Tip Menghadapi SiDia Curang
Tak dapat di nafikan sebagai makhluk Allah s.w.t kita akan di uji dengan pelbagai ujian bagi menguji sejauh mana kita sebagai makhluknya mampu menghadapi situasi yang getir dalam hidupnya. Ini tidak terkecuali bagi pasangan suami isteri.
Semua mahukan sebuah perkahwinan yang bahagia dan aman damai, namun bukan semua yang kita harapkan akan menjadi kenyataan. Kecurangan adalah satu perkataan yang amat di geruni oleh setiap pasangan yang sudah mendirikan rumahtangga. Apabila ada kecurangan bermakna kepercayaan terhadap pasangan juga akan semakin berkurangan dan di khuatiri kasih sayang yang selama ini dicurahkan 100% semakin tawar.
Berikut di antara panduan dalam menghadapi pasangan curang:
a) Ambil Masa Redakan Perasaan
Kenyataan tetap kenyataan, anda tetap perlu berhadapan dengan kecurangan yang dilakukan. Ada sesetengah wanita yang sukar menerima kecurangan suami kerana perkara itu memang menjadi fobia dalam perkahwinan. Lakukanlah apa saja untuk menyakiti hantinya tetapi jangan berlaku curang.
Sesungguhnya memang sukar tapi inilah realiti yang perlu diterima. Ketika mendapat tahu berita kecurangan pasangan, anda mungkin merasa begitu lemah sekali, sakit hati, terasa dikhianati, marah dan ingin membalas dendam. Ini adalah respons normal setelah mengetahui ketidakjujuran dilakukan pasangan. Anda sendiri memang layak untuk marah dan juga berasa sakit hati.
Tidak dinafikan ada wanita mengambil masa yang lama untuk meredakan perasaan ini. Tapi apapun yang anda lakukan cubalah untuk tidak bertindak berlebihan pada keadaan ini. Berfikirlah tentang baik dan buruk tindakan anda sebelum melakukannya.
b) Mencari Sokongan
Dalam hal ini rakan dan keluarga selalunya menjadi tempat anda mengadu nasib. Tapi sebelum anda berbuat demikian, fikirlah dulu dengan siapa yang patut anda ajak berbicara tentang kecurangan suami.
Kesilapan memilih rakan kadang kala memakan diri anda sendiri. Apatah lagi anda tersilap pilih rakan yang suka membawa mulut dan membesar-besarkan cerita yang ada. Carilah sokongan daripada orang yang anda percayai dan kenali luar dan dalam.
Selain itu pastikan juga rakan yang anda pilih adalah seseorang yang dapat memberi sokongan dan pendengar yang baik. Bukannya memperdebatkan kembali apa yang anda katakan. Jika orang yang ajak berbicara membuat keputusan terlebih dahulu daripada anda dan mencadangkan tindakan yang anda sendiri rasakan tidak wajar maka carilah rakan yang lain.
c) Berhenti Menyalahkan Diri Sendiri
Dikatakan begini kerana ada wanita yang menyalahkan diri sendiri bila suami berlaku curang. "Aku tak layan dia dengan elok", 'aku bukan isteri yang baik' dan 'aku tak membahagiakan dirinya' adalah di antara ayat yang mungkin keluar dari wanita ini.
Hentikan semua ini kerana yang berlaku curang bukan anda tapi dia!
Kecurangan adalah petanda besar bahawa sesebuah perkahwinan itu mempunyai masalah. Oleh itu adalah penting anda tidak menyalahkan diri anda dalam hal ini. Masalah yang berlaku sudah tentunya tidak hanya berpunca dari diri diri anda sendiri. Bahkan jika pasangan anda berasa tidak senang dengan perkahwinan yang dijalani, kecurangan bukanlah jalan keluar atau penyelesainnya. Masih banyak perkara lain yang boleh dilakukan untuk memperbaiki rumah tangga dan bukannya dengan mencari pasangan lain.
d) Jangan Buat Keputusan Ikut Emosi
Kecurangan suami sememangnya sesuatu yang menyakitkan hati. Kalau diikutkan hati yang marah dan sakit anda tentu mahu saja memutuskan saja hubungan. Biar hidup sendiri dari terus memakan hati.
Tapi ingatlah jangan membuat keputusan mengikut emosi yang marah. Berikan masa untuk emosi dan jiwa anda kembali tenteram. Selepas itu fikirkanlah pilihan anda. Mahu cuba kembali, bermadu atau berpisah?
Namun begitu, perpisahan sebaik-baiknya menjadi perkara terakhir dalam fikiran anda terutama sekali jika telah dikurniakan cahaya mata. Fikirkan tentang masa depan anak anda yang akan hidup tanpa ayah di sisi. Tapi jika perpisahan anda rasakan jalan terbaik untuk pastikan anda membuat keputusan ini dengan akal yang sihat dan rasional.
e) Lepaskan Dia Seketika
Sekiranya anda sayangkan seseorang, lepaskanlah dia. Jika dia kembali, itu tanda dia milik anda selamanya. Pernahkan anda mendengar kata-kata ini? Mungkin ada kebenarannya. Selepas puas anda merayu dan menasihatinya kembali ke pangkal jalan namun suami langsung tidak mengendahkannya.
Mungkin satu cara yang boleh anda lakukan adalah dengan melepaskan dirinya seketika. Anda telah melakukan kewajipan anda. Biarkan dia dengan dunianya, mungkin dengan melihat kesabaran anda berhadapan dengan sikapnya membuatkan hati suami lembut dan dapat membezakan yang mana intan dan yang mana satu kaca.
Note : Buat teman tersayang dan keluarga, terima kasih di atas sokongan kalian selama ini. Tanpa kalian saya mungkin takkan menjadi setabah dan sekuat ini.
Comments
Post a Comment