Ujian melatih kita mendapatkan sifat-sifat terpuji


Ujian sebenarnya melatih kita untuk mendapatkan sifat-sifat yang terpuji. Sabar, redha, tawakal, baik sangka, mengakui diri sebagai hamba yang lemah, mendekatkan diri dengan Allah, harapkan pertolongan Allah, merasai dunia hanya nikmat sementara dan sebagainya. Berasa diri berdosa adalah juga sifat terpuji.

Sebab itu bagi orang yang sudah banyak melakukan dosa atau lalai daripada mengingati Allah, Allah datangkan ujian kesusahan kepadanya. Supaya hambaNya tadi tidak terus tenggelam dalam dosa dan noda. Kadangkala Allah dedahkan dosa yang dilakukan hingga ramai orang tahu. Bukan untuk menghinakan kita tetapi untuk memberi ingatan supaya kita bertaubat.

Setiap dosa mesti dihukum, sama ada di dunia atau di akhirat (kecuali kita telah bertaubat bersungguh-sungguh sehingga Allah mengampunkan dosa itu). Bagi orang yang Allah kasih, di dunia lagi Allah hukum, tidak di akhirat. Yakni dengan didatangkan kesusahan, penderitaan, kesakitan, kemiskinan, kehilangan pengaruh dan sebagainya. Sekiranya kita boleh bersabar dan redha, itulah ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya, jika kita tidak boleh bersabar dan tidak redha, malah merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, hanya akan menambahkan lagi dosa kita.

Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambaNya, tidak mahu hukum kita di akhirat, kerana penderitaan di neraka berpuluh-puluh kali ganda lebih dahsyat daripada penderitaan di dunia.

Sekiranya kita dihukum di dunia lagi, kita patut bersyukur kerana apabila kembali ke akhirat, kita bersih daripada dosa. Adakalanya, kita ditimpakan kesempitan hidup. Sengaja Allah takdirkan demikian kerana Allah sayang kepada kita. Allah hendak melatih kita menjadi orang yang bersabar dan redha dengan takdirNya. Mungkin kita akan sombong dan bakhil kalau dikurniakan harta melimpah ruah, maka Allah didik kita dengan kemiskinan.

Apabila kita diuji dengan kesakitan, Allah mahu memberitahu kita bahawa begitulah susah dan menderitanya orang yang sedang sakit. Semoga kita menjadi orang yang bertimbang rasa, menziarahi dan membantu mereka yang menderita sakit. Orang yang sedang sakit, hatinya mudah terusik. Sesiapa sahaja yang datang dan memberi nasihat, insya-Allah mudah diterimanya.

Allah takdirkan ujian demi ujian untuk memberi peluang kepada kita mendapatkan pahala sabar. Barangsiapa yang sabar dan redha tanpa mengeluh akan mendapat balasan syurga. Oleh itu, apa salahnya Allah uji kita kerana hendak menyelamatkan kita di akhirat kelak!

(Sebahagian daripada artikel yang bertajuk "Tuhan Sedang Mengajarmu erti ikhlas dan sabar!" oleh Ustaz Hasrizal Jamil, Majalah Solusi, isu 2).

“Demi sesungguhnya! Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, yakni orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan “Innalillah wa inna ilaihi rajiun” (Surah al-Baqarah 2: 155 – 156).

“Oleh itu bersabarlah, sesungguhnya kesudahan yang baik (yang membawa kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat) adalah bagi orang-orang yang bertakwa” (Surah Hud: 49).

Semoga bermanfaat.
(14 days to Ramadhan. Sudahkah anda bersedia?)

Comments

Popular Posts