Semua Manusia Ditimpa Musibah




Cuba kita lihat disekeliling kita. Setiap rakan yang kita kenali pasti ada masalah di sebalik kehidupan masing-masing. Masalah anak-anak, mentua, jiran kerjaya dan lain-lain lagi. Malah orang yang kelihatan kaya, hidup mewah dan senang, jika diselidiki mungkin lebih banyak masalah yang ditanggungnya. Setiap orang ada masalahnya. Kadang-kadang, semakin lama semakin banyak masalah. Belum selesai satu masalah, timbul masalah yang lain pula.

Ramai orang yang bermasalah tetapi sabar menghadapinya hingga tidak kelihatan pada riak wajahnya. Mungkin masalah yang dihadapinya lebih besar daripada masalah kita. Sebagai contoh:-
1) Kita mungkin menghadapi masalah kenakalan anak-anak, dia mungkin tidak pernah memiliki walau seorang anak atau anaknya terlebih dahulu dijemput Ilahi.
2) Kita mungkin tidak berkereta yang selesa, namun dia mungkin hanya bermotosikal.
3) Kita mungkin tidak memiliki rumah besar, dia mungkin menyewa dari sebuah rumah ke sebuah rumah yang lain.
4) Kita mungkin menghadapi masalah jauh dari tempat kerja, dia mungkin hilang pekerjaan.
5) Kita mungkin hilang kerjaya, dia mungkin terlantar di katil bergantung hidup pada orang lain.

Itulah hakikat dunia. Janganlah hanya memandang kepada orang yang lebih bertuah daripada kita. Pandanglah mereka yang lebih bernasib buruk daripada kita. Semoga ia menimbulkan keinsafan dalam diri kita. Teladanilah Rasulullah s.a.w. dalam menghadapi ujian yang berat dalam hidup Baginda kemudian suluh kembali diri kita dengan suluhan nabawi.

Di antara ujian yang dilalui Baginda:-
1) Pernah dicampak kotoran ke atas kepala Baginda.
2) Dibaling batu hingga luka muka dan kakinya serta patah giginya.
3) Dipulaukan sehingga terpaksa makan daun-daun kering.
4) Diusir dari Makkah kampung halamannya.
5) Difitnah isterinya dan dibunuh 40 sahabatnya yang dalam perjalanan dakwah.
6) Ujian kematian anak-anak.
7) Dihimpit kelaparan sehingga terpaksa mengikat perut.
8) Dituduh gila serta ahli sihir dan sebagainya.

Keadaan yang sama turut dialami oleh sahabat Baginda, Umar, Uthman, Ali mati dibunuh, para solihin yang memperjuangkan Islam ramai yang mati dibunuh atau menghabiskan sisa hidup mereka di dalam penjara. Siapalah kita berbanding mereka? Adakah masalah yang kita hadapi selama ini lebih besar daripada ujian mereka?

Kita hanya perlukan sedikit kesabaran berbanding mereka. Kesabaran dalam menempuh kerenah dunia untuk hidup sebagai seorang Muslim yang bahagia di dunia dan juga tentunya di akhirat nanti.

Semoga bermanfaat. Wassalam.

(Sumber: Solusi 21, artikel oleh: Ustaz Mohd Sukki Othman a.k.a. Ustaz Shauqi Othman).

Comments

Popular Posts