Sesungguhnya Tuhanmu Benar-Benar Mengawasi

Oleh Dr A’idh Abdullah Al-Qarni

Letakkan dosa-dosa yang kamu lakukan di pelupuk mata supaya kamu sentiasa ingat, sentiasa meminta ampunan dan merasa takut terhadap akibat dan hukumannya. Ini kerana masalahnya tidak mudah. Berapa banyak dosa yang kamu lakukan, namun dengan cepat kamu melupakannya. Berapa banyak dosa kecil, yang kamu lakukan, namun kerana kamu menganggapnya remeh, maka dosa tersebut berubah menjadi dosa besar. Berdoalah selalu dengan memohon keredhaan Allah, padamkan bara api dosa dan kesalahan dengan air mata penyesalan. Hapuslah segala kesalahan dengan cara menyusulinya dengan perbuatan baik. Beristighfarlah selalu, berdoalah kepada Zat Yang Maha Memberikan Keampunan agar kesalahan dan dosa yang kamu lakukan dihapus, aib diri kamu ditutup dan dosa kamu yang telah lalu diampuni.
Apabila kamu mengabaikan dosa-dosa dan melupakan kesalahan-kesalahan kamu, tidak ada rasa penyesalan dan kesedihan yang mendalam terhadap dosa dan kesalahan-kesalahan tersebut, maka saya ikut bertakziah, kerana hati kamu sememangnya telah mati. Sebenarnya, saya berharap bahawa Allah memberikan ganti sebuah kebaikan di dalam keimanan kamu, namun apa nak dikata, keimanan kamu telah hilang. Seandainya di dalam hati kamu masih terdapat tanda kehidupan, kamu pasti menangis dan menyesal. Seandainya di dalam hati kamu masih terdapat setitik rasa malu, maka kamu pasti akan menggigil ketakutan dan bertaubat, kembali kepada-Nya. Tetapi melukai mayat, tidak akan menimbulkan rasa sakit pada diri mayat tersebut.

Comments

Popular Posts