Isteri degil tanda suami gagal.
Assalamualaikum warahmatullah,Para pengunjung blog tentu pernah membaca entry Isteri menumbuk dan memarahi suami dikhalayak ramai. JIka masih belum, elok baca dulu entry yang itu, sebelum menjamu selera mata ke entry kali ini. Seperti yang selalu saya katakan, suami itu adalah pemimpin rumahtangga dan bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di dalam kerajaannya. Kali ini saya kongsikan satu lagi artikel oleh Dr Hj Juanda Jaya, yang menyatakan perkara yang sama.Kita selalu membaca kisah masyarakat yang mana, suami pening dengan sikap isteri yang sering berubah-ubah. Kebiasaannya, isteri mula berubah bila hidup di alam rumahtangga itu semakin mencecah usia lima tahun, kadang-kala mereka mulai berubah kurang daripada usia itu. Semakin hari si isteri menjadi semakin degil, membangkang, sikapnya mula melawan dan kadang-kala tidak segan silu mulai meninggikan suara kepada suami. Boleh dikatakan agak normal jika tingkah lakunya begitu cuma sekali sekala, itu pun kerana mengalami dilanda perubahan hormon setiap bulan, tetapi jika si isteri sudah mula dilanda tsunami perubahan hormon secara drastik atau sebab penyakit yang mempengaruhinya emosinya, hemm… sudah tentulah ada yang tidak berapa kena!Cuba semak apa yang sedang berlaku. Boleh jadi si isteri terlalu kerap ditinggal-tinggalkan kerana suami sering out station. [NB: Out station boleh jadi kerana kerja, mungkin saja out station ke rumah madu dua atau tiga...] Walau apapun alasan suami keluar out station, ini memberi peluang isterinya bergaul dengan rakan-rakan bermasalah, maka berjangkitlah penyakit ‘bawaan kawan’ ini. Suami pula sudah mulai tidak sabar dengan sikap isteri, ada kalanya si isteri sibuk dengan kegilaan abarunya iaitu membeli belah dan berhutang dengan along demi mengikut trend. Jika dinasihati dia melenting, anak-anak ditinggalkan hingga larut malam kerana mahu mencuba perniagaan baru. Contohnya.Suami yang tidak tahan mula mengadu kepada ibunya, mak mertua dan kawan-kawan yang perihatin. MALANG sungguh, dia lupa kesilapan isteri itu sebenarnya amat berkait rapat dengan kelemahan dirinya sendiri. Sebenarnya, perkahwinan itu mula retak jika suami dan isteri tiada rasa bertanggungjawap ke atas pasangan masing-masing. Rasa bertanggungjawap ke atas pasangan ini amat penting untuk mempastikan kedua-duanya berjalan menuju ke arah yang satu.Tanggungjawap bermakna suami mesti mendidik pasangan untuk bersatu hati, komited atas kerja membina keluarga bersama-sama, berbincang dan bermesyuarat dalam merancang masa depan, membahagi tugas dan peranan masing-masing tanpa diskriminasi dan manipulasi antara satu sama lain.Tetapi bagaimana isteri mahu dibawa berbincang jika suami asyik membawa diri sendiri? Sibuk dengan kerja hingga lupa bagaimana untuk berkomunikasi mesra dengan isteri. Bila berjumpa hanya arahan saja yang kedengaran ataupun kata-kata menyalahkan isteri, cerewet melihat ketidak-sempurnaan layanan walaupun sebenarnya isteri telah bertungkus lumus untuk memberi ruang keselesaan. Lama-kelamaan isteri tidak puas hati, suami asyik mencari salah dirinya dan suami benar saja selama-lamanya.Wajib menasihatiDi manakah sentuhan jiwa suami yang dulu pernah menjinakkan isteri? Jika dahulu semasa bercinta, pijak semut pun tak mati... bicaranya merintih seperti seekor pungguk yang memuja bulan purnama. Bergayut di talipon hingga habis kredit... Naik lenguh jari menggengam talipon dan naik panas telinga dek terkena serpihan haba bateri... Orang putih sebut, zaman 'butterfly tummy' .... Hemmm.... Setelah berumahtangga, jangankan bercakap lembut, mata suami pun tidak sempat algi memandang isteri. Kalau ADA hajat, barulah terhegeh-hegeh menyentuh-nyentuh isteri, dipujuk-pujuk padahal ketika itu isteri masih menyimpan marah dan langsung tiada mood untuk bermesra. Akhirnya aktiviti seksual yang sepatutnya menjadi ibadah yang boleh mengeratkan keintiman suami-isteri, dilakukan asal jalan saja tanpa keseronokan dan kepuasan.Jika isteri memberontak, suami pun mudah saja mengata isteri degil dan suka melawan. Tetapi berapa ramai suami yang mengambil tindakan postif dengan mencari punca-punca kepada tindakan negatif si isteri? Tiada masa untuk berbincang sebagaimana dulu semasa baru berkenalan. Mangapa masa amat mencemburi mereka? Sibuk ke sana ke sini hingga tidak tersentuh insan yang paling ebrharga dalam hidup? Sebenarnya masalah isteri degil ini telah dinyatakan dalam al-Quran dan suami-suami yang beriman wajib menasihati isteri sebelum meulaukan atau emmukul tanpa mencederakannya.Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisaa’ ayat 34 yang bermaksud, “Perempuan-perempuan yang kamu khuatir akan nusyuz hendaklah kamu beri nasihat kepada mereka, tinggaljanlah mereka di tempat tidurnya atau pukullah mereka. Tetapi jika mereka mentaati kamu, maka janganlah kamu mencari-cari alasan utnuk menyusahkan mereka.”Sentuhan jiwaTidak perlu pukulan, memaki dan memulau isteri, yang paling MUSTAHAK adalah kasih sayang dalam bentuk nasihat dan tunjuk ajar. Tapi jika masa berbual pun terhad, bagaimana pula hendak menunaikan tanggungjawap menasihati isteri?Sebenarnya tidak susah mencairkan hati isteri, berbincang dan berbual panjanglah dengannya. Dengar rintihannya dan ajaklah dia memahami anda. Isteri pun manusia biasa yang boleh tenggelam oleh persekitaran negatif, bahkan diri anda pun tiada bezanya. Jadi bersabarlah jika mahu meluruskan tulang yang bengkok. Jika terkasar boleh patah tetapi jangan biarkan ia rosak.Isteri adalah amanah Allah, bukan barang hak mutlak milik anda seorang. Lupakah anda pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud, “Wahai manusia! Takutilah Allah SWT di dalam urusan yang berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah SWT dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimah Allah. Kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu dan mereka pula mempunyai hak ke atas kamu.”Anda disuruh menjaganya, bukan mempergunakannya sesuka hati. Sudah habis diguna, dibuang ke dalam tong sampah. Bila rosak dituduh tidak sempurna, tidak bermanafaat dan tidak membawa untung. Dia adalah amanah Allah SWT yang AKAN disoal ke atas setiap suami bagaimanakah mereka menjaga isteri, adakah ia sesuai menurut suruhan Allah dan Rasul-Nya. Rasulullah SAW bersabda kepada para suami yang bermaksud, “Pulanglah kepada keluarga kalian, berdiamlah, ajari dan bimbing mereka. Lakukan solat begini dan begini.” (Hadis Muttafaqun ‘alaih)Begitulah sentuhan jiwa yang diperlukan isteri, kepimpinan suami menjejaki jalan yang sukar dilalui biarlah anda menggenggam tangannya menapaki kehidupan ini dengan sentuhan iman, kasih sayang, kelembutan dan nasihat yang tidak mencederakan hati isteri.Bukan hanya solat, bahkan ajari dia mengenal Allah, berbuat baiklah seolah-olah tiada seorang pun yang pernah melayannya dengan lembut kecuali anda. Wanita fitrahnya inginkan kelembutan, jika ditengking bertambah degillah dia.
Comments
Post a Comment