikan ucapannya dengan lebih ceria dan diselitkan sedikit dengan unsur-unsur kelakar jika mahu pekerja, pelajar atau ahli kelab yang sihat.
Anda juga boleh menampal petikan-petikan yang kelakar pada kalendar memandangkan ia boleh menjadi terapi yang baik.

Comments

Popular Posts