Perbaiki dirimu, Allah akan baiki zuriatmu

Seorang sahabat memberitahu bahawa dia mempunyai seorang teman yang berpangkat tinggi dan bergaji besar, bekerja di sebuah jabatan kerajaan yang sangat berprestij. Setiap hari temannya itu akan mengkhususkan beberapa jam untuk aktiviti dakwah dan amal kebajikan. Suatu hari dia bertemu dengan temannya dalam suatu program dakwah anjuran temannya itu. Dia bertanya, ‘Kenapa anda menyibukkan diri dengan aktiviti sebegini? Bukankah anda seorang yang berjawatan tinggi? Kenapa tidak tumpukan sahaja kepada urusan pejabat yang pastinya bertimbun-timbun itu?’

Temannya berbisik, “Ya akhi, Dengar sini! Saya ingin dedahkan kepada anda satu rahsia yang tersimpan di dalam diri saya. Sebenarnya saya mempunyai enam orang anak, kebanyakannya lelaki. Saya sangat bimbang tentang diri mereka. Saya takut mereka terseleweng ke jalan yang salah. Saya pula sibuk dengan tugas dan tidak mampu mendidik mereka dengan sempurna. Tetapi saya dapat rasai besarnya nikmat Allah kepada saya. Semakin banyak saya berikan waktu untuk agama-Nya, anak-anak saya akan jadi bertambah soleh!” Sesungguhnya apa yang dialami oleh teman kepada sahabat itu bukan suatu kebetulan. Sebaliknya itu adalah janji-Nya. Bukankah Dia telah berfirman dalam kitab suci-Nya:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَنصُرُواْ ٱللَّهَ يَنصُرۡكُمۡ وَيُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُمۡ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”

(Muhammad 47: 7) Di tempat lain, Allah berfirman (maksudnya):

“Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu dan di bawahnya ada harta terpendam kepunyaan mereka dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka) dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya.”

(Al-Kahf 18: 82)

Diriwayatkan bahawa Abdullah bin Mas’ud radiallahuanhu, seorang sahabat yang terkemuka ketika beliau sedang bersolat di tengah malam, anak kecilnya tidur nyenyak di sebelahnya. Sebaik sahaja selesai solat dia pun memandang anak itu dengan penuh kasih sayang sambil berkata ‘keranamu wahai anakku!’. Kemudian dia membaca firman Allah (وَكَانَ أَبُوهُمَا صَـٰلِحً۬ا - Al-Kahf 18: 82 ) dengan tangisan yang tidak mampu ditahan.

Demikianlah kefahaman para sahabat dan salaf as-soleh. Mendidik anak agar menjadi insan yang soleh bukan hanya dengan mengajar ilmu yang berguna dan menunjukkan contoh teladan yang baik. Lebih daripada itu ibu bapa mesti menunaikan tanggungjawab terhadap Allah subhanahu wataala sebagaimana yang dituntut dengan sebaik mungkin. Ibu bapa jangan alpa terhadap amanah yang dipikulkan ke atas setiap Muslim, iaitu membela agama Allah dengan berdakwah, berjihad, melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Jangan ragui janji-Nya bahawa Dia pasti akan menolong mukmin yang menolong agama-Nya.

Ketika mentafsirkan ayat di atas (Al-Kahf 18: 82), al-Hafidz Ibn Kathir berkata bahawa Allah subhanahu wataala memelihara harta yang terpendam milik dua orang anak yatim itu kerana kesolehan bapa mereka. Selang antara mereka dengan bapa yang soleh itu adalah tujuh generasi!

Apakah nilai harta terpendam itu?

Menurut Ibn Abbas radiallahuanhu ia merupakan perbendaharaan ilmu. Hasan al-Basri berkata harta itu berupa sekeping luh yang diperbuat daripada emas, di atasnya tertulis mutiara ilmu:

“Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Aku berasa hairan melihat orang yang beriman dengan qadar, bagaimana dia masih bersedih? Aku berasa hairan terhadap orang yang beriman dengan kematian, bagaimana dia masih ketawa ria? Akube rasa hairan terhadap orang yang mengenali dunia serta sifatnya yang cepat berubah, dia masih juga selesa dengan kemewahan dunianya? Tiada Tuhan melainkan Allah. Muhammad itu pesuruh Allah.”

Menurut Ikrimah pula, di bawah dinding itu perbendaharaan harta yang banyak. Yang penting bukan jenis harta serta berapa nilainya. Pengajaran yang paling berharga buat kita adalah janji Allah Yang Maha Benar, iaitu menolong orang yang menolong agama-Nya.

Petikan dari blog http://www.malaysia harmoni.com

Moga Allah filter kite masuk ke dalam trainNya.. jgn disangka kite selamat apabila berada di barisan ini kerana hidayah itu amat mahal harganya dan jalan2 subul (6:153) yakni jalan2 yg dibuat oleh syaitan utk menyesatkkan kita amat banyak sekali...Di masa ini kita bersama, moga2 kelak kite masih bersama menuju ke arah bahagia yang kekal abadi..

Doakan untuk saya dan kite semua ye..

Yang mengharap dan yang berasa takut andai diri tergelincir dari jalan yg diredhaiNya. .

'Ya Muqallibal qulub tsabit qulubana ala deenik, wa ala to atik'

Comments

Popular Posts