Kemerdekaan 50 tahun - Membudayakan Tabiat Membaca

Wednesday, August 22, 2007

Semalam semasa didapur menyiapkan makan malam, tiba-tiba Malisha dan Al Khattab mula bertanyakan soalan, "Mama tahu tak KLCC berapa tingkat", secara jujur aku memang kurang pasti secara tepat jumlah tingkatnya. "Agak mama dalam 80 lebih", jawabku sambil meneruskan kerja-kerja dapur. "88 tingkat, 32 ribu tingkap dan 29 buah lift laju, mama", terang Malisha dan adiknya Al Khattab. Aku tersenyum, "sebab tuh mama selalu suruh baca buku, banyak membaca kita lebih tahu banyak benda, otak tak kosong". Tabiat membaca membuatkan seseorang itu lebih berilmu berbanding orang lain. Strategi dan keputusan seseorang yang banyak membaca lebih berkualiti berbanding dengan seseorang lain yang hanya menggunakan logik akal. Secara umumnya tabiat membaca mampu mengukuhkan pendirian individu daripada dipengaruhi oleh lisan pihak lain. Tabiat ini juga boleh mengenal pasti samada seseorang itu berilmu atau tin kosong daripada percakapannya kerana ilmu yang diserap daripada tabiat membaca akan dilontarkan melalui percakapan. Teringat aku ketika menonton siaran Malaysia Hari ini dan agak terkejut ketika itu salah seorang hos rancangan tersebut tidak mengenali tokoh sejarah Rosli Dhobi jika cerita berkenaan tokoh tersebut tidak disiarkan diakhbar. Pada aku jika yang tidak mengenali Rosli Dhobi itu para pelajar seperti anak-anakku atau golongan pelajar menengah mungkin suatu hal biasa namun jika seorang penyampai TV yang lagi berumur dariku tidak mengetahuinya merupakan suatu yang luar biasa. Mengapa fenomena sebegini terjadi diMalaysia. Mana mungkin kita mahu setanding dengan Oprah jika minda hanya tercerut dengan pentas hiburan semata.Laporan Tabiat Membaca yang dibuat oleh UNESCO untuk sesi cerapan 1999 menunjukkan rakyat Malaysia membaca dua buah buku setahun; berbanding hanya dua muka surat dalam laporannya untuk sesi cerapan 1996. Walaupun terdapat peningkatan minat membaca yang agak tinggi, nilai ini masih rendah berbanding negara-negara maju. Pihak kerajaan amat bimbang akan situasi ini dan sememangnya kebimbangan ini relevan kerana hanya dengan masyarakat yang berilmu sahaja, negara dapat maju dan gemilang. atas dasar itu, beberapa tindakan yang positif dan konkrit perlu dilaksanakan segera untuk membendung fenomena tidak sihat ini. Laporan ini mungkin dilakukan tahun-tahun yang lalu namun jika dilihat kualiti para graduan dewasa ini menunjukkan laporan ini tidak menunjukkan peningkatan yang membanggakan. Rakyat Malaysia lebih banyak membaca buku-buku yang berunsur hiburan dan tidak hairanlah buku-buku sebegini mendapat sambutan dipasaran.Ayat pertama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW di Gua Hira' jua berkaitan dengan baca (Iqraq). "Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu Yang Paling Pemurah, yang mengajar manusia dengan kalam. Dia yang mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya." Islam merupakan agama rasmi negara namun mengapakah melayu Islam negara ini tidak memberi perhatian kepada surah ini. Dan andai telah 50 tahun merdeka mentaliti tabiat membaca melayu islam masih ditahap ini maka tidak hairanlah pelbagai gejala negatif menyerap tanpa tapisan di dalam jiwa bangsa.Pida:....Kita mungkin kaya harta namun material itu akan hilang jika insan yang tidak berilmu mempeolehinya. Itulah yang dialami oleh bangsa kita kini, tanah dan maruah tergadai dan akhirnya mereka terpinggir di setinggan. Berkelana di bumi sendiri. Menjadi nanah bangsa.

Comments

Popular Posts