Lenyap kasih sayang punca krisis generasi

Sumber: Berita Harian Online: http://www.bharian.com.my/

RASULULLAH SAW apabila ditanya oleh seorang sahabat mengenai siapa lagi yang harus dipatuhi selepas Allah dan Rasul menyebutkan, Ibumu! Ibumu! dan Ibumu!Tiga kali ulangan terhadap ibu membayangkan ibu adalah watak penting dalam kehidupan manusia dan keluarga. Tentu ada kekuatan pada ibu yang menyebabkan Rasulullah SAW berkata demikian.Rasulullah dalam hadisnya menyebutkan juga bahawa, ‘syurga adalah di bawah tapak kaki ibu.’ Ia terkandung maksud yang amat besar kepada anak bagi kesejahteraan di dunia dan akhirat.Pada diri ibu ada unsur penting dalam proses didik, asuhan, kasih sayang, kesabaran dan memiliki kasih sejati terhadap anak. Mana tidaknya, ibulah yang mengandung anak dengan susah payah selama lebih sembilan bulan. Ibulah yang melahirkan anak dalam kesakitan dan kepedihan. Ibu jugalah yang bangun pada tengah malam menyusukan anak dan menyalin lampin anaknya.Ibu sebagai pelengkap kepada watak bapa menjadi faktor penting dalam proses pembangunan zuriat, anak dan generasi. Kualiti keibuan sifatnya unik kerana kelembutan dan kasih sayang ibu mendekati anak memiliki upaya didik menyuburkan watak dan peribadi.Ibu yang berilmu dan berketrampilan dalam memahami proses pertumbuhan dan pembesaran anak baik dari sudut minda, psikologi, emosi dan tabiat, memiliki cara dan kaedah berkesan bagaimana anak harus diremaja dan didewasakan.Apakah ibu pada masa kini dalam ruang peranan baru hadir di pejabat, kesibukan melakukan kerja pengurusan dan profesional sepanjang hari, mempunyai masa berkualiti dengan anak.Memadaikah dengan peranan ’bibik’ atau pembantu untuk memindahkan jiwa keibuan dan budaya keluarga kepada anak. Apabila masa berkualiti ditumpukan di pejabat atau di luar rumah, adakah masa yang berbaki untuk anak.Keluarga yang melihat hari depan yang baik ialah keluarga yang berasakan anak adalah aset. Anak adalah harta bernilai dan tidak boleh ditukar ganti dengan wang. Apabila kita meninggal nanti, anak yang salih menjadi faktor penting menghubungkan yang pergi dan masih tinggal.Anak yang diberi makan-pakai yang cukup tidak bermakna sudah sempurna tanggungjawab dilakukan oleh ibu. Makan-pakai adalah perkara asas bagi meneruskan kehidupan, tetapi kasih sayang dan kemanjaan penting untuk membentuk watak dan perangai.Anak yang tidak mendapat kasih sayang serta kemanjaan daripada ibu akan mencari sumber lain untuk meluahkan perasaan sunyi dan bosan bagi mendapatkan perhatian. Naluri ingin tahu yang tinggi dan sikap aktif anak akan tertumpah kepada rakan sebaya dan juga kepada sumber yang tidak fitrah. Akhirnya, anak tidak belajar daripada ibunya, tetapi belajar daripada orang atau sumber lain.Bayangkan jika ibu asyik mengejar harta, mengumpul kekayaan saja dan mengabaikan tanggungjawab untuk mendidik serta mengasuh anak. Memadaikah ratusan ribu ringgit yang terkumpul untuk menebus ‘kehilangan’ diri anak yang terjebak dengan salah guna dadah, berada di pusat serenti, terbabit kegiatan ‘mat rempit’ atau terimbau dengan penyakit Aids/HIV.Harga memberikan kasih sayang, belaian, pemerhatian dan bimbingan terhadap anak amat tinggi nilainya. Lebih-lebih lagi dalam tempoh kritikal sejak lahir hingga ke akil baligh, anak memerlukan tapak tabiat, perangai dan peribadi yang teguh dan kukuh supaya memiliki kekebalan bagi menghadapi cabaran negatif dalam perjalanan hidupnya.Asas inilah disebutkan Rasulullah SAW bahawa anak lahir dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapalah yang bakal menentukan arah tuju kehidupan anak.Anak hari ini secara fizikalnya amat aktif. Secara mindanya anak mempunyai naluri ingin bertanya yang tinggi. Anak memerlukan pujian dan apresiasi bila melakukan sesuatu yang membawa kepada kemajuan dan kejayaan.Anak juga memerlukan contoh supaya hidupnya terbimbing. Apakah ibu memiliki kualiti ini dan sesuai pula dengan zaman. Pada hari ini anak terdedah dengan benda dan perkara mencabar dari dunia cetak dan elektronik.Rasa selesa dilalui kebanyakan keluarga menyebabkan anak muda mempunyai kecenderungan berfoya-foya. Rasa kesempitan ditanggung sesetengah keluarga menyebabkan anak terbiar dan terjebak dalam amalan salah guna dadah dan pergaulan bebas membawa kepada kerosakan akhlak. Minat anak muda dengan agenda hiburan dan suasana yang memberi ruang kepada pergaulan lepas bebas memang kuat. Contoh artis dan penyanyi di media elektronik dan cetak tidak mewakili watak yang santun, gerak geri tertib dan indah.Sebaliknya ‘idola’ yang menjadi pujaan ialah memiliki rambut tegak tidak terurus, pakaian mendedah menampakkan susuk dan pusat, pekikan suara yang sudah kehilangan harmoni dan kebingitan bunyi muzik memekakkan telinga.Keadaan seperti itu tidak membantu untuk melahirkan anak yang santun, tertib serta memiliki disiplin dan akhlak tinggi. Ia tidak menyumbang kepada pembinaan sahsiah contoh.Pemikiran anak seperti ini tidak akan berkembang. Mentaliti perbualan hanya kepada hal remeh sekitar gosip, kahwin cerai artis dan selebriti SMS. Anak dimatikan hatinya daripada memperlihatkan rasa malu, hormat, patuh kepada ibu bapa dan orang tua. Anak dirangsang minda dan nafsunya untuk menyunsung slogan ‘hidup muda remaja hanya sekali’.Dewasa ini, kita menghadapi krisis generasi. Ramai remaja yang sedang kehilangan arah dalam kehidupan dan mengalami kecelaruan membuat keputusan. Ada ramai di kalangan generasi muda tidak lagi merujuk kepada ibu untuk mendapatkan nasihat dan beralih kepada rakan sebaya untuk mendapat pedoman.Ramai di kalangan remaja yang tidak lagi mendengar cakap dan pedoman ibu dan tidak menjadikan ibu sebagai pemberi nasihat, penunjuk jalan atau pun tempat berkongsi masalah.Justeru, ibu perlu kembali kepada peranan asal sebagai pendidik awal kepada anak. Meniupkan obor kasih dan cinta sayang yang tak kunjung padam. Menjadi tempat rujukan anak di saat perlu.Sumber teladan terbaik membangun diri. Tempat meluahkan perasaan dan mencari suluh pedoman bila jiwa anak tertekan. Mampu membahagikan masa berkualiti untuk anak.

Comments

Popular Posts