Bukan hak milik, tetapi anugerah....

“Isteri bukan hak milik, tetapi anugerah…” adalah sebuah dialog dipetik dari filem CINTA arahan pengarah Kabhi Bahtiar, yang dilafazkan oleh Dato Rahim Razali.

Hemm… isteri adalah hak suami? Mungkin maksudnya, isteri itu hak milik suami? Kalau begitu, suami itu hak milik isteri? Apa yang kita faham dengan perkataan ‘hak milik’? Adakah ia sesuatu yang diberi ‘cop mohor’? Ada pula lagu yang agak popular yang bertajuk ‘Hak Milik Kekal...’ nyanyian adik-beradik Rafar... Lagi hebat...

Saya cuba cari persamaan dan perbezaan dua kalimah itu, ‘hak milik’ dan ‘anugerah’ tetapi amat sukar untuk saya menulis ke semuanya di sini. Berat saya rasakan ada kontra dan kelebihan daripada salah satu perkataannya. Sebenarnya banyak perlakuan kita hari ini mengiyakan sesuatu itu ‘hak milik’ kita, tanpa menyedari sebenarnya ia adalah ‘anugerah’ Allah SWT, bukan ‘hak milik’ kita yang total.

Hak milik membawa maksud ‘pemilikan’ atau ‘kepunyaan’. Dengan perkataan yang lebih mudah, hak milik bermaksud ‘kekuasaan dalam memiliki sesuatu’. Sebagai contoh, jika kita memiliki sesuatu barang, bermakna kita berhak berbuat apa saja kepada barang yang kita miliki itu. Hendak dipeluk, dicium, ditayangkan dalam almari kaca ataupun dilanyak, dicampak dan boleh jadi juga dipijak-pijak bila apa yang kita miliki itu tidak lagi memenuhi keperluan dan kehendak kita. Apa yang pasti, akibat terperasan ia adalah hak milik, lazimnya, belum tentu hak milik itu kita HARGAI.

Anugerah pula bermaksud ‘pemberian’ atau ‘kurniaan’ yang disertai dengan harga atau nilai yang tersendiri. Saya percaya, siapa pun akan memandang anugerah sebagai nilai yang paling paling paling berharga. Anugerah akan dirasakan begitu berharga selepas disusahi dengan pelbagai usaha dan titik peluh sendiri. Saya tidak pernah dianugerahkan pingat kebesaran, tetapi jika dianugerahkan pingat tersebut, sudah tentu saya akan simpan baik-baik, sekali-sekali dibelek-belek, digilap jika berhabuk dan mungkin saja dipolish bila ia pudar... Hemmm....

Bayangkan kita sebagai seorang pelajar, dengan usaha yang gigih kita akhirnya disandangkan dengan Anugerah Dekan pada tahun menuntut di Universiti tersebut. Tentu sekali kita gembira. Pertamanya gembira kerana dihargai, kedua kerana dianugerahkan sesuatu yang berharga.

Maka, sebab itulah syurga merupakan sebuah ‘anugerah’ bukanlah ‘balasan’. Masuk ke syurga bukan kerana panjang dan beratnya amalan, tetapi kerana anugerah atau kurniaan Allah SWT.

Saya pasti antara jam tangan yang dibeli sendiri (hak milik sendiri) dengan jam tangan yang dihadiahkan (anugerah) daripada orang yang tersayang, anda akan lebih menghargai pemberian jam tangan daripada insan tersayang, apatah lagi jika orang itu bakal menghargai anda suatu masa nanti dan dia banyak bersusah payah demi anda.

Ada teman-teman yang sudah terlalu mabuk cinta, sampaikan tiket komuter pemberian kekasihnya pun masih disimpan rapi di dalam dompetnya. Tiket itu ada nilai harga dan abstraknya tersendiri yang dia sahaja tahu dan orang lain tidak nampak kerana ia sebuah harga dan anugerah.

Berbalik kepada tajuk di atas, marilah kita tukarkan persepsi :
  • isteri bukan hak milik, tetapi anugerah....
  • suami bukan hak milik, tetapi anugerah....
  • anak-anak juga bukan hak milik, tetapi anugerah....


Ubahlah persepsi ‘hak milik’ kepada ‘anugerah’, supaya kita lebih mudah terdorong untuk memenuhi hak-hak anugerah yang dikurniakan Allah SWT ini. Kadang-kala kita terlupa, setiap anugerah yang dikurniakan itu turun beserta amanah dan tanggungjawab bersama-samanya. Sesungguhnya anugerah-anugerah yang dikurniakan itu ‘hadir’ bersama-sama tanggungjawab dan amanah, dan semuanya ini, akan dipersoalkan kembali kepada kita di akhirat nanti, bagaimana kita mempergunakan anugerah ini selama kita berada di dunia ini.

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.” (Surah al-Anfaal, 8:27)

Apa pengertian amanah? Amanah berasal daripada perkataan Arab, amana yang bermaksud tenteram, aman, selamat dan harmoni. Amanah dengan kata lain ialah sesuatu tanggungjawab yang diserahkan untuk dipelihara dan dijaga atau diterima oleh seseorang atau pihak yang dipercayai dapat melaksanakannya seperti dituntut tanpa mengabaikannya. Amanah boleh saja berbentuk kehormatan diri, hak-hak manusia, harta benda, agama, pekerjaan dan lain-lain. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyampaikan (menyerahkan) segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)….” (Surah an-Nisaa’ 4:58)

Jika kita melihat isteri sebagai anugerah, amanah dan tanggungjawab, tentu suami tidak mungkin ALPA mengabaikan hak-hak isterinya. Jika isteri pula melihat suami sebagai anugerah, amanah dan tanggungjawab, pasti si isteri akan berusaha memenuhi hak-hak suaminya pula. Jika kita melihat anak-anak kita sebagai anugerah, amanah dan tanggungjawab yang Maha Esa, besar kemungkinan tiada ibu bapa yang bersikap sambil lewa, mengabaikan hak-hak dan membiarkan anak-anak membesar tanpa dibekalkan ilmu dunia dan akhirat. Halusilah anugerah-anugerah yang dikurniakan kepada kita, sudah pasti pengabaian hak, amanah dan tanggungjawab dapat diminimumkan, insya Allah.



Apa pula yang dimaksudkan tanggungjawab? Tanggungjawab merupakan satu AMANAH atau BEBAN dan TUGASAN yang mesti kita ‘tanggung’ di dunia, MESTI kita ‘jawab’ apabila kita ‘disoal’ di hadapan Allah SWT di yaumil mahsyar kelak.

Sekalipun badai ujian kehidupan ada kalanya begitu dahsyat, tetapi kita akan teruskan juga demi satu amanah dan tanggungjawab. Sebagai contoh, kita wajib sedar bahawa menjadi seorang suami mahupun isteri bukan hanya untuk menikmati keseronokan dan kemanisan yang dingini oleh fitrah setiap manusia tetapi yang lebih utama, berkahwin itu adalah anugerah dan amanah Allah SWT.

Tip untuk rasa bertanggungjawab dalam rumahtangga
  1. Kenangkan selalu bahawa isteri atau suami kita ialah milik Allah SWT, bukan hak milik kita.
  2. Dalam apa jua perselisihan, carilah di mana kedudukan syariat dalam hal itu.
  3. Sentiasa bermuzakarah dalam membuat keputusan.
  4. Sering melakukan solat Istikharah dan solat Hajat dalam menghadapi sesuatu ujian.
  5. Bayangkan pertemuan yang indah dengan semua anggota keluarga di syurga nanti apabila masing-masing bertanggungjawab dengan perintah Allah.
  6. Takutkan neraka dan bimbangkanlah seksa-Nya jika mengabaikan tanggungjawab dan amanah-Nya.
  7. Bila suasana terlalu sukar, bisikan di hati : Ini semua sementara, pertolongan Allah sudah dekat…

Pasti, kita semua mampu menyayangi sesuatu yang kita panggil hak milik kita. Namun, sesuai dengan disebabkan peredaran waktu dan pertambahan usia, mungkin saja kita akan mensia-siakan yang menjadi hak milik itu. Sebaliknya, kita semua akan lebih menyayangi sebuah anugerah kerana harganya yang tersendiri.

Contoh yang paling mudah untuk diceritaka, berkenaan CINTA. Semasa angau mabuk bercinta, kita menjadi begitu asyik memenuhi permintaan dan kehendak kekasih. Sanggup berkorban apa saja, harta ataupun nyawa.. bak bait lagu nyanyian P.Ramlee. Tetapi, bila cinta itu sudah mulai pudar akibat pengabaian hak dan tanggungjawab misalnya, tidak mustahil cinta itu akan bertukar menjadi benci. Sebaliknya, jika kita sematkan cinta itu bukanlah hak milik tetapi anugerah yang disertakan dengan amanah dan tanggungjawab, biarpun teruk dilanda tsunami, pasti kita akan harungi juga, bak kata pujangga cinta, lautan bara sanggup ku renangi...

Kesimpulan

Sesiapapun bukanlah hak milik kepada sesiapa, tetapi ia adalah anugerah kerana manusia hanya memegang amanah dalam hubungan sesama manusia, namun manusia tidak mampu menjadi hak milik manusia lain sebaliknya hanya pemegang amanah yang setia dan sentiasa sujud kepada Allah SWT. Percayalah, anugerah tidak sesekali diberikan melainkan kepada orang-orang yang terpilih. Kerana itu kita perlu berbeza cara untuk menghargai sebuah HAK MILIK dan sebuah ANUGERAH.

Cinta bukan sekadar kasihan, sebaliknya cinta memerlukan kesungguhan, keikhlasan, kesetiaan, kejujuran, pengorbanan serta segala aspek ini mestilah berpaksikan kepada peraturan yang diharuskan oleh syarak. Cinta yang sejati adalah cinta yang berlandaskan cinta kepada Allah dan manusia mencintai manusia kerana Allah SWT.

Mari kita sama-sama renung-renungkan.

Comments

Popular Posts