Perihal Anak Remaja - When I Fall in Love

Panduan buat mom's & dad's yang ada anak remaja. Kita tak boleh cakap jangan bercinta kalau kita dulu pun bercinta namun kita patut cari solusi bagi mengimbangkan relung cinta dan iman. Teringat kata2 cik B dulu, "kita berkawan bukan nak peningkan kepala dengan sandiwara rajuk dan gaduh tapi kita berkawan untuk kekal sebagai suami isteri hingga ke syurga sana". Jangan mudah gelabah dan beri tekanan kepada jowa remaja anak2 fahami mereka dan dekati mereka. Sebenarnya mereka amat perlukan kita saat mereka dilanda perasaan ini dan dalam masa yang sama kita dapat memberi bimbingan supaya mereka tidak menyimpang daripada yang ditetapkan oleh agama.

Via...Dr Juanda Blog

Ulama Nusantara yang ulung, Prof Dr Hamka (Abdul Karim Amrullah) melakarkan cinta sebagai; “Cinta ialah iradah Tuhan, dikirimnya ke dunia supaya tumbuh. Kalau ia terletak di atas tanah yang lekang dan tandus, tumbuhnya akan menyiksa orang lain. Kalau ia datang pada hati yang keruh dan kepada budi yang rendah, ia akan membawa kerosakan. Tetapi jika ia hinggap di hati yang suci, ia akan mewariskan kemuliaan, keikhlasan dan taat kepada Ilahi.” 

Sesuatu yang tidak mungkin dapat kita lupakan ialah cinta pertama. Saat itu seseorang belajar mengenai perasaannya, menghayati emosinya dan melepaskan kekuatan kehendaknya untuk merapati individu yang baginya istimewa. Perasaan cinta adalah sifat semulajadi yang diciptakan Allah Taala dan merupakan potensi positif jika diatur dengan bimbingan yang suci mengikut batas-batas syariat-Nya.

Anak anda pasti akan melalui saat-saat indah itu sepertimana ibu bapanya dahulu. Lain dulu lain sekarang, agak risau juga melihat perkembangan remaja moden kini. Pengaruh media elektronik dan alam siber terhadap jiwa remaja amat menakutkan kita. Anak-anak kita dihidangkan dengan nilai-nilai negatif yang berlebihan berbanding nilai-nilai yang positif. Peranan kita yang paling efektik ialah membimbing dan menerangkan mana yang benar dan mana yang salah agar mereka dapat membuat perbandingan untuk mengambil apa-apa keputusan dalam hidup mereka. 

Ada beberapa tips untuk mengawal perkembangan psikologi cinta remaja ke arah yang positif, antaranya ialah:

1. Mesrakan anak dengan agamanya sebelum kehadiran si ’teman tapi mesra’.
Agama menjadi penyelamat manusia, tanpa agama manusia hidup terombang-ambing oleh arus keganasan dunia. Dia akan karam menghadapi gelombang duniawi tanpa tali Allah Taala. Pastikan anak-anak kita memiliki tali yang cukup kuat yang sentiasa digenggam ke mana sahaja dia pergi. Rasulullah SAW pernah memberi nasihat kepada seorang remaja lelaki yang bernama Abdullah bin Abbas RA yang merupakan sepupu baginda. Abdullah bin Abbas RA berkata: Pada suatu hari aku berada di belakang tunggangan bersama Rasulullah SAW lalu baginda bersabda yang bermaksud: ”Wahai budak, sesungguhnya aku hendak mengajarkan beberapa pelajaran kepadamu. Peliharalah Allah (peliharalah ajaran dan hukum-hakam Allah dengan melaksanakan semua perintah-Nya dan meninggalkan semua larangan-Nya) nescaya Allah akan memeliharamu.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi)

2. Sediakan masa untuk anda berdua dengan anak, sebelum dia merasa ada orang lain yang lebih sesuai baginya menyatakan syair lagu cinta ’Berdua denganmu pasti lebih baik, aku yakin itu’.
Ibu bapa yang prihatin mesti memiliki perasaan cemburu kepada anak-anaknya. Mereka memiliki hati dan jiwa anak sepenuhnya. Apabila anak mahu berkongsi perasaannya kepada kekasih hati, saat itu seakan-akan diri kita tidak berharga lagi baginya. Kalau dulu hanya kita yang dia rindu, masakan dan hadiah kita yang diidam, sekarang dia telah memiliki orang lain yang mahu mendengar, mencurahkan segala isi hati dan melakar impian bersamanya. Orang itu bukanlah diri kita. Sebelum datangnya saat itu, lebih baik anda pastikan anda juga mahu memiliki secebis hati dan perasaan anak anda. Sediakan masa untuknya berdialog, bergurau senda atau sekadar sentuhan mesra di bahunya sebelum segalanya terlambat. Menurut kajian psikologi, mereka yang terlibat dengan gejala pergaulan bebas mempunyai latarbelakang kering kasih sayang dalam keluarga.

3. Ajarkan batas-batas pergaulan melalui contoh teladan yang baik.
Tanamkan rasa malu dalam pergaulan, berbudi bahasa, sopan dan menghormati orang lain. Imej diri yang bersih dengan ajaran agama yang terpacak dihati sememangnya boleh membantu dia menguasai hawa nafsunya. Al-Quran telah menerangkan batas-batas pergaulan yang mesti dipelihara oleh hamba-hamba Allah SWT yang beriman. Dalam surah al-Nur Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan. Katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (Surah al-Nur: Ayat 30-31)

4. Ajarilah anak anda mencintai orang lain dengan cara yang benar mengikut acuan syariat.
Anda mesti menjadi orang ketiga di antara mereka berdua yang mahu berkongsi perasaan dan boleh mempengaruhi minda mereka agar menjadi anak-anak yang saleh. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiga perkara jika ada pada seseorang ia akan merasakan manisnya iman, iaitu orang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih ia cintai dari selainnya, ia tidak mencintai seseorang melainkan kerana Allah dan ia enggan kembali kepada kekufuran sepertimana ia benci dilemparkan ke neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Turmizi, al-Nasaie)

Comments

  1. Nmpk ada anak yg sedang bercinta upload gambaq kat insta mama....hehehe :P

    ReplyDelete
  2. ha ha ha biasa la Lynna jiwa remaja mahu tak mahu papa & mama kena involve juga ...tp bersyukur dlm apa hal depa refer kat kita

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts