Peliharailah akar kita
Akar kita bermaksud salur galur keturunan asal kita. Origin kita. Apa yang pasti aku bukan keturunan mat saleh bermata biru dan berambut perang. Menurut cerita abah keturunan sebelahnya bercampur baur melayu siam. Oleh itu tidak hairanlah ketika Tok Cah masih ada banyak adat istiadat siam masih diamalkan. Percakapan dan kepercayaan sedikit sebanyak dipengaruhi oleh budaya siam utara tanah air. Mak pula berasal dari keluarga yang agak kuat pegangan agama. Dari cerita abah juga, suatu ketika dulu abah pernah belajar mengaji quran dari nenek mak sebelah ibu. Kekuatan pegangan mak meresap dalam diri anak-anaknya. Sebenarnya sedikit sangat pengetahuanku mengenai akar keturunan sendiri.
Namun apa yang pasti aku adalah orang Malaysia berketurunan Islam melayu berasal dari negeri jelapang padi dan lahir di persempadan kawasan sawah menghijau iaitu Pida Sanglang. Di dalam diri setiap anak-anakku kusematkan mereka dengan jiwa orang Kedah, semangat orang Pida, kekuatan orang Kuala Ketil, keramahan dan kesabaran orang-orang Sungai Seluang dan Balik Bukit, Kulim. Kubiasakan mereka dengan makanan kebanggan negeri kami dan juga tempatku. Ku tegaskan pada mereka tempat yang paling indah adalah negeri Kedah. Dek kerna itulah anak-anakku tidak kekok bila bersama dengan saudara-saudara bila pulang ke kampung. Mereka mampu menyesuaikan diri dan loghat negeri. Apa yang pasti perkara yang paling orang Kedah tidak sukai ialah seseorang yang suka megah-megahan dengan cara orang luar misalnya membawa loghat percakapan luar apabila pulang ke kampung.
Di sebabkan aku bukan berketurunan bangsa bermata biru atau hijau maka aku cuba tidak menjadikan makanan segera seperti Mc Donald, Pizza dan beberapa makanan lagi sebagai makanan kegemaran keluarga. Biarpun agak nampak kekampungan yang pasti anak-anakku sentiasa merindui pekasam, laksa, meehoon sup utara, mee rebus utara, hidangan pulut, ulam-ulaman, buah-buahan segar dari Kuala Ketil atau Kuala Sedim dan mangga Pida yang enak.
Addin adalah peganganku.
Comments
Post a Comment