Di antara penyebab azab kubur


Di antara penyebab azab kubur


Penyebab azab kubur antara lainnya adalah tidak melakukan istibra’ selepas kencing. Istibra’ ialah memastikan air kencing yang masih tersisa dalam kemaluan keluar dengan sempurna. Hal itu dapat dilakukan dengan cara mengurut, batuk, berjalan beberapa langkah atau beberapa teknik lainnya. Ibn Hibban dan Al-Hakim meriwayatkan sabda Nabi s.a.w: “Kebanyakan seksa kubur disebabkan kerana air kencing.”

Imam Hannad bin Al-Sirri dalam kitab Al-Zuhd meriwayatkan dari seorang tabiin yang bernama ‘Amr bin Syurahbil katanya, “seseorang yang meninggal dunia, lalu malaikat datang kepadanya dengan sebuah cambuk api. Ia berkata, ‘Aku akan mencambukmu seratus kali.’ Orang itu berkata, ‘Mengapa? Aku selalu menjaga diriku semasa hidup.’ Malaikat tidak mempedulikan lalu mencambuknya satu kali sehingga kuburnya penuh dengan api. Malaikat itu lalu berkata, ‘Engkau pernah kencing lalu solat tanpa wuduk. Dan seseorang yang dizalimi datang kepadamu, namun engkau tidak membantunya.”

Azab kubur juga disebabkan kerana ratapan yang dilakukan seseorang ke atas mayat. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Umar bin Al-Khattab bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
“Sesuatu mayat diseksa di kuburnya kerana ratapan seseorang ke atasnya”. Para ulama mengatakan bahawa ratapan yang dimaksudkan di sini adalah ratapan yang dilakukan untuk melaksanakan wasiatnya untuk diratapi.

Menyelamatkan diri daripada azab kubur

Azab kubur adalah sebuah hakikat yang nyata. Dan orang yang bijak akan segera membuat persiapan maksimal sebelum musibah itu menimpa dirinya. Imam Yahya bin Muadz Al-Razi berkata, “Orang yang bahagia ialah sesiapa yang meninggalkan dunia sebelum dunia meninggalkannya, yang menyediakan kuburnya sebelum ia masuk ke dalamnya, dan yang meredai tuhannya sebelum Ia meredainya.”

Perkara utama yang dapat kita lakukan agar terhindar dari seksa kubur ialah terus meminta perlindungan dari Allah s.w.t.Semakin sering kita meminta, semakin besar peluang kita memperolehnya. Imam al-Bukhari dan Muslim banyak sekali meriwayatkan hadis yang membawa cerita bahawa Nabi s.a.w. meminta perlindungan daripada azab kubur.

Memperbanyakkan istighfar semasa hidup juga dapat membantu kita jauh daripada kesulitan di dalam kubur. Imam Ahmad meriwayatkan dalam kitab Al-Zuhd daripada seorang tabiin yang bernama Abu Minhal ia berkata, tidak ada jiran yang terbaik di dalam kubur daripada istighfar yang (dibacakan) dengan banyak.

Begitu juga tasbih, tahmid dan zikir-zikir lainnya. Imam Ahmad bercerita dalam kitab yang sama tentang seorang tabiin yang bernama Abdullah bin Ghalib. Semasa hidupnya, tokoh ini tidak pernah berhenti berzikir menyebut nama Allah s.w.t. Said bin Zaid berkata: “Ketika Abdullah bin Ghalib terbunuh, kami meletakkannya di dalam kubur lalu memendamnya. Tiba-tiba kami mencium dari tanah kuburannya wangi-wangian dari berbagai jenis minyak wangi.” Malah Malik bin Dinar pernah berkata: “Aku pergi mengambil sebahagian dari tanah itu lalu meletakkannya di kantong. Aku terus menerus mencium bau wangi tersebut.”

Untuk orang-orang yang telah meninggal dunia, ada beberapa hal yang dapat kita lakukan untuk meringankan penderitaan mereka. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Ibn Abbas bahawa
Rasulullah s.a.w. pernah mematahkan sebatang dahan yang masih segar lalu menanam kedua-duanya di atas dua kubur tersebut. Baginda bersabda, “Semoga seksa keduanya diringankan selama dahan ini belum kering”.

Para ulama berpendapat bahawa azab tersebut dikurangi kerana tasbih dahan itu. Kerana itu, Buraidah bin Husaib Al-Aslami (seorang sahabat Nabi s.a.w.) pernah berwasiat agar ditanamkan sebatang pohon di atas kuburnya. Imam Al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim berkata, “Para ulama menganjurkan pembacaan al-Quran di atas kubur kerana hadis ini. Sebab jika azab kubur dapat diringankan kerana tasbih dahan pohon, maka pembacaan al-Quran tentu lebih utama.”

Zikir dan tasbih yang dibacakan insya-Allah juga dapat meringankan azab. Al-Thabarani meriwayatkan dari Jabir bahawa ketika Rasulullah menguburkan Sa’ad bin Muadz, baginda bertasbih cukup lama sambil diikuti oleh para sahabat. Baginda lalu bertakbir, dan para sahabat ikut bertakbir. Mereka lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, mengapa tuan tadi bertasbih?” Baginda menjawab, “Hamba soleh ini tadi dihimpit oleh kubur, lalu Allah menyelamatkannya”.

Dipetik dari artikel al-Ustaz al-Muhaddis Umar b M Noral-Syafi'iy HafizahulLah dalam majalah Solusi Terbitan Telaga Biru Sdn Bhd.

Setiap manusia pasti menemui ajal. Persoalannya, adakah kita sudah bersedia untuk menghadapinya? Apakah kita yakin bahawa ibadah yang kita laksanakan semenjak kita akhil baligh sehingga sekarang sudah cukup untuk menjamin kedudukan kita di syurga? Bersusah-susahlah dahulu dan Insya-Allah, kita akan senang di akhirat sana.

Tanya soalan ini pada diri anda sendiri:-

- Bilakah kali terakhir kita membaca al-Quran? Bilakah kali terakhir kita bangun solat malam? Bila kali terakhir kita solat berjamaah di mussolah?

- Apakah kita sudah berada di comfort zone sehingga kita tidak lagi perlu meningkatkan saham akhirat kita?

- Bagaimana pula dengan isteri (suami) dan anak-anak kita? Cukupkah solat 5 waktu mereka? Sempurnakah penutupan aurat mereka? Bagaimana pula dengan pergaulan mereka sesama yang bukan mahram?

- Makanan kita dan sumbernya, adakah ianya confirm HALAL dan suci?

Kita cuba untuk tingkatkan lagi amal ibadah & takwa kita kepada Allah swt. Semoga Allah memasukkan kita dan keluarga kita ke dalam syurgaNya. Amiin.

Comments

Popular Posts