Pengaruh Ibu bapa

Pengaruh Ibu bapa

Pengaruh ibu bapa dalam tingkah laku dan cir-ciri personaliti remaja boleh dipengaruhi oleh cara didikan semenjak dari kecil lagi. Walaubagaimanapun seringkali timbul masalah antara ibu bapa dan remaja. Perbezaan pemahaman dan pengalaman merupakan masalah yang ketara dan ini dinamakan sebagai jurang generasi. Jurang generasi merupakan salah satu punca konflik antara remaja dan ibu bapa. Ianya adalah perbezaan yang terdapat dalam nilai, sikap dan tingkah laku antara generasi tua dengan generasi yang lebih muda iaitu remaja. Ibu bapa selalu memarahi anak remaja mereka yang dianggap tidak mematuhi kehendak dan peraturan mereka. Perhubungan antara remaja dan ibu bapa akan baik sekiranya mereka berjauhan seperti anak remaja melanjutkan pelajaran ataupun bekerja di tempat lain.

Perhubungan ibu bapa dan remaja yang positif akan membantu remaja menjalani kehidupan yang mencabar dan menyeronokkan. Ini disebabkan remaja akan mempunyai hubungan yang baik dengan ibu bapa mereka dan sering berkongsi masalah serta nilai-nilai yang baik antara satu dengan lain.

Hubungan antara tingkah laku dan personaliti remaja adalah dipengaruhi oleh cara didikan ibu bapa mereka. Baumrind (1968) telah mengenal pasti lima kategori gaya keibu bapaan seperti berikut:

Ibu bapa autoritarian
Cara didikan kategori ini adalah mengawal dan menilai tingkah laku remaja dengan menggunakan standard mutlak atau kawalan ketat. Tidak ada tolak ansur tetapi remaja kena patuh segala arahan mereka. Ibu bapa beranggapan bahawa mereka tahu apa yang baik dan buruk dan perlu patuh tanpa menyoal. Dari sini remaja akan berpegang teguh kepada nilai-nilai tradisional dan terus akur dengan kehendak ibu bapa walaupun ada di kalangan remaja yang marah dan menyimpannya di dalam hati mereka.

Individu yang dibesarkan dengan cara ini lebih cenderung untuk mematuhi perintah dan akur kepada pihak berkuasa, mempunyai pemikiran yang konkrit, idea yang konvensional dan menyimpan rasa marah yang terkawal.

Ibu bapa yang mengabaikan anak-anak
Ibu bapa yang mengabaikan anak-anak tidak begitu keras dari segi kawalan dan disiplin anak-anak serta tidak tekal dalam amalan mereka. Mereka tidak menerangkan kepada anak-anak mengapa tindakan tersebut dilakukan apabila menghukum atau mendenda dan biasanya ia lebih mengikut mood dan perasaan mereka. Remaja akan tidak dapat membendung rasa marah dan melepaskannya dalam bentuk tingkah laku anti-sosial.

Individu yang dibesarkan dengan cara ini akan bertindak melanggar undang-undang dan tidak mematuhi norma masyarakat. Kajian menunjukkan sebilangan besar remaja delinkuen telah dididik dalam keadaan terabai yang akan bertindak secara agresif dan tidak mempunyai kawalan diri seperti ibu bapa mereka.

Ibu bapa yang amat melindungi
Ibu bapa sukar melepaskan anak-anak mereka melakukan sesuatu dengan sendiri dan sedaya upaya akan menentukan apa yang perlu dilakukan oleh anak-anak dan bila patut buat. Mereka menggalakkan tingkah laku bergantung dan pasif serta mendisiplinkan mereka dengan cara tidak memberikan kasih saying sekiranya anak-anak tidak mengikut arahan mereka.

Individu yang dibesarkan dengan cara ini akan cenderung untuk menjadi bergantung, pasif, bersopan dan akur. Remaja juga akan menjadi penakut, malu dan kurang keyakinan diri serta sukar untuk memjadi pemimpin dan melakukan aktiviti bersama rakan sebaya.

Ibu bapa permisif
Ibu bapa membenarkan remaja menggunakan diri mereka sebagai sumber serta mengikut kehendak remaja tanpa mendesak mengikut keinginan mereka. Ibu bapa bukan sebagai orang yang bertanggungjawab dalam membentuk tingkah laku remaja. Remaja yang menerima didikan seperti ini mempunyai tingkah laku agresif dan tidak bertanggungjawab terutamanya remaja lelaki akan menunjukkan tingkah laku buli dan mementingkan diri sendiri.

Ibu bapa autoritatif
Ibu bapa mesra dengan anak-anak dan menerima mereka dengan baik serta dalam masa yang sama memberi kebebasan kepada anak-anak. Mengikut Baumrind (1971), ibu bapa autoritatif menggunakan budibicara mereka dalam mengawal dan mendisiplin anak-anak supaya dapat disesuaikan dengan keperluan mereka. Ibu bapa menerangkan sebab atas segala tindakan dan sentiasa menjelaskan tentang harapan dan permintaan mereka yang perlu difahami oleh kanak-kanak tetapi boleh bertolak ansur dalam hal demikian itu. Di samping itu ibu bapa juga sentiasa memberi pertimbangan kepada pendapat atau maklum balas daripada anak-anak.

Ibubapa autoritatif mahu anak-anak mereka hidup bahagia dan mengawal hidup mereka sendiri dan sebagai ibu bapa mereka membantu dari segi persediaan menjadi dewasa yang mempunyai kebebasan. Bersedia mendengar dan mendidik anak-anak dengan tegas supaya anak-anak mereka mempunyai kekuatan ego dan berdisiplin.

Didikan seperti ini akan menjadikan remaja cenderung menjadi egen sosial yang aktif dan mempunyai daya usaha, boleh berdikari, disiplin yang tinggi, bertanggungjawab, boleh berfikir untuk diri sendiri dan berpegang teguh kepada nilai dan prinsip hidup.

Comments

Popular Posts