Ahmad Boestamam my inspiration

Ayahku, Ahmad Boestamam
Oleh Rustam A. Sani
[Rencana ini pada mulanya diterbitkan dalam majalah Massa (Isu Khas Hari Kebangsaan): 29 Ogos – 4 September 1998]
Meskipun saya anak lelaki tunggal Ahmad Boestamam (selain adik perempuan saya, Norliah), namun saya yakin bahawa saya bukanlah orang yang terbaik untuk menulis tentang beliau. Saya tidak mengenal beliau secara peribadi, kerana sepanjang hidup saya tidak pernah tinggal bersama beliau untuk jangka waktu yang lama untuk memungkinkan saya mengenal beliau dengan cukup mendalam.
‘Kerjaya’ politik dan kewartawanan beliau bermula sejak umur yang masih muda. Beliau ‘mengorbankan’ pendidikannya di Sekolah Anderson, Ipoh, untuk menceburkan dirinya dalam dua bidang tersebut. Ahmad Boestamam lahir (sebagai Abdullah Sani bin Raja Kechil) pada 30 November 1920, dan seawal tahun 1941 beliau telah ditahan oleh pemerintah kolonial Inggeris kerana kegiatan politiknya – hanya dibebaskan oleh pemerintah Jepun pada tahun berikutnya.
Pada tahun 1946 beliau mulai memimpin Angkatan Pemuda Insaf (API) – yakni gerakan pemuda (sayap Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)) beraliran nasionalis yang bersifat ‘kiri’ dan radikal – dan menerbitkan Testamen Politik Api yang mengajukan gagasan ‘merdeka dengan darah.’ Kerana karya tersebut, beliau dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghasut pada tahun berikutnya, dan beliau dikenakan denda $1,200.00.
Penahanan beliau yang lama pertama kali terjadi pada tahun 1948, ketika saya berumur kira-kira empat tahun. Oleh yang demikian, saya tidak mempunyai ingatan yang jelas tentang peristiwa tersebut mahupun tentang diri beliau sebagai bapa. Meskipun keluarga kami dibolehkan melawati beliau sekali sebulan namun, kerana kemiskinan, lawatan itu hanya mampu dilakukan sekali dua sahaja setahun. Tambahan pula, tempat tahanannya senantiasa berubah-ubah dari satu tempat ke satu tempat yang agak jauh dari Tanjung Malim, kampung kami.
Satu peristiwa yang entah kerana apa hingga kini tidak pernah dapat saya lupakan terjadi di Kem Majidee, Johor Bahru, sewaktu saya berumur kira-kira enam atau tujuh tahun. Dalam pertemuan itu, ayah saya yang berdiri di belakang pagar besi menudingkan jarinya ke arah saya lalu bertanya kepada anggota-anggota keluarga yang lain: “Yang ini, anak siapa?”
Demikianlah, pengetahuan saya tentang Ahmad Boestamam tidak mungkin merupakan pengetahuan intim seorang anak tentang keperibadian ayahnya. Sebahagian besar pengetahuan saya – malah kekaguman saya juga – tentang beliau sekadar merupakan hasil kajian dan renungan saya sebagai seorang pelajar ilmu politik dan sejarah politik Malaysia moden, khususnya nasionalisme dan gerakan politik radikal Melayu.
Dalam hubungan ni, saya amat setuju dengan pandangan Professor Khoo Khay Kim dalam catatan belasungkawanya sewaktu kembalinya Ahmad Boestamam ke rahmatullah taala (Mingguan Malaysia: 23 Januari 1983). Berkata Khoo: “Kini beliau telah pergi. Satu era dalam politik Malaysia telah tamat. Ramai berjuang dalam [tahun] empat puluhan dan lima puluhan namun tiada antara tokoh-tokoh zaman itu yang lebih berjaya melambangkan gaya dan corak perjuangan golongan radikal Melayu.”
Apakah ‘gaya dan corak’ pejuangan golongan tersebut yang terpancar pada kehidupan Ahmad Boestamam? Pada hemat saya, gaya dan corak itu tidaklah terlalu berbeza daripada gaya dan corak perjuangan para pemimpin dan gerakan-gerakan nasionalis lainnya yang banyak muncul di seluruh rantau Asia dan Afrika pada tahun-tahun empat puluhan dan lima puluhan itu – gerakan-gerakan yang telah mengakhiri pemerintahan kolonial dan melahirkan sebilangan negara-negara bebas di rantau ini yang kita kenal hingga ke hari ini.
Kebanyakan gerakan tersebut merupakan gerakan anti-kolonial dalam ertikata yang visionary (berwawasan). Penolakan mereka terhadap kuasa penjajahan itu tidaklah didorong oleh rasa benci yang bersifat perkauman, tetapi didorong oleh fahaman tentang keadilan, demokrasi dan kesamarataan yang amat kuat.
Pada hemat saya, jika Ahmad Boestamam menerapkan gaya yang demikian dalam perjuangannya, maka hakikat itu sebahagian besarnya dipengaruhi oleh gaya perjuangan yang biasa di kalangan teman-temanya di negara ini sendiri, seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmi, Ishak Haji Mohamad dan lain-lain.
Para pemimpin nasionalis rakyat seperti Ahmad Boestamam biasanya melihat usaha mencapai cita-cita fahaman nasionalisme – yakni cita-cita membentuk sebuah nation (negara-bangsa) bagi kelompok rakyat yang diwakilinya – sebagai suatu cabaran kecendekiawanan untuk mencari dan merumuskan kembali gagasan jati diri bangsa itu dari hakikat sejarahnya, bukannya sekadar suatu usaha mudah untuk meneruskan ‘pentadbiran kolonial’ wilayahnya oleh anak negeri.
Dalam hubungan inilah saya berpendapat bahawa beberapa gagasan yang telah mereka ajukan – misalnya konsep ‘Melayu Raya’ – perlu kita kaji dan kita fahami dalam pengertian ideologi nasionalisme yang lebih mendalam dan tidak sekadar menanggapnya sebagai kesan ‘pengaruh Indonesia’ seperti yang sering dikemukakan oleh beberapa ahli sejarah yang amat dangkal perspektifnya.
Kedudukan rasmi tertinggi yang pernah dicapai oleh Ahmad Boestamam ialah sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan Setapak (di Kuala Lumpur) (1959) – tempoh jawatan yang tidak sempat diselesaikannya kerana pada tahun 1963 beliau sekali lagi ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama empat tahun berikutnya.
Ahmad Boestamam menghembuskan nafasnya terakhir pada 19 Januari 1983.

Comments

Popular Posts