Kaedah Umum Didik Anak Lelaki & Perempuan

Kaedah Umum Didik Anak Lelaki & Perempuan......dipetik dari http://surau.townplan.gov.my PDF Print E-mail

Dari segi prinsip dan perkara pokok dalam didikan, mendidik anak lelaki dan anak perempuan sama saja. Tanggungjawab ibu bapa Mukmin dalam soal ini ialah memberi sebaik-baik didikan sebagaimana yang Allah dan Rasul kehendaki. Kemudian menyerahkan hasilnya kepada Allah – sama ada anak itu ‘menjadi’ atau tidak.

Kerana setiap kita akan ditanya oleh Allah S.W.T. di hari akhirat nanti berkenaan amanah dan tanggungjawab yang dipikulkan di pundak kita. Memberi didikan yang baik dan sempurna ini adalah hak paling utama bagi anak-anak yang wajib ditunaikan oleh ibu bapa.

Kesedaran ibu bapa secara mendalam terhadap hak pendidikan anak-anak ini sangat perlu dan penting bagi memelihara zuriat dan keturunan mereka daripada kehinaan, kerendahan dan kejahilan.

Untuk itu, ibu bapa perlu memahami paling tidak perkara yang dikira asas ilmu pendidikan itu sendiri. Dengan itu, tidaklah kita hanya menyerahkan bulat-bulat anak kita kepada sekolah dan guru-guru. Dalam soal mendidik anak lelaki dan anak perempuan, kaedah yang digunakan ada yang berbentuk umum dan ada yang berbentuk khusus.

Bila dikatakan kaedah umum, maksudnya ada kaedah pendidikan yang sama dikongsi anak lelaki dan anak perempuan. Kaedah khusus pula adalah kaedah yang hanya tertentu kepada anak lelaki atau anak perempuan sahaja – sesuai dengan fitrah, tanggungjawab dan peranan mereka yang berbeza.

Kaedah umum dalam mendidik anak-anak, baik yang lelaki atau perempuan, meliputi perkara-perkara berikut:

1. Mendidik iman dan akidah yang hak

a. Mengenalkan AllahLahir sahaja anak ke dunia, biarlah perkataan pertama yang didengarinya adalah sebutan nama Allah. Sebab itu disunatkan azan di telinga kanan, iqamah di telinga kiri bayi sama ada bayi lelaki atau perempuan. Sabda Nabi s.a.w.: “Bukakanlah (baca dan ucapkanlah) kepada anak-anak kamu kalimat pertama dengan La ilaha illallah.” (Riwayat al-Hakim daripada Ibnu Abbas r.a.)

b. Mentaati Allah Ini merupakan didikan iman paling asas selepas mengenalkan anak-anak kepada Allah. Sabda Nabi s.a.w.: “Perintahkanlah anak-anak kamu untuk mentaati perintah-perintah dan menjauhi larangan-larangan. Sebab hal itu akan melepaskan mereka dari seksa neraka.” (Riwayat Ibnu Jarir)

c. Tidak mensyirikkan AllahIni penting untuk membersihkan akidah anak, sebagaimana nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah kamu menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.”

Sehubungan itu, ibu bapa harus menanamkan pada jiwa anak-anak hakikat seluruh Rukun Iman yang enam dengan sebaik-baiknya.

2. Memberi nama yang elok dan melakukan akikah

Nama yang elok berperanan membentuk peribadi anak. Mengenai akikah, sabda Nabi s.a.w.: “Setiap anak tergadai akikahnya dengan disembelihkan akikahnya pada hari ketujuh kelahirannya. Pada hari itu ia dicukur dan diberi nama.” (Riwayat Imam Ahmad dan Imam yang empat)

3. Mendidik asas hukum syarak yang berkaitan dengan kehidupan sehariannya

Antaranya: a. Hukum-hukum Islam yang lima (wajib, sunat, harus, haram dan makruh). b. Mendidik batasan pergaulan dan auratIni termasuk memisah dan mengasingkan tempat tidur ibu bapa dan mengasingkan tempat tidur anak lelaki dan anak perempuan.. Sabda Nabi s.a.w.: “….dan pisahkanlah tempat tidur mereka (setelah berusia 10 tahun).” (Riwayat al-Hakim dan Abu Daud dari Ibnu Amr Ibnil ‘As r.a.)

Nabi s.a.w. menekankan soal pergaulan dengan sabdanya: “Hindarilah kamu dari bercampur (secara bebas) dengan kaum wanita.” Anak juga mesti dididik dengan batas aurat terutama bila telah baligh.

Suatu ketika Asma binti Abu Bakar memasuki rumah Nabi s.a.w. dengan pakaian yang tipis, lalu Rasulullah s.a.w. menegurnya: “Wahai Asma, apabila perempuan telah mencapai (sampai) usia baligh, maka ia tidak boleh dipandang kecuali ini dan ini (baginda s.a.w. menunjukkan wajah dan kedua-dua telapak tangannya.”

4. Mendidik akhlak, adab dan budi pekerti

Ilmu tinggi tidak berguna kalau tidak beradab dan tidak berakhlak dengan Allah dan sesama manusia. Pastikan ilmu dan amalan anak-anak kita menghasilkan ‘buah’ yang masak ranum (akhlak terpuji). Sabda Nabi s.a.w.: “Elokkanlah namanya (anak) dan elokkanlah adabnya.” (Riwayat al-Baihaqi)

Nabi s.a.w. bersabda lagi: “Tiada seorang bapa yang memberikan sesuatu kepada anaknya yang lebih bermakna daripada pemberian adab yang baik.” (Riwayat at-Tirmizi)
5. Mendidik anak tujuan dan matlamat hidup yang jelas

Anak-anak yang tidak ada tujuan dan matlamat hidup akan mudah terpesong dari jalan kebenaran dan mudah juga hanyut dalam arus duniawi. Matlamat hidup tak lain dan tak bukan ingin mendapat keredhaan Allah S.W.T. berpedomankan al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Tujuan hidup atau tujuan kenapa Allah mencipta manusia perlu ditanamkan dalam jiwa dan minda anak-anak iaitu untuk berperanan sebagai hamba dan khalifah Allah di atas dunia.

6. Mewujudkan suasana yang soleh

Untuk melahirkan anak yang soleh, persekitaran tempat membesar dan tempat beraktivitinya juga kena ‘soleh’ (baik). Kena ada gabungan suasana ibu bapa yang soleh, rumah tangga yang soleh, guru-guru dan kawan-kawan yang soleh, bahan bacaan yang soleh dan paling penting sistem pendidikan yang soleh.

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Ajarlah kebaikan kepada anak-anak kamu dan keluarga kamu dan didiklah mereka.” (Riwayat Abdur Razzaq dan Sa’id bin Mansur)

7. Memberi dorongan dan perangsang

Dalam al-Quran, Allah S.W.T. memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh dengan balasan syurga seluas langit dan bumi. Janji-janji Allah ini hendaklah disemai di dalam jiwa anak-anak sehingga menjadi keyakinan dan pegangannya. Selain itu ibu bapa boleh memberi ganjaran dan kata-kata pujian dan kata-kata semangat di atas kejayaan dan kebaikan yang dicapai dan dilakukan oleh anak-anak.

8. Hukuman dengan niat mendidik

Setiap kesalahan anak-anak itu perlu diperbetulkan. Baru ia dapat mengambil pelajaran. Adakalanya dengan nasihat, teguran dan denda. Ada masanya dirotan dengan rotan yang tidak mencederakan.

9. Pemberian (perbelanjaan, hadiah dan sebagainya)

Pemberian kepada anak-anak hendaklah disamaratakan. Sabda Nabi s.a.w.: “ Samaratakan anak-anak kamu dalam pemberian. Maka sekiranya saya suka melebihkan seseorang, nescaya saya lebihkan perempuan.” (Riwayat Imam at-Tabrani dan Khatib) Mungkin sesetengah kita kurang mampu memberi sepenuh didikan kepada anak-anak kerana kurang ilmu dan sebagainya.

Di sini pentingnya anak-anak dihantar kepada guru yang lebih berkemampuan dan lebih berilmu. Itu pun, didikan yang asas tetap perlu bermula dari ibu bapa di rumah.

»

Comments

Popular Posts