Lelaki Melayu yg TipiKal


Mendengarkan kisah seorang teman membuatkan aku berasa insaf dan syukur dengan apa yang aku nikmati sekarang. Lelaki Melayu yang tipikal masih ada lagi di Malaya ini!!!, aku ingat sudah pupus sebagaimana pupusnya dinosour. Berbaur perasaan melanda bila mendengar rintihan teman tadi.....geram ada... marah pun ada. Tak ada hati perut ke engkau pada isteri....Allah SWT sudah letakkan dirimu sebaik-baik tempat sebagai khalifah di muka bumi ini.

Islam telah menyediakan garis panduan sebaik-baiknya untuk kita jadikan landasan namun aku pelik dan tidak mengerti mengapa golongan tipikal yg di dalam ICnya di kenal sebagai Islam masih ortodok sebagaimana zaman jahiliah.

Imam An-Nawawi menyebutkan bahawa perempuan itu dua macam iaitu perempuan yang kebiasaannya mempunyai pembantu (khadam) dan perempuan yang tidak mempunyai pembantu. Oleh yang demikian menurut mazhab Syafi‘รจ tidak wajib menyediakan pembantu bagi isteri jika suami tidak mampu. Walau bagaimanapun suami dituntut menyediakan pembantu jika isteri dari keluarga yang kebiasaannya mempunyai pembantu. (Raudhah At-Talibin: 6/453-455) Dalam hal ini, suami juga dituntut (wajib) membayar nafkah bagi pembantu tersebut seperti bayaran gaji, makan minum dan pakaian (sekali setiap enam bulan). (Raudhah At-Talibin: 6/453-455)

Dalam pada itu Imam As-Syirazi pula menyebutkan bahawa suami hanya patut menyediakan seorang pembantu sahaja bagi isterinya dan pembantu itu adalah seorang perempuan atau seorang lelaki yang mempunyai hubungan mahram dengan si isteri. (Al-Majmuk: 19/367)

Pekerjaan yang wajib dilakukan oleh seorang pembantu isteri itu hanyalah mengenai hal-hal yang khusus dan diperlukan oleh isteri sahaja seperti menyediakan makan minum isteri, membasuh pakaian isteri, memasak makanan isteri dan mengangkat air untuk mandian dan untuk minuman.

Ada ulamak menyebutkan bahawa kerja-kerja harian di dalam rumah seperti memasak makanan suami dan mencuci pakaian suami, bukanlah menjadi kewajipan isteri dan pembantu tersebut; isteri hanya boleh melakukannya secara sukarela, bahkan ia adalah tugas suami sendiri atau ditangani oleh orang lain dengan cara upah dan sebagainya. (Al-Majmuk: 19/369 & I‘anah At-Thalibin: 4/114-115). Hukum ini adalah hasil ijtihad ulamak dan ia bertentangan dengan urf atau kebiasaan dalam masyarakat. Sedangkan urf dan kebiasaan itu boleh dipakai dalam menentukan dan menetapkan sesuatu hukum. Atas dasar ini, isteri boleh memasak, menyidai pakaian, mengasuh anak dan sebagainya, tetapi bukan sebagai kewajipannya yang mutlak.

Beberapa alasan berikut juga boleh dijadikan hujah:

1. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman kepada para isteri yang tafsirnya, “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 228)

Sebahagian ulamak tafsir menta’wilkan ayat di atas, supaya para isteri berkhidmat dengan baik ke atas para suami sepertimana para isteri berbuat taat kepada suami mereka sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. (At-Thabari:2/613-614)

Pengarang kitab Fatawa Mu‘asyirah ada menyebutkan mengenai maksud perkataan al-makruf dalam ayat di atas, beliau berkata yang maksudnya, “Khidmat seorang isteri kepada suaminya adalah makruf (kebaikan). Adapun membuat perempuan (isteri) itu bersenang-senang sementara lelaki melaksanakan urusan rumah seperti menyapu, mengisar gandum, menguli tepung, membuat roti, membasuh … (lain-lain lagi), bukanlah perkara yang makruf, (kerana) lelaki itu bekerja dan membanting tulang di luar rumah, maka demi keadilan sewajarnya wanita berperanan melaksanakan tugas-tugas rumah tersebut. (Fatawa muร syirah: 1/506)

2. Suami adalah qawwam (pemimpin) dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap isteri sebagaimana disebutkan dalam firman Allah Ta‘ร la yang tafsirnya, “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita.” (Surah An-Nisaa’, ayat 34)

Oleh yang demikian, isteri hendaklah menjaga kepentingan suami. Maka jalan yang serasi dan bermuafakat dengan adat dan budaya orang Melayu ialah isteri bertanggungjawab dengan kerja-kerja rumah manakala suami pula hanya membantu. Tidaklah menjadi kesalahan, jika ada suami yang berminat dan bersedia melakukan kerja-kerja di rumah seperti kerja-kerja memasak, mengasuh anak dan menjahit pakaian sendiri, kerana Rasulullah SAW juga melakukan perkara-perkara tersebut, sementara isteri pula bekerja di luar seperti berniaga dan sebagainya di atas kerelaan suami isteri.

3. Terdapat beberapa riwayat yang menyatakan kehidupan harian Rasulullah SAW dan para sahabat sebagai suami dan isteri, yang masing-masing itu memberi khidmat dan bantu membantu antara satu sama lain; Rasulullah SAW dalam membantu dan menolong ahli keluarga Baginda telah dijadikan contoh tauladan oleh umat manusia. Baginda sebagai seorang Rasul sekaligus sebagai pemimpin negara tidak camah mata kepada ahli keluarga Baginda.

Ini terbukti dalam satu riwayat daripada Al-Aswat bin Yazid katanya yang maksudnya, “Aku bertanya kepada Aisyah: “Apa yang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kerjakan di rumah? Aisyah menjawab: “Baginda sentiasa melayani isterinya yakni membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah. Maka apabila masuk waktu sembahyang Bagindapun keluar untuk sembahyang (ke masjid).” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Hadis diatas disokong lagi oleh hadis-hadis lain yang menceritakan Baginda SAW sendiri membuat kerja-kerja rumah seperti menjahit baju, mencuci pakaian, menampal kasut, memerah susu dan lain-lain, sebagaimana riwayat daripada Hisyam bin ‘Urwah daripada seorang lelaki katanya yang maksudnya, “Aku bertanya kepada Aisyah: “Apa yang Nabi SAW kerjakan di rumahnya? Aisyah menjawab: “Baginda sendiri telah menjahit baju dan menmpal kasut atau seumpama ini.” (Hadis riwayat Ahmad)

Dalam riwayat yang lain yang maksudnya, “Apa yang Nabi SAW kerjakan di rumahnya? Aisyah menjawab: “Baginda sendiri menjahit bajunya dan menampal kasutnya, dan Baginda juga membuat pekerjaan yang dibuat oleh kebanyakkan orang lelaki (suami) di rumah-rumah mereka.” (Hadis riwayat Ahmad)

Dalam riwayat yang lain lagi yang maksudnya, “Apa yang Nabi SAW kerjakan di rumahnya? Aisyah menjawab: “Baginda adalah manusia seperti manusia biasa di mana Baginda sendiri membersihkan (mencuci) pakaiannya, memerah susu kambing dan membuat kerja-kerja (yang lain) untuk dirinya sendiri.” (Hadis riwayat Ahmad)

Berdasarkan hadis-hadis di atas jelaslah bahawa mengurus rumah dengan membantu para isteri itu adalah sunnah Rasulullah SAW, dan amalan tersebut bukanlah sebagaimana anggapan sebahagian orang awam sebagai “queen control”. Maka perbuatan tersebut hendaknya dikekalkan demi kerukunan dan kebahagiaan rumahtangga.

Begitu juga kehidupan harian para sahabat sebagai suami isteri, masing-masing mereka memberi khidmat dan bantu membantu antara satu sama lain. Sebagai contoh, Asma’ binti Abu Bakar, isteri sahabat Zubair bin Al-Awwam, sentiasa membantu suaminya dengan memberi makan kuda, mengangkat air dari tempat yang berbatu-batu jauhnya. Hal ini diceritakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abi Mulaikah yang maksudnya, “Sesungguhnya Asma’ telah berkata: “Aku pernah memberikan khidmat (melayani) Az-Zubair dalam urusan rumahtangga. Dia (Az-Zubair) mempunyai seekor kuda dan akulah yang mengurusnya. Tidak ada suatu khidmat (kerja) yang lebih berat bagiku daripada mengurus kuda kerana akulah yang mencarikan rumput, menjaganya dan mengurus segala keperluannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam riwayat yang lain yang maksudnya, “Daripada Asma’ binti Abu Bakar katanya: “Az-Zubair mengahwini aku, dia tidak mempunyai harta, hamba dan apa pun di muka bumi ini selain seekor kuda”. Kata Asma’ lagi: “Akulah yang memberi makan kudanya, mencukupkan keperluan makannya, mengurusnya, menumbuk biji kurma sebagai minumannya, memberinya makan, meminumkan air, melubangi timbanya dan mengadun roti. Tetapi aku tidak boleh membuat roti dengan baik, dan kaum wanita Ansharlah yang biasa membuatkan roti untukku. Mereka adalah para wanita yang ikhlas”. Beliau berkata lagi: “Aku biasa mengangkat biji kurma di atas kepalaku dari kebun Az-Zubair iaitu tanah yang diberikan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Tanah itu kira-kira jauhnya satu pertiga farsakh dari kota.” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam riwayat yang lain Fatimah telah mengadu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam meminta seorang pembantu yang maksudnya, “Daripada Ali bin Abi Talib, sesungguhnya Fatimah pernah mengadu kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, meminta kepada Baginda seorang pembantu. Lalu Baginda bersabda: “Bagaimana jika aku tunjukkan sesuatu yang lebih baik untuk mu daripada seorang pembantu; iaitu kamu bertasbih kepada Allah sebanyak tiga puluh tiga kali ketika hendak tidur, bertahmid (memuji Allah) sebanyak tiga puluh tiga kali dan membaca takbir kepada Allah sebanyak tiga puluh empat kali.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas, Fatimah dan suaminya pernah mengadu kepada Rasulullah SAW agar mengizinkannya mendapatkan pembantu rumah. Tetapi Baginda mengajar Fatimah perkara yang lebih baik daripada seorang pembantu. Dengan makna yang lain Baginda melazimkan Fatimah agar terus melakukan sendiri kerja-kerja dan urusan rumahnya sekaligus tidak pula mengatakan kerja itu diserah kepada Ali kerana tanggungjawabnya sebagai suami. Jawapan Rasulullah SAW kepada puterinya itu adalah suatu perakuan (taqrir) yang dengan sendirinya menurunkan hukum yang bakal dipakai oleh umatnya, iaitu dalam menentukan tanggungjawab siapa sepatutnya melakukan kerja-kerja rumah, suami atau isteri.

Fatimah Az-Zahra adalah salah seorang puteri Nabi iaitu penghulu segala wanita. Sebagai isteri kepada Saiyidina Ali bin Abi Talib, beliau turut serta memberi khidmat kepada suaminya dan melakukan sendiri kerja-kerja memasak, membuat tepung, mengadun, membuat roti dan mengisar tepung sehingga pecah-pecah kedua tangannya.

Berdasarkan hadis di atas juga Ibnu Hubaib mengatakan bahawa Rasulullah SAW memutuskan supaya Fatimah berperanan melakukan tugas-tugas dalaman, sementara Ali berperanan melakukan tugas-tugas luar. Maksud tugas-tugas dalaman ialah membuat tepung, memasak, menyapu dan semua kerja rumah. (Fath Al-Bari: 10/635)

Berdasarkan hujjah-hujjah di atas, adalah elok jika isteri dapat membuat pekerjaan atau perkara-perkara yang lazimnya dibuat oleh para isteri seperti memasak, mencuci pakaian, menyediakan makanan dan sebagainya untuk suaminya kerana agama Islam sangat menggalakkan umatnya bantu-membantu dan tolong-menolong antara satu dengan lain lebih-lebih lagi suami isteri. Dalam perkara tolong menolong dan bantu membantu ini Allah Ta‘ร la telah menjelaskan dalam firmanNya yang tafsirnya, “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa.” (Surah Al-Maidah, ayat 2)

FirmanNya yang lain yang tafsirnya, “Dan mereka pula bersegera pada membuat dan mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya) adalah dari orang-orang yang salih.” (Surah Ali Imran, ayat 114)

Perkara sedemikian juga bersesuaian dengan budaya masyarakat Melayu iaitu kerja-kerja berat biasanya menjadi kewajipan suami manakala kerja-kerja ringan biasanya menjadi kewajipan isteri.

Berdasarkan penjelasan yang telah dihuraikan di atas, dalam apa jua keadaan suami mempunyai satu darjat kelebihan ke atas seorang perempuan (isteri), kerana suamilah yang berkuasa mengawalnya dan memberi mereka nafkah, sebagaimana firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya, “Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isteri-isteri).” (Surah Al-Baqarah, ayat 228)

Kesimpulannya, seorang isteri adalah menanggung kewajipan terhadap suaminya yang wajib dilaksanakannya dengan cara yang baik, maka begitulah juga suami menanggung kewajipan terhadap isterinya yang wajib dilaksanakannya dengan cara yang baik juga, sebagaimana dijelaskan oleh Allah Ta‘ala dalam firmanNya yang tafsirnya, “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (tidak dilarang oleh syarak).” (Surah Al-Baqarah, ayat 228)

Comments

Popular Posts