Pelaburan Jangka Panjang

Jika sebut perkataan pelaburan pasti kita akan terkenang iklan-iklan Permodalan Nasional Berhad mengajar orang melayu melabur dalam Amanah Saham Nasional suatu ketika dahulu. Dan jika diamati orang melayu hakikatnya memang bijak melabur. Lihat sahaja datuk nenek kita sanggup berpanas dan berhujan memugar tanah berekar-ekar demi anak cucu dimasa depan. Malah di tanami tanah dengan pelbagai pokok buah-buahan semuanya untuk anak cucu.

Orang melayu dahulu amat sederhana kehidupannya. Rumah biar besar, laman biar luas. Ini semua untuk kemudahan anak-anak dan saudara mara apabila berkumpul. Hidup melayu bukan untuk menunjuk tetapi hidup melayu demi masa depan "tak melayu hilang didunia". Orang melayu suka bergotong royong dalam pelbagai permasaalah dan tidak timbul masalah jaga tepi kain orang. Lihat sahaja kenduri kendara melayu kampung yang kaya dengan nilai gotong royong sehinggakan kenduri yang menumbangkan 3 ekor lembu tidak terasa beban ibu bapa pengantin. Melayu dahulu tahu akan keupayaannya lantaran itu mereka mulai menabung samada didalam tabung buluh ataupun tabungan syarikat kenduri. Anak-anak tidak pernah dibebankan dengan belanja majlis perkahwinan.

Bagi ibu bapa tentulah tidak merasa rugi melabur untuk anak-anak dari saat kelahiran hingga dewasa anak itu. Melabur untuk anak merupakan pelaburan yang amat tinggi nilainya yang mana kita akan dapat melihat pancaran pelaburan yang kita lakukan. Misalnya, penyediaan bahan-bahan bacaan untuk anak-anak, tusyen, aritmetik, muzik, Alquran, Al hadis dan pelbagai ilmu akan menyerlahkan lagi keupayaan anak dalam menafsir kehidupan. Usah biarkan media elektronik dengan propaganda hiburan memesongkan sahsiah anak-anak.

Kehidupan hari ini lebih rumit berbanding zaman ibu bapa membesakan kita. Kesilapan para ibubapa akan menyebabkan anak-anak hilang arah tujuan dan mencari jalan mudah sebagai petunjuk baru kerana kitalah yang mewarnai mereka.

Aku pernah dimarahi oleh salah seorang saudara kerana menghantar anak ke "kindergarden" yang dirasakannya amat mahal namun pelaburanku di sana amat berbaloi di mana puteri sulung amat konsisten dengan budaya membaca dan mentakrif sosial malah budaya "kindergarden" dibawanya hingga peringkat sekolah. Dan hingga kini pelaburan itu berterusan. Mak pernah berkata takala mencari buku rujukan kami ditoko buku Othman, "mak nak hampa jadi orang lain, pasai tuh mak tak kisah nak cari buku yang hampa nak". Itu kata-kata mak ditahun 80an. Saat zaman industri mulai bertapak di Pulau Pinang. Saat anak-anak remaja sebaya dengan kakak berkinja menjadi minah karan.

Buatlah pelaburan agar anak sedari usia 7 tahun fasih dengan solat dan peka dengan kehidupan sebagai mukmin. Jangan merasa rugi menghantar anak mengenal huruf Allah SWT. Dan kita akan merasa ketenangan alunan suara hafazan ayat-ayat Al Quran apabila yang mengalun itu adalah zuriat kita.

Buatlah pelaburan untuk anak bijak mengemudi kehidupan bersama teman-teman berlainan agama demi masa depan agama dam bangsa. Biar mereka berbangga dengan jati diri "Islam Melayu" mereka. Biar mereka merasa malu jika tidak mampu bertutur mulus bahasa melayu. Biar mereka segan berlenggok seperti bangsa lain. Biar mereka merasa terhina jika dicemuh soal agam. Dan "Tak Akan Hilang melayu Didunia" apabila kita melabur ini semua untuk zuriat kita.

Comments

Popular Posts