Sekadar Bingkisan pagi

Awal pagi nan dingin hari ini mengenangkan aku suatu saat dahulu, ketika berada di tengah sawah. Titisan sang embun dihujung daun padi terasa amat menyegarkan. Di situ aku dahulu merentas ban-ban sawah menuju ke sekolah bertentangan Masjid Batu 6, Sanglang bersama-sama teman-teman sepersekolahan.

Gelak tawa tiga insan kecil mahu dihantar ke sekolah di tempat duduk belakang mobil menyenangkan. Beberapa hari ini, perasaan mula berbaur. Mimpi Tok Cah (emak abah) beberapa malam lalu bermain diingatan. Mungkin keadaan begini membuatkan perasaanku menjadi halus terhadap pelbagai keadaan sekeliling.

Semalam, dapat menghubung semula Eleena Leong. Sang teman yang telah lama tidak berkongsi cerita. Gembiranya hati apabila mendengar suaranya. Teman, sahabat, rakan dan kawan memberi maksud yang berbeza kepada pembawanya. Terkenang jua Geok teman yang kini bermaustautin di Australia. Leong teman sekerja di HK, walaupun pertemuan hanya pada masa akaun ditutup namun ia memberi impak dalam kehidupan. Ada sesuatu yang membuatkan aku kagum dengan teman-teman ini. Setiap teman ada kehebatan masing-masing itu tidak dapat aku nafikan. Kepada sang puteri kuberpesan perluaskan teman kepada bangsa lain dan banyak akan kita belajar daripada perhubungan tersebut.

Kehidupan merupakan suatu pembelajaran. Pembelajaran yang mematangkan kehidupan hadapan kita. Ilmu dan pembacaan membuatkan kita lebih yakin bila berdepan dengan situasi yang tidak dijangka. "Tollabul ilmi faridotul a'lla" menuntut ilmu adalah wajib bagi mukmin. Dan ayat pertama diturunkan oleh Allah SWT takala Rasulullah SAW berkhalwat di Gua Hirak di tekankan mengenal persoalan "Bacalah".

Comments

Popular Posts