Ciri-ciri Suami Bahagia
Kebahagiaan keluarga merupakan tunjang bagi kejayaan seseorang. Melalui keluarga akan nanti melahirkan ulama, cendiakawan, usahawan atau pimpinan yang unggul.
Suami dalam keluarga memainkan peranan penting dalam memimpin seisi keluarga. Melalui kepimpinan suami itulah mempengaruhi kejayaan dan kebahagiaan sebuah keluarga.
Bagaimanakah ciri-ciri suami yang berjaya?
Bagi menjawab persoalan ini kita perlu menyelusuri sirah Rasulullah s.a.w. sebagai seorang suami yang berjaya malah Baginda mempunyai ciri-ciri suami idaman seluruh wanita.
Ciri-ciri tersebut termasuk:
1- Menyayangi isteri dengan sepenuh hati
Rasulullah s.a.w. menyayangi Khadijah r.a. dengan sepenuh hati kerana isterinya merupakan satu nikmat Allah terbesar yang dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w. Baginda amat menyayanginya kerana:
Khadijah tinggal bersama Baginda selama suku abad dan mereka sama-sama merasai saat-saat suka duka.
~Dia membantu Baginda ketika suasana yang getir dan sukar.
~Dia sama-sama membantu Baginda menyebarkan risalah Allah.
~Dia menyertai Baginda dalam jihad menegak agama Allah.
~Dia mengorbankan kepentingan diri dan harta bendanya.
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dia, Khadijah beriman denganku ketika orang ramai mengkufuriku, dia mempercayaiku ketika orang ramai mendustakanku, dia berkongsi denganku harta bendanya ketika orang ramai menghalangku.” (Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad 6/118)
2- Romantik
Rasulullah s.a.w. juga merupakan seorang yang romantik. Bagaimana romantiknya Rasulullah?
~Tidur bersama isteri dalam satu selimut – Daripada Atha’ bin Yasar: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. dan Aisyah r.a., selalu mandi bersama dalam satu bekas. Dan pernah suatu ketika Baginda tidur dengan Aisyah dalam satu selimut, tiba-tiba Aisyah bangun. Baginda kemudian bertanya, “Mengapa engkau bangun?” Jawab Aisyah, “Kerana saya haid wahai Rasulullah,” Sabda Rasulullah, “Kalau begitu, pergilah dan pakaikan kain dan dekatlah kembali kepadaku.” Aisyah pun masuk, lalu berselimut bersama Baginda.” (Riwayat Sa’id bin Manshur)
~Saling memakaikan wangian – Aisyah berkata: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. apabila meminyakkan badannya, Baginda akan memulai dengan auratnya, menggunakan nurah (sejenis serbuk pewangi) dan isteri Baginda meminyakkan bahagian lain daripada tubuh Rasulullah s.a.w.” (Riwayat Ibnu Majah)
~Mandi bersama isteri – Daripada Aisyah r.a. beliau berkata, “Aku pernah mandi bersama Nabi s.a.w., menggunakan satu bekas. Kami bersama-sama memasukkan tangan kami (ke dalam bekas tersebut).” (Riwayat Abdurrazaq dan Ibnu Abu Syaibah)
~Minum menggunakan bekas yang sama – Daripada Aisyah r.a. dia berkata, “Saya pernah minum daripada cawan yang sama walaupun ketika haid. Nabi mengambil cawan tersebut dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut, lalu Baginda minum. Kemudian saya mengambil cawan tersebut lalu menghirup airnya, kemudian Baginda mengambilnya daripada saya, lalu Baginda meletakkan mulutnya pada tempat saya letakkan mulut saya, lalu Baginda pun menghirupnya.” (Riwayat Abdurrazaq dan Sa’id bin Manshur)
~Membelai isteri – “Adalah Rasulullah s.a.w. tidaklah berlalu setiap hari melainkan Baginda mesti mengelilingi kami semua (isterinya) seorang demi seorang Baginda menghampiri dan membelai kami tetapi tidak bersama (bersetubuh) sehingga Baginda singgah ke tempat isteri yang menjadi giliran Baginda, lalu Baginda bermalam di sana.” (Riwayat Ahmad)
~Mencium isteri
Daripada Hafshah, puteri Umar r.ha. : “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. mencium isterinya sekalipun sedang berpuasa.” (Riwayat Ahmad)
Berbaring di pangkuan isteri – Daripada Aisyah r.a., “Nabi s.a.w. meletakkan kepalanya di pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian Baginda membaca al-Quran.” (Riwayat Abdurrazaq)
~Panggilan mesra – Rasulullah s.a.w. memanggil Aisyah dengan beberapa nama panggilan yang disukainya seperti Aisy dan Humaira‘ (si pipi merah delima).
Menyejukkan kemarahan isteri dengan mesra – Nabi s.a.w. memicit hidung Aisyah r.ha. sekiranya dia marah dan Baginda berkata, “Wahai Uwaisy, bacalah doa: “Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku dan lindungilah diriku daripada fitnah yang menyesatkan.” (Riwayat Ibnu Sunni)
Memberi hadiah – Daripada Ummu Kaltsum binti Abu Salamah, dia berkata, “Ketika Nabi s.a.w. berkahwin dengan Ummu Salamah, Baginda bersabda kepadanya: “Sesungguhnya aku hendak memberikan hadiah kepada Raja Najasyi sepersalinan pakaian dan beberapa botol minyak kasturi, namun aku mengetahui bahawa Raja Najasyi telah meninggal dunia dan aku mengagak hadiah itu akan dikembalikan kepadaku, aku akan memberikannya kepadamu.” Dia (Ummu Kaltsum) berkata, “Benarlah keadaan Raja Najasyi seperti yang disabdakan Rasulullah s.a.w. dan hadiah tersebut dikembalikan kepada Baginda, lalu Baginda memberikan kepada isteri-isterinya sebotol minyak kasturi, manakala baki daripada minyak kasturi dan pakaian tersebut Baginda beri kepada Ummu Salamah.” (Riwayat Ahmad)
3- Menghormati dan menjaga perasaan isteri
Rasulullah s.a.w. merupakan seorang suami yang sentiasa menghormati dan menjaga perasaan isterinya. Suatu ketika, ketika Rasulullah hendak melaksanakan solat malam, Baginda mendekati isterinya Aisyah. Aisyah berkata: “Di tengah malam Baginda mendekatiku dan ketika kulitnya bersentuhan dengan kulitku Baginda berbisik, “Wahai Aisyah, izinkan aku untuk beribadah kepada Tuhanku.”
4- Tidak berkasar dan berlemah lembut dengan isteri
Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. bahawa pada suatu hari salah seorang isterinya datang dengan membawa makanan untuk dikirimkan kepada Rasulullah yang sedang berada di rumah Aisyah. Tiba-tiba Aisyah dengan sengajanya menjatuhkan makanan itu sehingga piring tersebut pecah dan makanannya jatuh berderai. Melihat sikap Aisyah tersebut, Rasulullah s.a.w. tidak berkasar dengan Aisyah sebaliknya dengan lemah lembutnya Baginda meminta Aisyah menggantikan makanan tersebut.
5- Membantu isteri
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Aisyah r.ha. pernah ditanya seorang lelaki yang bernama Aswad tentang apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. ketika berada di dalam rumahnya? Maka Aisyah menjawab: “Rasulullah s.a.w. sentiasa membantu ahli keluarganya melakukan kerja rumah. Dan apabila tiba masuk waktu solat, baginda keluar untuk solat.”
Demikianlah beberapa contoh bagaimana Rasulullah s.a.w. menunjukkan akhlak yang sangat mulia. Kepulangan Rasulullah s.a.w. ke rumah bukan sekadar untuk beristirehat dan bermesra dengan ahli keluarganya sahaja. Bahkan, Baginda di rumahnya juga adalah untuk membantu isterinya menguruskan rumah tangga. Inilah yang Baginda lakukan walaupun mempunyai tugas dan tanggungjawab di luar rumah.
Kesimpulannya, kita perlu mencontohi akhlak dan keperibadian Baginda tersebut. Sesibuk-sibuk kita, tidak seperti sibuknya Rasulullah s.a.w. Setinggi-tinggi pangkat kita di tempat kerja, tidaklah setinggi pangkat dan darjat Rasulullah s.a.w. Maka apakah yang menghalang kita daripada membantu meringankan tugas dan urusan isteri kita di rumah?
Betapa besarnya pengorbanan Rasulullah s.a.w. sebagai seorang suami terhadap isterinya. Maka sebagai seorang suami, contohilah sikap Baginda ini ketika bermuamalah bersama isteri. Manakala buat para isteri, ingatkan suami anda tentang ciri-ciri suami idaman. Semoga berbahagia bersama pasangan anda!
Semoga bertemu cinta hakiki di-dunia dan di akhirat di antara suami yang soleh bersama isterinya yang solehaha insya Allah, sehingga sampai ke Jannatul Firdausi – “Ya Allah perindahkanlah akhlak ku seperti mana indahnya akhlak Rasulullah s.a.w , tenangkanlah hati ku bagai tenangnya air di tasik, dan serikanlah wajahku bagai bercahayanya bulan purnama di hari berserinya wajah orang-orang beriman…. Amin” )
Comments
Post a Comment