Ironinya Seorang yang bernama IBU
Semalam anak ketiga bertanya mengapa syurga berada ditelapak kaki ibu bukan bapa atau orang lain. Aku terdiam sejenak. Itu yang membezakan darjah manusia dengan makhluk ciptaan Allah yang lain. Mungkin kita mamalia namun yang membezakan manusia dengan mamalia yang lain adalah akal dan sifat khalif yang ada dalam diri manusia itu sendiri.
Seorang ibu bukan sekadar memberi ruang di dalam rahimnya, malah memberi seluruh jiwa raga kepada anak-anaknya. Malah ada ibu yang sanggup berlapar demi anak-anak. Berjuang demi masa depan anak-anaknya. Seorang ibu yang mukmin memegang amanah Allah dengan kuat memberi didikan dan meletakan kalimah "La Ilaha Illallah Muhammadun Rasulullah" sebagai perkara pokok dalam diri anak-anaknya. Kalimah yang memusatkan, Hanya Allah disembah* Takut hanya kepada Allah* Tawakkal kepada Allah* Redha kepada Allah* Rasulullah adalah contoh terbaik* Allah & Rasul adalah cinta tertinggi* Patuh kepada syariat Islam. Dan itulah sebenar-benar ibu mithali dan syurga berada ditelapak kakinya.
Terkenang aku pada orang teman, orangnya periang dan mudah mesra namun aku perasan ada risau gundah di wajahnya. "Kenapa...Z", tanyaku padanya suatu ketika dahulu. Mungkin terlalu lama menyimpan gundah dia menceritakan syarat ditetapkan oleh ibunya setelah dia menghabiskan pengajian Sarjana Muda di selatan tanahair. Aku menarik nafas panjang. Mujur benar aku dikurniakan ibu yang sederhana orangnya. Bukan jenis meminta-minta malah apabila diberi risaunya tidak putus-putus takutkan anaknya tidak kecukupan. Sifat mak banyak meresap dalam diri aku dan kakak-kakak. Kesabaran dan ketabahannya membuatkan kami adik-beradik kagum dengannya. Aku tidak pernah mendengar emak bercerita mengenai keburukan orang lain malah beliau selalu mengelak dari mendengar umpatan jiran mengenai orang lain. Bagiku itulah sifat mulia yang wajar ada dalam diri seorang ibu. Emak jugak pernah berpesan menahan mata dari berkeliaran bila bertandang ke rumah orang lain juga menahan mulut dari bercerita perihal orang lain. Emak lebih betah dirumah membuat pelbagai hidangan untuk abah dan anak-cucunya daripada melakukan perkara lain yang tidak berfaedah.
Masih terkenang saat kecilku di mana sebelum melelapkan mata emak mendodoikan dengan sifat-sifat Allah yang menjadi ingatan dalam diriku hingga kini. Rutin mak juga mulai menyerap dalam diriku.....terima kasih mak kerana menjadi sebaik-baik ibu buatku dunia dan akhirat, menunjukkan aku jalan yang di redhai Allah dan melengkapkan aku sebagai mukmin.....Sayang Mak
Comments
Post a Comment