Pedoman buat isteri yang suka mengungkit

Banyak nas al-Quran, terutamanya hadis Nabi yang membincangkan tentang kewajipan isteri mentaati suami, selagi tidak diminta melakukan perbuatan maksiat.

Sabda Rasulullah s. a. w. yang bermaksud: "Jika sekiranya aku berhak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku menyuruh para isteri sujud kepada suaminya." Hadis tersebut menerangkan betapa kepatuhan isteri terhadap suami amat diutamakan demi kebaikan sesebuah institusi keluarga, sesuai kedudukannya sebagai pemimpin rumah tangga.

Demikian juga halnya ketika junjungan besar Nabi Muhammad s. a. w. mikraj ke langit. Baginda telah dipersaksikan dengan neraka dan penghuninya yang kebanyakkannya terdiri daripada kaum wanita.

Ali Karramallahu Wajhah berkata: "Aku masuk ke rumah Nabi beserta Fatimah, aku mendapati baginda sedang menangis tersedu-sedan. Aku bertanya, "Ya Rasulullah, apa yang ! membuat anda menangis?" Baginda menjawab, "Ya Ali, pada malam aku diangkat ke langit, aku melihat kaum perempuan daripada umat ku disiksa di neraka dengan bermacam-macam seksaan. Lalu aku menangis kerana begitu berat seksaan mereka yang aku lihat."

Kadang-kadang kita berkata bahawa kita sering bersyukur kepada-Nya tetapi kerap juga dalam kata-kata itu, kita masih kufur nikmat. Anehkah? Ya, mungkin jika ini pertama kali kita mendengarnya, tetapi tidak aneh seandainya kita sudah tahu apa yang dimaksudkan. Allah SWT memberi kita rezeki dan daripada rezeki itu, kita pula harus wajib menunaikan tanggungjawab kita terhadap keluarga. Misalan yang mudah untuk kita fahami adalah, apabila kita mendapat gaji ketika hujung bulan, maka selepas itu kita menunaikan tanggungjawab terhadap keluarga dengan membeli keperluan keluarga.

Masalah timbul adalah ketika berlaku perselisihan dalam keluarga, maka mungkin ada di antara kita tanpa sedar mengungkit setiap duit yang dikeluarkan. Walhal mungkin mereka lupa yang duit itu merupakan satu tanggungjawab yang TIDAK BOLEH diungkit. Mengungkit tanggungjawab merupakan satu perkara JELIK yang perlu dijauhi dalam keluarga kerana yang mendengar mungkin diam, namun hatinya seperti ditusuk duri yang tajam. Menunaikan tanggungjawab memang indah ibarat sekuntum mawar yang sering mendapat perhatian dan pujian tetapi awas durinya juga tajam dan mengungkit adalah duri yang tajam yang sering kali meninggalkan bekas.

Apabila kita mengungkit sesuatu yang sebenarnya tanggungjawab kita, ini bermakna, tanpa kita sedari, sebenarnya kita tidak mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah SWT. Mengapa dikatakan begitu? Kerana Allah SWT mengurniakan rezeki untuk memudahkan kita menunaikan tanggungjawab akan tetapi jika kita mengungkit tanggungjawab kita di kemudian hari, bukankah kita juga secara tidak langsung mempertikaikan keberadaan rezeki yang kita perolehi miliki?

Orang tua-tua selalu berpesan, “Orang yang suka mengungkit, lambat laun rezekinya sempit”. Jika kita perhatikan carta kehidupan manusia, memang ungkapan ini ada kebenarannya. Rezeki bukan hanya bermaksud wang ringgit, boleh jadi kehidupannya sempit akibat pelbagai permasalahan lain.

Kisah Nabi Ibrahim a.s. menguji menantu

Anda tentu pernah mendengar pengalaman Nabi Ibrahim a.s. yang menziarahi rumah anaknya Nabi Ismail a.s. ketika baginda sampai ke rumah anaknya. Bagi yang tidak pernah mendengar atau membacanya, saya kongsikan di sini.

Pada suatu hari, Nabi Ibrahim a.s. datang ke Mekah bertujuan untuk menziarahi anaknya, Nabi Ismail a.s. Ketika Nabi Ibrahim sampai di rumah Nabi Ismail, kebetulan anaknya tiada di rumah, sebaliknya ada seorang perempuan yang tidak dikenalinya dalam rumah itu. Perempuan itu merupakan menantunya sendiri tetapi baginda memang tidak mengenalinya dan perempuan itu pun tidak mengenali bapa mertuanya iaitu Nabi Ibrahim. Lalu bertanyalah Nabi Ibrahim a.s. kepada isteri Nabi Ismail yang belum dikenalinya ketika itu, “Siapakah kamu?” Maka jawab isteri itu, “Aku isteri Ismail.” Kemudian Nabi Ibrahim a.s. bertanya lagi, “Di manakah suamimu, Ismail?” Isteri Nabi Ismail a.s. memberitahu yang suaminya sedang pergi berburu. Lantaran itu Nabi Ibrahim bertanyakan pula keadaan kehidupan mereka sekarang, lalu dijawab terus oleh menantunya dengan keluhan, “Kami semua dalam kesempitan dan tidak pernah senang dan lapang.” Nabi Ibrahim bertanya lagi, “Adakah kamu mempunyai tetamu? Adakah kamu mempunyai bekalan makanan dan minuman?” Jawab isteri Nabi Ismail, “Kami tidak mempunyai tetamu dan kami juga tidak mempunyai bekalan makanan dan minuman.”

Melihat dan memerhati kepada tingkah laku serta jawapan yang diberikan oleh isteri Nabi Ismail, maka maka Nabi Ibrahim mendapati bahawa perempuan itu merupakan seorang tidak berakhlak mulia serta selama ini tidak pernah senang hati hidup bersama Nabi Ismail. Dia juga bersifat bakhil dan tidak menghormati tetamu. Sebelum bertolak pulang Nabi Ibrahim pun meminta untuk disampaikan salamnya kepada Nabi Ismail, “Jika suamimu balik, sampaikan salamku padanya. Katakan padanya, tukar tiang pintu rumahnya.”

Sebaik sahaja Nabi Ibrahim meninggal rumah itu maka pulanglah Nabi Ismail dalam keadaan seperti orang yang merasakan sesuatu telah berlaku sepanjang sepeninggalannya pergi memburu. Lalu baginda bertanya kepada isterinya, “Adakah seseorang datang menziarahimu?” Jawab isterinya, “Ya! Ada seorang tua begini sifatnya telah datang menziarahi dan telah menyoalku tentang dirimu.” Isterinya menceritakan tentang pertanyaan perihal kehidupan mereka berdua dan dia menjawab dengan memberitahu akan kesusahan yang mereka hadapi. Nabi Ismail kemudian bertanya lagi kepada isterinya, seandainya setelah itu ada pesanan yang ditinggalkan oleh orang tua tersebut. Jawab isterinya, “Ya! Dia meminta aku menyampaikan salam kepadamu dan meminta kamu menukarkan tiang pintu rumahmu.” Mendengar jawapan daripada isterinya itu, lalu Nabi Ismail menberitahu kepada isterinya yang sebenarnya orang tua itu adalah ayahnya dan pesanan itu bermaksud perpisahan dan kemudian Nabi Ismail berkata, “Sekarang kembalilah kamu kepada keluargamu.”

Setelah itu bercerailah Nabi Ismail dengan isterinya yang suka merungut dan tidak bersyukur bersuamikan kekasih Allah SWT.

Setelah sekian lama, maka datanglah hasrat Nabi Ismail untuk berkahwin kembali dan setelah berkahwin, Nabi Ibrahim datang kembali semula ke Mekah untuk menziarahi anaknya. Kali ini juga, sebagaimana yang pernah berlaku ketika penziarahannya yang dulu, Nabi Ismail tiada di rumah. Nabi Ibrahim mendapati ada seorang perempuan yang baru dalam rumah anaknya. Perempuan itu menyambut kedatangannya dengan penuh hormat dan diberi layanan yang baik. Lalu terjadi dialog seperti mana dahulu, cuma kali ini yang membezakannya adalah jawapan isteri baru anaknya. Nabi Ibrahim bertanya perempuan itu yang juga merupakan menantunya yang baru, “Adakah kamu mempunyai tetamu?” Jawab perempuan itu, “Ya! Iaitu engkau.” Ketika ditanya bagaimana keadaan mereka sekeluarga, menantunya menjawab, “Syukurlah kepada Tuhan, kami semua dalam keadaan sejahtera (dan bahagia), tiada apa yang kurang.” Kemudian Nabi Ibrahim dihidangkan dengan sedikit makanan. Nabi Ibrahim kemudiannya terus berdoa, “Ya Allah! Ya Tuhanku! Berkatilah mereka dalam makan minum mereka.” Sebelum pulang, dia meminta supaya disampaikan salam kepada anaknya yang sedang berburu dan katakan kepadanya supaya mengekalkan tiang pintu rumahnya.

Setelah Nabi Ismail pulang ke rumah, isterinya menceritakan bahawa ada seorang tua yang datang menziarahinya sepanjang ketiadaannya. Dia memberitahu tentang rupa bentuk dan sifat lelaki tua itu serta menyampaikan pesanan yang disampaikan oleh orang tua tersebut. Mendengar cerita itu Nabi Ismail dengan gembira menjawab, “Sebenarnya dialah ayahku dan tiang pintu yang dimaksudkannya adalah dirimu yang dimintanya untuk aku menjaga mu dan kekalkan (jangan menceraikanmu).” Nabi Ismail terus hidup bersama isterinya itu sehinggalah beranak cucu.

Jangan mengungkit

Jika kita renung kembali cerita ini, moral dalam cerita ini amat ringkas iaitu, JANGAN MENGUNGKIT walaupun di dalam kesusahan apatah lagi jika kita bermewahan. Jika perhatikan beratnya kesan ungkitan hinggakan Nabi Ibrahim berpesan supaya ditukar tiang pintu rumah yakni isteri anaknya. Mengungkit memberikan kesan jangka masa panjang yang cukup buruk dan ia sering menjadi pemacu kepada kemarahan. Mengungkit merupakan perbuatan yang tercela dalam Islam. Allah SWT sendiri membenci perbuatan tersebut seperti dalam firman-Nya, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu sekali-kali membatalkan sedekahmu dengan mengungkit-ungkit dan menyakitkan hati.” (Surah al-Baqarah : 264)

Mengungkit, selain merupakan perbuatan yang dibenci dalam Islam, ia juga menjadi penyebab seseorang masuk ke dalam neraka seperti disabdakan oleh Rasulullah SAW, “Ada tiga golongan di hari kiamat dimana Allah tidak berbicara, tidak melihat dan tidak pula mensucikan mereka dan bahkan bagi mereka siksa yang pedih. Yakni orang yang menutupkan sarungnya hingga mata kaki, orang yang mengungkit-ungkit pemberiannya, dan orang yang menawarkan dagangannya dengan sumpah palsu.” (Hadis riwayat Muslim)

Allah SWT akan menghilangkan pahala orang yang suka mengungkit-ungkit seperti pesan Rasulullah SAW, “Jauhilah olehmu akan mengungkit-ungkit pemberian kerana yang demikian itu dapat menggagalkan kesyukuran dan menghilangkan pahala.” (Hadis riwayat Muslim)

Dari penjelasan ayat dan hadis di atas, jelaslah bagi setiap muslim bahawa memberi dengan mengungkit-ungkit kembali termasuk perbuatan tercela yang dibenci oleh Allah SWT dan Rasul SAW. Sedangkan mengungkit pemberian adalah perbuatan yang tercela, inikan pula mengungkit sesuatu pemberian yang sebenarnya tanggungjawab kita dalam melaksanakan pemberian itu. Mengungkit seperti ini merupakan perbuatan zalim yang akan menimbulkan permusuhan dan kebencian antara pemberi dan penerimanya, sebab yang menerima merasa tercoreng nama baiknya, sementara pemberinya akan timbul rasa sombong kepada orang yang pernah diberinya. Seorang isteri atau ibu tidak wajar mengungkit kesusahannya mengandung dan melahirkan anak jesteru menganggap tanggungjawapnya selesai selepas melahirkan dan segala tanggungjawap boleh disub-kontrak pada pihak lain..maka hilanglah kewajaran untuk memilik manisnya syurga ditelapak kaki ibu. Ibu yang baik dengan tekun dan sabar melayan kerenah anak dan suami tanpa sebarang rungutan ataupun ungkitan.

Justeru adalah lebih baik jika kita tidak mengungkit segala tanggungjawab yang kita tunaikan walau dalam apa bentuk sekalipun. Cara paling mudah untuk tidak melakukan ungkitan pada masa akan datang adalah dengan melakukan tanggungjawab bukan kerana keluarga tetapi kerana Allah SWT. Biarpun dengan hanya membeli roti canai untuk sarapan pagi, jika tanggungjawab itu dilakukan kerana Allah SWT, maka besar impaknya kepada keluarga. Lebih sejuk lagi diri ini apabila tanggungjawab itu menjadi sedekah maka biarpun hati marah kerana hal tertentu, pastinya sejuk kembali kerana sedekah ibarat air yang memadamkan api.

Ingatlah Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Aku tambahkan nikmat-Ku kepadamu. Dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih.” (Surah Ibrahim : 7)

Jadi, berilah dengan penuh keikhlasan, jangan memberi kerana mengharapkan balasan. Cubalah mulai hari ini kita sentiasa bersedekah kepada keluarga kerana Allah SWT, biarlah dalam apa bentuk sekalipun, sama ada kudrat mahupun wang ringgit. Insya Allah tiada lagi duri yang tajam di bunga nan indah

Comments

Popular Posts