Tiada siapapun terlepas daripada percakapan manusia
26 Feb 2015 (10.30 PM)
Sakit sebelah kiri badan, rasa dada yang menyempit dan rasa tidak cukup tidur seminggu dua ini merupakan hint ada sesuatu yang tidak kena terhadap jasad ini. Tak bermaya sangat hari ini untuk memandu ke Cyber. Bateri jasad ditahap peratus yang amat rendah sekali. Dr Siti Aishah memberikan tarikh untuk melakukan pembedahan secepat mungkin kerana dikhuatiri akan berlaku sesuatu yang lebih membawa kemudaratan pada diri.
Dan semoga apa setiap kejadian memberikan diri untuk bermuhasabah betapa diri ini banyak lagi kekurangan dan banyak lagi amal yang perlu digapai dalam menuju keredhaan Allah SWT. Banyak perkara yang mak pesan telah kutinggalkan...tak apa bersendirian kata mak asalkan kita tidak menambah timbangan kiri setiap hari bila kita beramaian.
Dan tabahlah bila diri kita direndahkan oleh manusia kerana Allah SWT tahu akan segalanya.
Janganlah sering menghampiri diri pada sekumpulan manusia
yang sedang enak membicarakan tentang gossip semasa,
Janganlah sengaja menadah telinga mendengar umpatan yang
lazat menjamu mulut mereka,
Kerana bahan gurauan dan cerita yang sedang mereka
persembahkan belum tentu asalnya betul dan boleh di terima.
Lalu umpatan yang makin berselera itu menjadi fitnah yang
boleh mengubah pandangan kita terhadap mangsa.
Lalu tatkala kita bertemunya di jalanan tentu hati mula
berbicara.
Mengingat kembali cerita-cerita yang telah menjadi simpanan
kekal di otak kita.
Senyumannya kita sambut dengan terpaksa rela.
Di hati
terbuku syakwasangka.
Keikhlasan berukhwah semakin hambar dan si mangsa terdera
dan tertanya-tanya apakah punca asal peristiwa.
Sedang hakikat sebenar hanya Allah yang tahu kejadiannya.
Siapa kita untuk menghukum manusia yang sama sahaja kejadiannya seperti kita?
Apatah lagi memburukkannya dan menyebarkan fitnah berleluasa? Tidak takut di
bicarakan di mahkamah agung suatu hari nanti untuk membetulkan kembali fitnah
yang kita mulai?
Fitnahlah sesuka hatimu, dan tunggu keadilan Allah tatkala
insan yang tidak berdosa itu mula menadah tangan memohon pertolonganNya.
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika
datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk
menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan
perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga
menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat,
ayat 6)
Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang
suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Comments
Post a Comment